Oleh pada 05 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Agensi

Menurut pihak berkuasa kesihatan kelmarin, sejumlah 12 individu di Cape Timur, Afrika Selatan meninggal dunia serta puluhan lagi dikejarkan ke hospital disebabkan keracunan makanan setelah menikmati daging seekor lembu yang maut kerana dipatuk ular tedung selar.

Mangsa yang terbunuh adalah 7 dewasa dan 5 kanak-kanak.

Pada Khamis lepas, portal Mail Online mendedahkan 60 penduduk Kampung Mpoza, berdekatan bandar Tsolo terpaksa dihantar ke beberapa hospital setelah menghidapi cirit-birit, muntah-muntah, sakit kepala dan kejang perut diyakini kerana bisa ular yang merebak dalam daging lembu berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 16 kanak-kanak dikejarkan ke hospital, 8 daripadanya dipindahkan ke wad pediatrik Akademi Hospital Nelson Mandelas, serta mereka yang lain dihantar ke Hospital Negeri Mthatha.

Menurut jurucakap Jabatan Kesihatan Cape Timur, Afrika Selatan, Sizwe Kupelo, berikutan angka kematian agak tinggi, pihaknya telah menentukan untuk memisahkan pesakit dan mengawasi keadaan mereka.

“Hospital St. Barnabas di Libode telah bersedia menerima pesakit tambahan bagi kes ini. Orang ramai digesa tidak memakan bangkai lembu yang mati akibat dipatuk ular kerana ia hanya mengundang padah jika kamu berbuat demikian,” ujarnya.

Ular tedung selar adalah reptilia jenis Elapidae iaitu dari keluarga ular berbisa yang hidup di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia.

Racun haiwan itu mengandungi neurotoksin possinaptik yang merebak dengan pantas dalam pergerakan darah mangsa, mengakibatkan kegagalan pernafasan dan disudahi dengan kematian.

Sumber berita: Agensi & Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)