Sumber foto: Kosmo Online
Seorang pemuda meninggal dunia akibat dibelit ular sawa sepanjang 2.4 meter menerusi sebuah insiden di Jalan Haji Ibrahim, Jenjarom, di Kuala Langat awal pagi semalam.
Menerusi insiden malang sekitar jam 3.30 pagi itu, mangsa, Zaim Khalis Kosnan (35 tahun) maut di tempat kejadian disebabkan belitan reptilia berkenaan dengan berat lebih kurang 80 kilogram.
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, pihaknya mendapat laporan menerusi panggilan telefon daripada orang awam sekitar jam 4 pagi.
Mereka kemudiannya sampai di tempat kejadian 4 minit selepas itu, melibatkan 7 anggota serta pegawai.
"Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kita dapati mangsa telah meninggal dunia manakala mayatnya ditutupi dengan kain pelikat oleh orang ramai," jelasnya.
Dalam pada itu, ular sawa itu mati dipukul oleh orang awam. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting bagi proses bedah siasat.
Sumber berita: Utusan Online