Oleh pada 16 Aug 2021 kategori

Salah satu daripada faktor penting dalam bidang sukan sudah tentunya adalah kekuatan. Kekuatan adalah satu kualiti yang sentiasa boleh diperhebatkan dengan latihan dan beberapa faktor lain.

Bagi sukan Olimpik, antara sukan melibatkan kekuatan yang paling popular adalah acara angkat berat.

Sukan ini menunjukkan kepada kita bahawa kekuatan manusia tidak mempunyai batasan dan tidak mengira bangsa. iluminasi.com kongsikan 10 atlet angkat berat paling kuat dalam sejarah Olimpik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Jang Mi Ran

jang mi ran atlet angkat berat korea selatan 298

Jang Mi-Ran adalah atlet angkat berat Olimpik dari Korea Selatan dan bertanding untuk Kelab Sukan Kerajaan Bandar Goyang.

Mi-Ran berjaya menggondol pingat perak dalam sukan Olimpik 2004 Athens dalam kategori 75kg ke atas dengan jumlah angkatan (snatch + clean and jerk) seberat 302.5kg.

Namun rekod peribadi beliau diperbaharui di sukan Olimpik Beijing 2008.

Mi-Ran yang bertanding dalam kategori 75kg ke atas telah memecahkan rekod snatch dengan angkatan 140kg manakala berjaya membuat angkatan 186kg untuk clean and jerk.

Jumlah angkatan ini adalah 326kg yang memberikan pingat emas kepada Mi-Ran.

Mi-Ran bertanding dalam Olimpik Beijing dengan berat 116.75 dan dengan jumlah angkatan 326kg, bermakna atlet Korea Selatan ini berjaya mengangkat 2.79 kali berat badannya meletakkan beliau di kedudukan ke-10 senarai atlet angkat berat paling kuat dalam sejarah sukan Olimpik.

Pada tahun 2016, sebuah drama Korea berdasarkan kehidupannya yang bertajuk "Weightlifting Fairy Kim Bok-joo" ditayangkan.

9. Hossein Rezazadeh 

hossein rezazadeh

Hossein Rezazadeh dianggap sebagai salah seorang atlet angkat berat terhebat sepanjang zaman.

Atlet Iran ini merupakan juara Olimpik sebanyak 2 kali berturut-turut iaitu pada Olimpik Sydney 2000 dan Olimpik Athens 2004.

Beliau juga merupakan juara Angkat Berat Dunia sebanyak 4 kali dan 5 kali juara Asia.

Rezazadeh telah memenangi anugerah Ahli Sukan Terbaik Iran sebanyak empat kali, lebih banyak daripada atlet lain dalam sejarah negara itu.

Dalam Olimpik Sydney 2000, Rezazadeh yang bertanding dalam kategeri 105kg ke atas telah melakukan angkatan snatch seberat 212.5kg dan mencatatkan rekod dunia untuk snatch.

Dalam angkatan clean and jerk pula, beliau berjaya membuat angkatan seberat 260kg membawa kepada 472.5kg secara keseluruhan.

Dengan berat badan 147.48kg dan ketinggian 186cm, Rezazadeh berjaya mengangkat bebanan 3.20 kali berat badannya, ke-9 terkuat dalam sejarah Olimpik.

8. Lidia Valentin

lidia valentin

Lidia Valentín Pérez adalah atlet angkat berat Sepanyol yang merupakan juara Olimpik, 2 kali Juara Dunia dan 4 kali Juara Eropah yang bertanding dalam kategori 75kg sehingga tahun 2018.

Selepas tahun 2018, Lydia bertanding dalam kategori 81kg setelah Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa menyusun semula kategori.

Beliau memenangi 3 pingat di sukan Olimpik iaitu pingat perak di Beijing 2008, emas di London 2012 dan gangsa di Rio 2016.

lidia valentin 2

Angkatan bersejarah bagi Lidia yang memberikan pingat emas pada London 2012 adalah 120kg untuk snatch dan 145kg untuk clean and jerk, membawa kepada 265kg secara keseluruhan.

Dengan berat badan 74.39kg, Lidia berjaya mengangkat bebanan 3.56 kali berat badannya.

7. Rim Jong-sim

rim jong sim 215

Berasal dari negara paling terpencil di dunia iaitu Kora Utara, atlet angkat berat Rim Jong-sim adalah juara Olimpik dua kali, Juara Dunia, dan juara Asia yang bertanding dalam kategori 69 kg dan 75 kg.

Beliau memenangi pingat emas di sukan Olimpik London 2012 dalam kategori 69kg dan 4 tahun kemudian di Olimpik Rio 2016, Jong-sim memenangi pingat emas dalam kategori 75kg.

Angkatan yang dilakukan Jong-sim pada Olimpik London 2012 meletakkan beliau dalam kedudukan ke-7 senarai atlet angkat berat Olimpik paling kuat.

Dengan berat badan 68.22kg, Sim Rim melakukan angkatan snatch seberat 115kg dan 146kg dalam clean and jerk, membawa kepada 261kg secara keseluruhan iaitu 3.82 kali berat badannya.

