Oleh pada 30 Jul 2024 kategori

Rakyat Malaysia rasanya dah tahu ganjaran wang tunai yang sangat lumayan menanti atlet negara kita yang berjaya membawa pulang pingat, tak kiralah gangsa, perak apatah lagi pingat emas.

Tetapi bukan semua ganjaran akan datang dalam bentuk wang tunai semata-mata. Ada juga atlet daripada negara tertentu ditawarkan ganjaran yang agak unik serta berbeza, bergantung kepada tawaran yang datang sama ada dari kerajaan mahupun pihak swasta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima ganjaran untuk atlet Olimpik yang agak luar biasa, kerana keunikannya.

1. Lembu, rumah dan kedai

ganjaran atlet olimpik indonesia

Greysia Polii dan Apriyani Rahayu merupakan pasangan yang berjaya meraih pingat emas bagi Indonesia dalam kejohanan Olimpik tahun 2020 yang diadakan di Tokyo.

Selepas kejayaan mereka memenangi emas pertama Indonesia bagi acara beregu wanita, kedua-duanya diumum mendapat ganjaran 5 billion Rupiah atau kira-kira RM1.4 juta seorang yang ditawarkan oleh kerajaan Indonesia.

Tidak cukup dengan itu, Apriyani yang berasal dari Kepulauan Sulawesi turut dijanjikan ganjaran oleh gabenor Sulawesi 5 ekor lembu dan sebuah rumah. Kedua-duanya juga dihadiahkan sebuah restoran bakso daging hadiah daripada sebuah rangkaian francais restoran terkenal di sana.

2. Apartment sendiri

atlet kazakhstan dapat apartment

Bagi memastikan atlet dari Kazakhstan yang telah bersusah payah menabur bakti untuk cuba menaikkan nama negara, Kementerian Budaya dan Sukan Kazakhstan menawarkan ganjaran yang unik bermula tahun 2020 sebagai insentif bagi setiap atlet mereka.

Terbuka kepada atlet dalam kejohanan Olimpik dan juga Paralimpik, pemenang pingat emas akan dihadiahkan sebuah kediaman berbentuk apartment 3 bilik, bagi perak apartment dua bilik dan untuk pemenang gangsa, apartment 1 bilik.

Mereka boleh memilih lokasi apartment itu ditetapkan dari daerah kelahiran mereka ataupun ditawarkan unit yang terletak di ibu negara mereka Astana, Almaty atau Shymkent. Ganjaran wang tunai pun, tetap ada. Setiap pemenang pingat emas Kazakhstan akan menerima RM1.2 juta.

3. Beras. 6 tan beras!

kasumi ishikawa dapat beras

Selain bergiat aktif dalam sukan ping-pong, atlet Olimpik Jepun, Kasumi Ishikawa juga merupakan seorang ahli kelab sukan bagi National Federation of Agricultural Cooperative Associations (ZEN-NOH), salah sebuah badan yang bertanggungjawab memajukan industrian pertanian di sana.

Demi memperkuatkan semangat Kasumi, ZEN-NOH menawarkan ganjaran unik untuk beliau semasa bertanding dalam Olimpik 2016 di Rio, Brazil. Seandainya Kasumi berjaya membawa pulang apa saja pingat, Kasumi akan dihadiahkan dengan 100 guni beras yang mempunyai berat keseluruhan 6 tan.

Dalam temasya tersebut, Kasumi berjaya membawa pulang pingat perak dan hadiah 100 guni beras itu menjadi miliknya.

4. Minyak percuma seumur hidup

atlet filipina minyak seumur hidup

Di antara ramai atlet yang menempa kejayaan, rasanya ganjaran yang diberikan kepada atlet Filipina, Hidilyn Diaz mungkin paling membuatkan penulis iri hati. Hidilyn mencipta sejarah menjadi atlet Filipina pertama bergelar juara Olimpik selepas memenangi acara angkat berat kategori 55kg.

Selain ganjaran wang tunai serta BEBERAPA buah rumah yang dihadiahkan oleh pemaju perumahan di negara itu, Hidilyn juga mendapat ganjaran isian minyak secara percuma di mana-mana stesen minyak di bawah rangkaian jenama Phoenix Petroleum.

Tidak cukup dengan ganjaran seumur hidup itu, Hidilyn juga menerima imbuhan PHP 5 juta daripada syarikat tersebut, yang turut bertindak selaku penaja rasmi atlet Filipina.

5. Teh tarik percuma seumur hidup!

teh tarik seumur hidup kontinjen olimpik

Sekiranya atlet Filipina memenangi hadiah isian minyak percuma seumur hidup, kita di Malaysia pula boleh berbangga dengan hadiah yang ditawarkan oleh sebuah rangkaian restoran tempatan. Ye lah, kita dan makanan memang sukar nak dipisahkan walaupun kita bercakap tentang golongan atlet.

Rangkaian restoran Teh Tarik Place menjanjikan makan dan minum percuma kepada semua atlet negara yang beraksi di pentas Olimpik 2020 Jepun. Tak perlu menang sebarang pingat, cukup dengan mewakili negara sudah memadai untuk atlet menghirup seberapa banyak gelas teh tarik yang mereka mahukan.

Kami tidak tahu berapa jumlah gelas teh tarik dan roti canai yang telah dipesan atlet kita setakat ini. Harapnya tak banyaklah. Kalori dalam kedua-dua makanan dan minuman popular kita itu, agak tinggi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)