Oleh pada 19 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Mona Syamimi & Instagram Shahir

Penyanyi Shahir Zawawi memberitahu dia bakal menyunting aktres Erra Fazira selepas tiga tahun usia perkenalan mereka.

Finalis akhir AF Megastar itu berkata, di hatinya kini hanya ada primadona itu dan mereka akan mendirikan rumah tangga pada awal tahun hadapan.

"Selama lebih tiga tahun menjalinkan hubungan istimewa dengan Erra, saya berani katakan, hanya dia yang bertakhta di hati. Tiada wanita lain selain dirinya.

"Saya juga berhasrat ingin memperisterikannya, awal tahun depan. Kenyataan ini juga dikeluarkan bukan bermaksud saya cuba mengalih kontroversi yang melanda sekarang.

"Saya perlu memberikan justifikasi kepada perhubungan kami. Harapan saya, tiada orang lain yang akan mengganggu-gugat hubungan kami," katanya memetik laporan laporan portal BH Online.

Shahir membuat kenyataan tersebut ketika beberapa keping foto dirinya bersama pramugari bernama Mona Syamimi menjadi tular dan menimbulkan kontroversi.

Dalam masa yang sama, penyanyi berusia 29 tahun itu sedang menantikan kenyataan terbaru daripada Mona yang berjanji mahu meleraikan kekusutan yang ditimbulkan.

Jelas Shahir, wujud salah faham dalam komen dikeluarkan pramugari itu sehingga kelihatan kenyataan mereka seolah bercanggah.

"Nampak ada percanggahan kenyataan antara saya dengan Mona. Saya diberitahu, wujud salah faham terhadap kenyataan yang diberikannya.

"Mona berjanji akan memberikan kenyataan baharu, sekali gus membersihkan nama saya. Saya kini hanya menunggu dan lihat," dedahnya.

Terdahulu, Mona memuat naik beberapa keping foto bersama Shahir di laman sosial menggambarkan mereka sedang keluar bersiar-siar bersama.

Lebih menghangatkan keadaan apabila kapsyen yang ditulis wanita itu dalam setiap foto seperti membayangkan mereka menjalinkan hubungan istimewa.

Susulan itu, Shahir memaklumkan media hubungan itu tidak lebih daripada sekadar kawan.

Bagaimanapun menerusi sebuah portal, Mona membidas jawapan Shahir dengan memberi kenyataan balas bertentangan.

Kredit foto: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)