Eid Aljazairli dikelilingi air sepanjang perjalanannya dari Syria ke United Kingdom. Namun, semasa dia berada di atas bot yang membawanya merentasi Lautan Mediterranean menuju ke Kota Inggeris itu, dia sedar akan hakikat yang dia tidak tahu berenang.
Malah, sehingga Januari tahun ini, Eid yang berusia 24 tahun itu tidak pernah menjejakkan kaki ke mana-mana kolam renang.
BESARKAN TEKS A- A+
Kisah Eid bermula apabila dia menonton sebuah video perenang Olimpik terkenal iaitu Michael Phelps di Youtube semasa sedang berehat di dalam biliknya di hostel YMCA di Walthamstow, London. Video tersebut secara tiba-tiba telah membuatkan semangatnya berkobar-kobar untuk belajar berenang.
Kini, Eid berenang empat jam setiap hari untuk mendapatkan peluang bertanding dalam Sukan Olimpik sama seperti Michael Phelps.
Meninggalkan kerjayanya sebagai seorang visual merchandiser ketika perang meletus di Syria, Eid berhijrah pada tahun 2016 untuk memulakan kehidupan baru. Semasa mula tiba di UK, Eid menetap di Scotland sebelum berpindah ke Essex.
Sepanjang kehidupannya sebelum menonton video Michael Phelps itu, Eid tidak pernah mengenali atlet bertaraf dunia tersebut. Namun, ketika melihat aksi Michael, Eid merasakan ada sesuatu dalam dirinya. Michael kelihatan amat menakjubkan. Beliau begitu cekal menghabiskan renangannya. Ketika itulah 'suis' dalam diri Eid dinyalakan - dia kini memiliki satu azam baru yang sangat membara.
Ingin belajar berenang
Pendapatan Eid hanyalah berupa elaun bantuan daripada kerajaan British berjumlah £5 sehari sepanjang tempoh dia melanjutkan pelajaran dalam aliran bahasa Inggeris di Waltham Forest College.
Ketika Eid membuat keputusan muktamad untuk belajar berenang, negara sedang dilanda musim sejuk yang suram ditambah dengan cuaca teruk. Namun, itu tidak mematahkan semangat Eid untuk berkunjung ke Feel Good Centre di belakang kolejnya yang mempunyai sebuah kolam renang.
Eid kemudian mula mengambil langkah penjimatan dengan menyimpan wang daripada duit bantuan yang diterima untuk membayar yuran bulanan kelab sukan itu. Ada hari dia berjaya menyimpan tiga pound, ada hari dua pound. Hidupnya yang susah kini bertambah sempit.
Di Syria, Eid tidak pernah memasuki mana-mana kolam renang. Malah, dia tidak pernah cuba dan tidak pernah pandai berenang.
Percubaan pertama
Eid ketawa setiap kali mengingati kembali kenangannya mencuba berenang. Sepanjang hari dia bersusah-payah cuba untuk menyelam dan mencari arah, namun dia tidak mampu pergi jauh. Dua meter pun tidak sampai.
Hari kedua. Hari ketiga. Hari keempat. Eid terus mencuba tanpa mengenal erti putus asa. Akan tetapi, tanpa asas yang betul, Eid tahu dia akan terus tersungkur di tempat yang sama.
Eid kemudian mengenali Trish Brennan iaitu seorang pengajar renang di Waltham Forest College. Trish bersetuju untuk mengajar Eid kelas asas berenang secara percuma.
Trish mula mengajar Eid kaedah yang betul untuk menahan nafas di dalam air. Sebagai seorang pelajar yang gigih, Eid menulis semua tips dan mencatat nota sebelum melekatkannya ke dinding bilik tidur supaya dia sentiasa mengingati setiap ilmu yang dipelajari.
Dari situ, Eid berenang setiap hari tanpa jemu. Dalam masa hanya beberapa hari, dia berjaya berenang separuh keluasan kolam dan selepas sebulan, Eid akhirnya menemui jalan buntu sekali lagi. Dia tersangkut di paras separuh kolam itu sahaja.
Eid memerhatikan seorang pengajar lain iaitu Jackie Antoine yang mengajar kanak-kanak. Dia kemudian cuba menghafal setiap arahan yang diberikan. Eid terus mencuba namun masih tidak berjaya.
Akhirnya, dia mengambil langkah drastik memberanikan diri untuk berjumpa jurulatih tersebut. Eid segera memberitahu Jackie yang dia berniat untuk menjadi seperti Michael Phelps. Dalam ramai-ramai orang, Jackielah satu-satunya manusia yang percaya dengan Eid. Dia tidak mengetawakan Eid, sebaliknya terus berkata, "Okay, terjun sekarang!"
Itu jugalah kali pertama Eid berjaya berenang keseluruhan jarak kolam yang panjang itu. Sejak itu, kisah hidupnya menjadi semakin baik.
Kolam renang menenangkan
Menurut Eid, apabila dia melalui satu hari yang sukar, bergelut dengan masalah atau apabila dia terkesan dengan pandangan orang lain terhadapnya sebagai seorang pelarian dan memikirkan kekejaman serta masalah peperangan di negara kelahirannya, Eid akan menghabiskan masa di kolam renang.
Bagi Eid, ruang sepanjang 25 meter itulah dunia lain baginya yang sungguh menenangkan. Apabila berada di dalam air, semuanya akan menjadi sunyi sepi.
Selepas belajar dengan dua jurulatih wanita sebelumnya, seorang jurulatih renang bernama Daniel Bullock mengambil keputusan untuk menyerap Eid ke dalam pasukannya. Menurut Daniel, sepanjang menjadi jurulatih, dia tidak pernah melihat perkembangan kebolehan renang seorang dewasa sepantas Eid.
Kini, Eid telah mencapai masa terpantas 43 saat bagi gaya renang bebas 50m. Walaupun perjalanan masih panjang untuk mencapai tahap atlet Olimpik, namun Daniel sanggup menerima Eid selepas berbincang dengan tenaga pengajar yang lain. Dia tidak menyangka yang Eid mampu belajar berenang dengan begitu cepat.
Satu laman crowdfunding telah didirikan untuk mengumpulkan dana bagi membantu Eid membiayai kos latihan serta mendapat sokongan secukupnya untuk memaksimakan potensi ini sehingga mampu ke Olimpik di Jepun pada tahun 2020.
Menurut Daniel, Eid boleh bertanding di bawah kategori "pasukan pelarian (refugee)" jika inovasi dari Rio 2016 itu dibawa ke Tokyo dua tahun lagi.
Apakah ertinya bagi Eid sekiranya dia benar-benar berjaya ke Olimpik? Mungkin tidak ada apa-apa bagi anda. Tapi bagi Eid, sememangnya ia adalah satu dunia baru untuknya yang jauh dari kekejaman, kesakitan dan penderitaan.
Tonton video pendek mengenai impian jejaka Syria ini:
Rujukan: The Guardian