Teh Tarik Crew Breakdancer Malaysia
Bagi individu bergelar atlet, kejayaan merangkul pingat di temasya Olimpik merupakan impian mereka.
Selain ganjaran berbentuk monetari, bergelar pemenang pingat Olimpik tak kira apa warnanya sekalipun meletakkan individu itu sebagai atlet berprestasi tinggi berjaya mencapai kemuncak tertinggi kariernya. Adakah anda seorang penari?
BESARKAN TEKS A- A+
Lebih khusus lagi, adakah anda seorang breakdancer? Ada ada memasang mempunyai impian bergelar pemenang pingat Olimpik?
Kami yakin artikel ini boleh memulakan langkah anda mencapai impian itu.
Breakdance - sukan atau seni?
Perlu kami perjelaskan terlebih dahulu, untuk artikel ini kami menggunakan istilah 'breakdance' sebagai kata nama jenis tarian itu. Secara rasminya, DBP sendiri mengesahkan penggunaan istilah 'breakdance' sebagai labelnya. OK!
Pada bulan Disember tahun 2020, breakdance diisytiharkan secara rasmi akan menjadi salah satu acara sukan Olimpik tahun 2024 yang bakal berlangsung di Paris, Perancis - dipertandingkan sebagai acara 'breaking.'
Tiga lagi sukan yang turut diterima penganjur temasya Olimpik iaitu International Olympic Committee (IOC) dalam pengumuman tersebut adalah luncur air, papan selaju dan sukan memanjat.
Breaking pula hanya akan dianjurkan pada temasya tahun 2024 sementara 3 lagi acara baru itu telah selamat dilangsungkan buat kali pertama di Tokyo.
Usaha pihak yang berkait dengan acara breaking melobi agar sukan ini diterima sebagai acara Olimpik, telah berjalan selama beberapa tahun lamanya yang menggariskan beberapa faedah positif sekiranya cadangan itu diterima.
Bagi mereka yang aktif dalam bidang tarian - mereka berpendapat tidak ada bezanya penari breaking dengan atlet lain. Keperluan fizikal yang tinggi untuk menjayakan satu pergerakan memerlukan seseorang berada pada tahap tubuh yang optimum dan apa yang mereka lakukan, seharusnya dilihat juga sebagai sejenis sukan.
Namun bagi golongan yang menentang cadangan ini, mereka meletakkan tarian sebagai sesuatu yang perlu dinilai ibarat sebuah seni pergerakan dan persembahan.
Oleh kerana tarian itu bersifat seni, mereka yang menolak bimbang mutu pengadilan adil sukar dijalankan dek kesukaran untuk membezakan keupayaan di antara seorang penari dengan seorang penari lain, kerana penilaiannya sangat subjektif.
Hujah mereka, adakah seorang breakers yang mampu berpusing di atas kepalanya sebanyak 10 kali pusingan jauh lebih hebat berbanding penari yang menari mengikut kaedah yang kurang teknikal dan kurang mencabar, tetapi mampu menghasilkan persembahan lebih baik?
Walaupun berdepan rungutan serta kritikan yang timbul, IOC memilih untuk terus membenarkan breaking dianjurkan disebabkan beberapa perkara.
Olimpik perlu dimoden dan diringkaskan acaranya
Keputusan badan Olimpik itu menimbulkan pelbagai persoalan tentang hala tuju kejohanan tersebut di masa hadapan, apatah lagi beberapa sukan tradisional seperti skuasy belum pernah terpilih untuk dijadikan acara anjuran.
Berdepan kritikan dari setiap sudut, Thomas Bach, presiden IOC memperjelaskan bahawa keputusan mengiktiraf breaking sebagai sebuah sukan adalah selari dengan usaha IOC untuk merealisasikan temasya sukan itu dalam dunia pasca pandemik Covid-19.
Agenda IOC ketika ini sedang berusaha mencari jalan dalam memastikan acara yang dipertandingkan mampu dikurangkan kos penganjurannya serta dapat dijalankan dalam suasana lebih ringkas dan terkawal.
Breaking menepati kriteria ini menurut mereka. Ini kerana breaking mudah dianjurkan dan dalam masa yang sama, selaras dengan hasrat besar IOC untuk memodenkan kejohanan serta menarik minat generasi lebih muda, agar Olimpik kekal sebagai temasya acara sukan yang relevan mengikut arus semasa.