Kemenangan pingat emas terbaharu oleh Jong-sim adalah pada Kejohanan Dunia 2019 di Pattaya, Thailand dengan jumlah angkatan 276kg dalam kategori 76kg.

Walaubagaimanapun Jong-sim yang berusia 28 tahun dan masih aktif tidak bertanding dalam Olimpik Tokyo 2020 apabila Korea Utara mengumumkan pada Mac 2021 bahawa negara itu tidak akan mengambil bahagian.

Ini sekaligus memberikan peluang kepada atlet lain untuk menjadi juara Olimpik baharu, yang mana kategori 76kg dimenangi oleh atlet Colombia Neisi Dajomes dengan angkatan 263kg secara keseluruhan.

6. Chen Yanqing

chen yanqing

Chen Yanqing adalah atlet angkat berat China yang bertanding di sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008.

Beliau memenangi pingat emas untuk kategori 58kg untuk kedua-dua Olimpik ini, sekaligus menjadikannya atlet wanita pertama yang memenangi pingat emas dalam angkat berat dalam dua Sukan Olimpik berturut-turut.

Yanqing juga telah memenangi Sukan Nasional dan Sukan Asia Timur serta mencatat rekod dunia dalam kelas berat badannya dalam pertandingan clean and jerk pada tahun 2006.

Dalam Olimpik Beijing 2008, Yanqing berjaya melakukan angkatan snatch seberat 106kg dan 138kg untuk clean and jerk, membawa kepada 244kg secara keseluruhan.

Dengan berat badan 57.66kg, Yanqing mengangkat bebanan 4.23 kali berat badannya, yang ke-6 terkuat dalam Olimpik.

5. Kakhi Kakhiashvili

kakhi kakhiashvili

Atlet angkat berat Greece iaitu Kakhi Kakhiashvili adalah salah seorang daripada 4 atlet angkat berat yang pernah memenangi 3 pingat emas berturut-turut di sukan Olimpik.

Kakhiashvili pertama kali memenangi emas di Olimpik Barcelona 1992 di mana beliau bertanding dengan Pasukan Bersatu, kemudiannya mengulangi kejayaan emas yang sama sebagai warganegara Greece di Olimpik Atlanta 1996 dan di Olimpik Sydney 2000.

Beliau juga memenangi 3 Kejuaraan Dunia Senior (1995, 1998, 1999), 2 kali pemenang pingat perak di Kejuaraan Dunia Senior (1993 dan 1994), serta mencatatkan tujuh rekod dunia selama kariernya. Kakhiashvili dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Greece 1996 dan 1999.

Angkatan Kakhiashvili di Olimpik Barcelona 1992 di mana beliau mencatatkan rekod kejohanan itu meletakkan Kakhiashvili di kedudukan ke-5 senarai ini.

Kakhiashvili dengan berat badan 89.25kg telah melakukan angkatan 177.5kg untuk snatch dan 235kg untuk clean and jerk (rekod dunia), membawa kepada 412.5kg (rekod olimpik) secara keseluruhan iaitu 4.62 kali berat badannya.

4. Pyrros Dimas

pyrros dimas atlet angkat berat paling kuat

Pyrros Dimas adalah atlet Greece yang paling berjaya di peringkat sukan Olimpik dan dianggap sebagai salah seorang atlet angkat berat terhebat sepanjang zaman.

Ini kerana Dimas pernah memenangi 3 pingat emas Olimpik secara berturut-turut (1992, 1996, 2000) dan tiga kali Juara dunia.

Untuk Olimpik Atlanta 1996, Dimas mencatatkan rekod dunia yang masih belum berjaya dipecahkan sehingga kini bagi kategori 83kg dengan angkatan 392.5kg secara keseluruhan.

Malah, beliau juga berjaya memenangi pingat gangsa pada Olimpik Athens 2004 walaupun mengalami kecederaan pada bahagian lutut.

Dimas dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Greece Terbaik untuk tahun 1992, 1993, 1995, dan 1996.

Menduduki kedudukan ke-4 senarai ini, Dimas berjaya membuat angkatan keseluruhan 180kg untuk snatch dan 213kg untuk clean and jerk dengan berat badan 82.06kg, 4.78 kali berat badannya.

3. Oscar Figueroa

oscar figueroa menang olimpik rio 2016

Oscar Figueroa adalah angkat berat Colombia dan juara Olimpik dalam kategori 62kg serta juara 2 kali dalam Sukan Pan Amerika iaitu pada tahun 2011 dan 2015.

Beliau yang pernah bertanding dalam Olimpik Athens 2004 hanya sekadar menamatkan saingan di tempat ke-5, tidak menamatkan saingan di Olimpik Beijing 2008, dan memenangi pingat perak di Olimpik London 2012.

Figueroa kemudian kembali dalam Olimpik Rio 2016 dan berjaya membawa pulang pingat emas untuk negaranya.

