Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia
Penyanyi Shahir Zawawi menafikan aksinya menangis sewatu bertanding di Konsert AF Megastar kerana ingin meraih simpati netizen susulan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.
Sebaliknya, jelas penyanyi berusia 29 tahun itu, dia amat sukar mengalirkan air mata, namun akhirnya gagal mengawal emosi di hujung persembahan.
“Saya agak sensitif apabila bercakap soal ibu dan rasanya semua orang pun begitu. Sebenarnya dari peringkat awal saya dah mula rasa sebak tapi saya tahan kerana takut mengganggu persembahan.
“Tapi ketika selesai persembahan saya dah tak boleh nak control. Kalau ada yang kata saya sengaja berdrama... sebenarnya saya pernah berlakon dan perkara yang paling susah saya nak buat ialah babak air mata.
“Saya pernah jalani penggambaran dan pengarah terpaksa tunggu lama untuk dapatkan babak saya menitiskan air mata. Jadi, kalau saya menitiskan air mata ia ikhlas dan bukanlah dibuat-buat,” katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Shahir mengulas aksinya menitiskan air mata di hujung persembahan lagu single terbaharu berjudul ‘Mama Jangan Pergi’ di Konsert Akhir AF Megastar pada Ahad.
Lagu tersebut ciptaan olehnya sendiri bersama komposer Awi Rafael.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia menangis kerana ibu, Erra Fazira ataupun Mona, Shahir hadir dengan jawapannya yang tersendiri.
“Nyanyian itu terang-terang untuk ibu saya, bukan untuk Erra mahupun Mona. Dalam sedutan video yang dipaparkan sebelum persembahan tadi pun saya ada sebut, lagu ini saya cipta khas untuk ibu saya dan ibu-ibu di luar sana,” jelasnya.
Terdahulu, penyanyi itu digosipkan dengan pramugari bernama Mona Syamimi selepas beberapa keping foto mesra mereka tersebar.
Meskipun dia menyifatkan hubungan itu hanyalah antara artis dan peminat, namun Mona menafikan dengan mendakwa mereka berkawan.
Sumber berita: Astro Gempak