Berdasarkan manifesto agenda IOC yang bakal diterapkan kedalam kempen penganjuran 3 temasya iaitu Tokyo 2020, Paris 2024 dan kejohanan tahun 2028 di Los Angeles, penyertaan atlet ke dalam acara berkategori sukan urban bakal dipertingkatkan.
Selain itu IOC juga sedang aktif menjalankan gerak kerja untuk menyeimbangkan bilangan atlet lelaki dan wanita yang bertanding, agar lebih sama rata.
Potensi besar emas pertama Malaysia!
Proses pengiktirafan sukan breaking mula rancak selepas ujian penganjuran pertama berjaya dijalankan semasa penganjuran temasya Olimpik remaja tahun 2018 di Buenos Aires, Argentina yang mendapat maklum balas positif.
Selepas beberapa siri penilaian melibatkan penganjuran acara tersebut dalam kejohanan dan pertandingan lebih kecil, akhirnya IOC mengumumkan kebenaran kepada Perancis untuk menganjurkan sukan tersebut sebagai tuan rumah buat julung-julung kalinya.
Sebut pasal tarian, sudah pastilah tak sah kalau kita tak menyebut negara India yang cukup terkenal dengan seni tari menari.
India melalui All India Dancesport Federation (AIDSF) telah memulakan langkah awal bagi memastikan India bakal menjadi salah satu negara bertanding dalam penganjuran sulung tersebut.
AIDSF ketika ini sedang giat mengaturkan acara dan sesi latihan bagi mengasah bakat tempatan, agar dapat mempersembahkan gerakan mantap dan cemerlang serta mampu membawa pulang emas untuk India. Jangan terkejut jika filem Tamil dan Hindustan semakin banyak adegan hero dan heroin menari breakdance.
Bagaimana dengan persediaan kita?
Negara kita juga sudah mengorak langkah awal selepas memenangi emas pertama Sukan SEA dalam kategori breakdance, menerusi atlet breakdance negara Sam Jee Lek atau Lego Sam, dalam penyertaan kejohanan Sukan Sea Filipina 2019.
Namun sayangnya Sukan Sea Hanoi yang bakal dianjurkan bulan Disember tahun 2021 tidak menampilkan acara serupa. Ketika ini sudah berusia 26 tahun, Lego Sam berhasrat untuk menjadi wakil Malaysia pertama dalam acara yang bakal berlangsung di Paris 3 tahun lagi.
Tetapi pengalamannya perlu mengeluarkan dana sendiri RM5,000 untuk kos latihan, penerbangan dan penginapan semasa penyertaan di Filipina perlulah dipandang berat badan-badan berwajib.
Negara kita mempunyai barisan penari breakdance yang cukup mantap.
Lihat saja sambutan masyarakat kita terhadap program pertandingan Showdown yang pernah berlangsung disiarkan di kaca TV, menonjolkan ramai anak muda berpotensi besar serta nampaknya tidak gentar untuk melakukan aksi berisiko tinggi.
Malangnya, penerimaan orang ramai khasnya pihak-pihak badan pengurusan sukan di negara kita terhadap sukan sebegini belum benar-benar terbuka kadarnya. Kita belum benar-benar ada sistem kejurulatihan dan pencarian bakat baru yang berkesan, sekiranya pengalaman Lego Sam dijadikan ukuran.
Mungkin dengan penganjuran acara breaking di Olimpik 2024, barulah semakin banyak pihak membuka mata terhadap prospeknya.
Bakat-bakat sebegini harus disokong dan diasah
Bagi rakyat Malaysia, kita masih ada tempoh 3 tahun untuk mula serius mengetengahkan bakat breakdance negara ke satu tahap yang lebih tinggi.
Kita ada ramai penari shuffle dalam Youtube. Kita ada ramai anak muda yang melepak di tengah kota satu masa dahulu sebelum PKP menari battle sambil disaksikan orang ramai.
Tidak mustahil emas pertama Malaysia di sukan Olimpik datang dari sukan breakdance. Anda seorang breakdancer?
Ini peluang besar untuk anda. Rebutlah peluang untuk menjadi pemenang pingat emas Olimpik, dengan menggunakan kemahiran tarian anda.
Rujukan
Gender equality and youth at the heart of the Paris 2024 Olympic Sports Programme
Olympics branded a 'mockery' after inclusion of breakdancing for Paris Games