Oleh pada 21 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Harian Metro / Mohd Sah Muda

Bekas pelumba basikal Sukan Malaysia (SUKMA) Johor pada tahun 1998, meninggal dunia apabila motosikal dinaikinya dilanggar kereta dari belakang di simpang ke rumahnya di Kilometer 5, Jalan Mersing-Endau, Johor, semalam.

Jema'in Md Khalid (39 tahun) yang menaiki Suzuki Smash cedera parah di bahagian kepala dan badan setelah tercampak beberapa meter kerana dilanggar dengan kuat, sekitar pukul 7.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edword Nuing, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk menjalani proses bedah siasat.

Beliau berkata semasa nahas, mangsa dalam perjalanan balik ke kediamannya di kawasan berdekatan setelah menyerahkan kuih ke Pasar Tepian Sungai, Mersing.

Menurut siasatan, pemandu Proton Waja berumur 49 tahun tersebut dikesan tidak mempunyai lesen memandu.

“Pemeriksaan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai saman memandu tanpa lesen dan cukai jalan manakala insurans kereta itu sudah tamat tempoh,” ujarnya.

Justeru itu, pemandu lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)