Malah, angkatan yang dilakukannya adalah antara yang terberat dalam sejarah sukan ini berbanding berat badannya.

Dalam Olimpik Rio 2016, Figueroa melakukan angkatan snatch seberat 142kg dan 176kg untuk clean and jerk, memberikan jumlah keseluruhan angkatan 318kg.

Dengan berat badan 61.86kg, Figueroa melakukan angkatan 5.14 kali berat badannya, ke-3 terberat dalam sukan Olimpik.

2. Long Qingquan

long qingquan rekod dunia

Long Qingquan, seorang lagi atlet China dalam senarai ini adalah juara Olimpik dua kali untuk kategori berat 56kg.

Emas pertama diraih Qingquan pada Olimpik Beijing 2008, namun gagal mewakili China pada Olimpik London 2012 apabila tewas kepada rakan senegara Wu Jingbiao semasa percubaan kebangsaan untuk Olimpik berkenaan.

Namun Qingquan kembali pada edisi Olimpik Rio 2016, dengan menewaskan juara Olimpik London 2012 dan juara dunia 3 kali dari Korea Utara iaitu Om Yun Chol untuk dinobatkan sebagai juara Olimpik buat kali pertama.

Dalam angkatan emas itu, Qingquan berjaya mengangat 137kg untuk snatch dan 170kg untuk clean and jerk, sekaligus mencatatkan rekod dunia 307kg untuk kategori 56kg.

Dengan berat badan 55.68kg, Qingquan mengangkat 5.51 kali berat badannya iaitu yang ke-2 terkuat dalam sejarah Olimpik.

1. Naim Süleymanoğlu

naim s leymano lu atlet angkat berat paling hebat sepanjang zaman

Walaupun Naim Süleymanoğlu hanya berketinggian 1.47cm iaitu yang paling rendah dalam senarai ini, namun beliau merupakan atlet angkat berat paling kuat dalam sejarah Olimpik relatif kepada berat badan.

Atlat angkat berat Bulgaria-Turki ini merupakan juara Angkat Berat Dunia sebanyak 7 kali, 7 kali juara Kejohanan Eropah, 3 kali juara Olimpik dan mencipta banyak rekod dunia dalam acara ini.

Secara keseluruhan, Süleymanoğlu telah memenangi 24 pingat emas angkat berat dalam pelbagai kategori.

naim s leymano lu

Süleymanoğlu memenangi pingat emas 3 kali berturut-turut dalam sukan Olimpik iaitu pada Olimpik Seoul 1988 dan Olimpik Barcelona 1992 untuk kategori 60kg, serta Olimpik Atlanta 1996 untuk kategori 64kg.

Beliau mula mencipta rekod dunia pada usia 19 tahun apabila melakukan angkatan keseluruhan 335.5kg di Kejohanan Dunia 1986 untuk kategori 60kg.

Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan oleh Süleymanoğlu sendiri di Olimpik Seoul 1988 dengan angkatan 342.5kg untuk meraih emas.

Diberikan nama samaran "The Pocket Hercules",  Süleymanoğlu yang kemudiannya bertanding dalam kategori 64kg mencatatkan rekod dunia dengan angkatan keseluruhan 322.5kg di Kejohanan Dunia di Melbourne tahun 1993.

naim s leymano lu atlet angkat berat terhebat

Rekod kategori 64kg dipecahkan beliau sebanyak 2 kali pada tahun 1994 (Kejohanan Dunia Istanbul) dengan angkatan 330kg dan dalam Olimpik Atlanta 1996 dengan angkatan 335kg.

Pada tahun 2001, Süleymanoğlu menerima anugerah Olympic Order, anugerah tertinggi Pergerakan Olimpik dan dianugerahkan atas sumbangan yang sangat istimewa kepada Pergerakan Olimpik.

Dalam kategori 60kg Olimpik Seoul 1988, Süleymanoğlu dengan berat badan 59.7kg melakukan angkatan snatch 152.5kg (rekod dunia) dan 190kg untuk clean and jerk, menjadikan angkatan keseluruhan kepada 342.5kg iaitu 5.73 kali berat badannya.

Sehingga kini, Süleymanoğlu adalah satu-satunya atlet angkat berat yang berjaya melakukan angkatan clean and jerk 10kg lebih dari 3 kali ganda berat badannya, yang dilakukannya pada Olimpik Seoul 1988.

Dengan ini, Süleymanoğlu dianggap sebagai atlet angkat berat Olimpik terbaik sepanjang zaman dari segi perbandingan berat badan dengan berat angkatan dan salah seorang atlet angkat berat Olimpik terhebat yang pernah wujud. 

Süleymanoğlu meninggal dunia pada 18 November 2018 di usia 50 tahun dan sebuah filem mengenai kehidupan dan kariernya bertajuk "Cep Herkülü: Naim Süleymanoğlu" ditayangkan di Turki pada 22 November 2019.

Rujukan:

1. Barbend

2. Olympedia

3. Olympics




Hakcipta iluminasi.com (2017)