Kredit foto: New Straits Times & Facebook Mona Syamimi
Penyanyi Erra Fazira yakin kehadiran Shahir dalam Konsert Akhir AF Megastar amat dinantikan para peminatnya.
Susulan itu, primadona itu mahu Shahir menguatkan semangatnya untuk melangsaikan perjuangan akhir dalam konsert kemuncak yang bakal berlangsung Ahad ini.
"Saya berharap dia tidak terlalu mengikut perasaan. Apa yang dihadapinya adalah perkara biasa dan menjadi asam garam dunia artis.
"Mungkin tampak senang untuk bercakap sedemikian kerana bukan kita yang mengalaminya. Namun, selepas berjuang sejak awal dalam pertandingan ini, hingga mara ke peringkat akhir, dia kenalah kuat semangat," kata Erra menurut laporan portal BH Online.
Erra menganggap penglibatan penyanyi berusia 29 tahun itu di peringkat akhir program berkenaan sebagai rezeki dan dalam masa yang sama, ada halangan serta dugaan yang perlu dilaluinya.
"Saya percaya, ramai peminat yang sayangkan bakatnya. Ramai juga yang mahu melihat dia beraksi di pentas akhir pertandingan itu," katanya lagi.
Dalam pada itu, Erra mendedahkan percubaannya untuk menghubungi penyanyi itu petang semalam berjaya.
Dalam perbualan tersebut, Erra memberikan kata-kata semangat supaya beliau meneruskan persaingan dalam rancangan realiti berkenaan.
Terdahulu, Shahir menerusi laman Instagram menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada AF Megastar kerana mendakwa disabotaj pihak tertentu berkaitan isu yang mengaitkan dirinya dengan pramugari bernama Mona Syamimi.
Sementara itu, Erra berkata, dia memandang positif musibah yang terjadi kerana pasti terkandung hikmah tersembunyi di sebaliknya.
"Dalam seribu kekalutan yang muncul, ada pengajaran yang boleh kita sama-sama belajar daripadanya. Kalau nak ambil yang negatif, maka negatif jadinya," ujarnya.
Sumber berita: BH Online