Kredit foto: msn news & Instagram Mona Syamimi
Wanita yang digosipkan dengan Shahir Zawawi iaitu Mona Syamimi menafikan dakwaan kononnya dia ingin mensabotaj karier penyanyi itu.
Mona mengulas kenyataan Shahir yang berniat mahu menarik diri daripada Konsert Akhir AF Megastar kerana mengatakan ada pihak iri hati ingin menutup periuk nasinya.
Sebaliknya, Mona berkata, dia hanya mahu penyanyi tersebut membuat permohonan maaf secara peribadi susulan kenyataan yang dikatakan palsu.
"Untuk apa saya nak sabotaj dia seperti didakwa itu? Saya bukannya artis. Kalau saya artis barangkali saya ada niat sebegitu. Saya hanya orang biasa.
"Tak perlu untuk dia bersandiwara lagi. Benda sudah terang lagi bersuluh. Saya hanya mahu dia minta maaf saja kepada saya kerana sudah memalukan diri ini. Saya bukan peminat atau penyokongnya seperti yang dikatakan dia," katanya menurut laporan portal BH Online.
Sebelum ini, Shahir memaklumkan pihak media status hubungannya dengan Mona hanyalah antara seorang selebriti dan peminat. Mona pula mengeluarkan kenyataan yang bercanggah kerana menyifatkan hubungan mereka sebagai kawan.
Dalam pada itu, Mona berharap pemuda berusia 29 tahun itu akan menjauhkan diri daripadanya selepas ini.
Mona yang juga seorang pramugari memberitahu dia sudah punya kekasih baru iaitu seorang pemain bola sepak.
Kredit foto: Instagram Mona Syamimi
"Saya tak mahu dikaitkan dengannya lagi selepas ini. Jangan ganggu kawan saya lagi atas apa alasan sekalipun.
"Malah selepas muncul di FB Live Harian Metro tadi pun, dia ada hubungi saya. Tapi saya tak angkat.
"Sebulan lalu memang kami ada keluar bersama. Tapi kini saya sudah ada kekasih baru, seorang pemain bola," jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Mona berharap penyanyi itu juga dapat meneruskan perhubungannya dengan primadona Erra Fazira selepas ini.
Terdahulu, dunia hiburan digemparkan dengan beberapa keping foto mesra Mona dan Shahir yang menggambarkan mereka sedang keluar bersiar-siar bersama.
Meskipun penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu memberitahu umum dia menganggap Mona hanya sebagai peminat, namun wanita itu berkata sebaliknya dengan melabelkan status hubungan tersebut sebagai kawan.
Sumber berita: BH Online