Oleh pada 05 Aug 2021 kategori

Memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik pastinya impian tertinggi seorang atlet profesional yang sukannya dipertandingkan dalam temasya sukan yang dipertandingkan setiap 4 tahun itu. Ianya pasti satu kenangan terbaik kerana dapat mengalahkan atlet-atlet elit dari seluruh dunia. Malah, memperoleh pingat gangsa pun sudah cukup membanggakan. 

Namun, ada juga atlet yang sangat hebat sehinggakan mereka berupaya memenangi begitu banyak pingat dalam Sukan Olimpik. Bagi sukan renang dan gimnastik misalnya, kedua sukan ini mempunyai lebih banyak kategori yang dipertandingkan maka tidak mustahil seseorang atlet yang hebat dalam kedua sukan mampu memenangi lebih daripada 1 pingat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, kami ingin kongsikan pula senarai 7 atlet yang mengutip pingat terbanyak dalam sejarah Sukan Olimpik. Untuk makluman juga, jumlah pingat yang dikutip ini merupakan gabungan jumlah pingat yang pernah dimenangi seseorang atlet itu untuk kesemua Sukan Olimpik yang mereka sertai. 

7. Paavo Nurmi  - Finland, trek

paavo nurmi

12 pingat: 9 emas, 3 perak

Dengan gelaran "Flying Finn", beliau mendominasi acara larian pada awal abad ke-20, menetapkan 22 rekod dunia pada jarak antara 1500 meter dan 20 kilometer dalam kariernya selama 14 tahun. Pada tahun 1923, beliau memegang rekod dunia serentak dalam kategori jarak 1 batu, 5,000m dan 10,000m, suatu pencapaian yang sejak itu tidak pernah dicatatkan mana-mana atlet lain. 

Persembahan Olimpik terhebatnya muncul di Sukan Paris 1924 di mana beliau memenangi 5 emas mengejutkan dalam acara 1,500m, 5,000m, berpasukan 3,000m dan perlumbaan merentas desa berkumpulan dan individu. Beliau memecahkan rekod dunia dalam jarak 1,500m dan 5,000m dengan hanya satu jam jarak antara kedua perlumbaan itu.

6. Takashi Ono - Jepun, gimnastik

takashi ono

13 pingat: 5 emas, 4 perak, 4 gangsa

Ia memerlukan usaha yang besar untuk memecahkan dominasi Soviet memenangi pingat emas gimnastik pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, tetapi Takashi Ono berjaya melakukannya dengan cemerlang terutama pada Sukan Roma 1960 di mana beliau merangkul 3 emas, 1 perak dan 2 gangsa.

Pada masa itu, Ono sudah hampir ke penghujung kariernya pada usia 29 tahun. Namun, beliau meneruskan satu Olimpik terakhir di negara asalnya pada tahun 1964 dan membantu pasukan lelaki negara Jepun meraih emas kedua berturut-turut di Tokyo, sebelum bersara sebagai ikon sukan Jepun.

5. Edoardo Mangiarotti - Itali, lawan pedang

edoardo mangiarotti

13 pingat: 6 emas, 5 perak, 2 gangsa

Dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dalam sukan lawan pedang di Itali, Mangiarotti ditukarkan oleh bapanya dari pelawan pedang tangan kanan ke tangan kiri untuk membuatnya sukar dikalahkan lawan. Beliau dilatih untuk menjadi dominan dalam 2 disiplin lawan pedang - "epee" dan "foil".

Membuat penampilan pertamanya di Olimpik Berlin 1936 dengan emas epee berpasukan, Mangiarotti tampil dalam empat lagi Sukan Olimpik selepas Perang Dunia  Ke 2. Sukan Helsinki 1952 adalah saat kemuncaknya apabila memenangi emas dalam pertandingan pasukan dan individu epee dan bertanding bersama adiknya Dario.

4. Boris Shakhlin - Kesatuan Soviet, gimnastik

boris shakhlin

13 pingat: 7 emas, 4 perak, 2 gangsa

Boris Shakhlin mendominasi gimnastik lelaki pada awal 1960-an selama satu dekad. Kemuncak prestasinya muncul di Olimpik Roma 1960 di mana beliau meraih 4 emas, 2  perak dan 1 gangsa.

Dikenali sebagai Manusia Besi kerana "tekad dan ketekunannya yang tegas", tubuh badannya yang tegap membantunya untuk sering membuat persembahan memenangi emas di kategori palang bertingkat dan gelang roman. Namun, pada usia 35 tahun, beliau terpaksa bersara dari gimnastik setelah mengalami serangan jantung.

3. Nikolai Adrianov - Kesatuan Soviet, gimnastik

nikolai adrianov

15 pingat: 7 emas, 5 perak, 3 gangsa 

Nikolai Adrianov merupakan  ahli gimnastik lelaki yang unggul pada tahun 1970-an, menyertai Sukan Montreal 1976, merangkul 4 emas, 2 perak dan 1 gangsa dalam persembahan gimnastik yang dominan. Walaupun turut memenangi emas di Olimpik 1972 dan 1980, hanya di Montreal beliau memenangi emas kategori all around.

Adrianov bersara tidak lama selepas Sukan Moscow 1980 dan menjadi jurulatih terkenal untuk pasukan junior dan senior Russia serta pasukan gimnastik Olimpik Jepun. Malangnya, beliau menderita gangguan neurologi yang jarang berlaku selepas itu dan meninggal pada tahun 2011 pada usia 58 tahun.

2. Larisa Latynina -  Kesatuan Soviet, gimnastik

larisa latynina 296

18 pingat: 9 emas, 5 perak, 4 gangsa

Dalam tiga Sukan Olimpik dari 1956 hingga 1964, Latynina membantu Kesatuan Soviet sebagai kuasa dominan dalam gimnastik. Beliau melakukan penampilan sulung dalam Sukan Olimpik dengan 4 emas di Melbourne. Latar belakangnya sebagai penari memberinya kelebihan untuk memikat juri dengan pergerakannya yang memukau. 

Ketika Latynina memenangi 6 pingat terakhir dari 18 pingat sepanjang kerjayanya di Sukan Tokyo 1964, beliau hanya dua bulan dari ulang tahunnya yang ke-30. Ramai ahli sukan gimnastik yang sudah lama bersara pada usia itu. Rekodnya merangkul 18 pingat Olimpik hingga 2012, hanya berjaya dipecahkan oleh Michael Phelps.

1. Michael Phelps - Amerika Syarikat, renang

michael phelps

28 pingat: 23 emas, 3 perak, 2 gangsa

Michael Phelps berada dalam kelasnya tersendiri dan telah mencipta rekod yang mungkin tidak boleh dipecahkan - pingat Olimpik terbanyak (28), pingat emas terbanyak keseluruhan (23), pingat emas terbnyak dalam satu Sukan Olimpik (8 di Sukan Olimpik Beijing 2008) dan rekod dunia paling banyak dipecahkan untuk renang (39).

Michael Phelps juga menang dengan kontroversi yang mininum, sentiasa senyum dan peramah, menjadikannya seorang olahragawan teladan untuk dicontohi oleh semua yang lain. Walaupun secara peribadinya pernah memerangi gangguan hiperaktif defisit perhatian pada awal hidupnya dan kemurungan setelah bersara, beliau selalu memberi inspirasi kepada perenang lain. 

Kredit:

  1. Yahoo! News
  2. NBC Sports
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)