Kredit foto: BH Online
Aktres Erra Fazira akui hubungannya dengan penyanyi Shahir Zawawi masih dalam keadaan baik.
Dalam masa yang sama, aktres berusia 43 tahun itu memohon agar peminat dapat mendoakan hubungan mereka.
“Hubungan kami masih baik dan doakan segalanya yang terbaik buat kami. Semoga yang baik juga akan bersama dengan orang yang mendoakan kebaikan itu.
“Saya juga tidak berhasrat untuk memberi komen panjang dan membentangkan secara terperinci mengenai hubungan saya dengan Syahir. Cukuplah saya beritahu secara ringkas demi menghormati permintaan dan tugas pihak media,” katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Erra membuat kenyataan tersebut mengulas hasrat Shahir yang ingin meminangnya pada tahun hadapan.
Ditanya pendapatnya tentang kontroversi yang mengaitkan finalis AF Megastar itu dengan pramugari bernama Mona Syamimi, Erra enggan bercerita panjang.
Namun primadona itu memberitahu dia sudahpun berbincang dengan penyanyi berkenaan termasuk mendapatkan pendapat rakan-rakan artis.
“Saya sudah dimaklumkan oleh Shahir sendiri mengenai isu itu. Selain itu, saya juga ada bertanya pandangan teman-teman dalam industri seni serta mereka yang prihatin berkaitan isu terbabit
“Justeru, sedikit-sebanyak saya faham permainan dan sepak terajang dunia hiburan tanah air. Saya juga tidak mahu komen lebih-lebih kerana ia hanya akan memanjangkan isu yang tidak ada hala tuju itu.
“Saya percaya semua orang melalui gelombang hidup dan mempunya sisi cerita tersendiri. Ini adalah sebahagian cerita dalam kehidupan kita,” katanya lagi.
Sebelum ini, industri hiburan digemparkan dengan penyebaran foto-foto mesra Shahir dan Mona di laman sosial sedang dalam masa yang sama umum mengetahui akan hubungan istimewanya dengan Erra.
Sumber berita: Harian Metro