Oleh pada 21 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

"Shahir masih lagi seorang daripada peserta akhir program AF Megastar".

Demikian kata pihak Astro dalam sebuah kenyataan media mengulas status laman sosial yang dimuat naik penyanyi itu berhubung niatnya untuk mengundur diri daripada rancangan realiti berkenaan.

Jelas jurucakap Astro, mereka berpendapat kiriman media sosial yang dikeluarkan Shahir hanyalah cetusan luahan berbentuk peribadi.

Sehingga kini, mereka masih mengesahkan penglibatan penyanyi itu dalam program yang bakal memasuki peringkat akhir Ahad ini.

"Kami di pihak penerbitan AF Megastarsedia maklum mengenai status yang dimuat naik Shahir di ruangan media sosialnya sebentar tadi. Namun begitu, kami merasakan ia adalah luahan peribadi Shahir secara individu.

"Setakat ini, kami boleh mengesahkan Shahir masih lagi salah seorang peserta rasmi program AF Megastar dan kami di pihak penerbitan sedang giat menyediakan kesemua peserta untuk konsert akhir yang bakal berlangsung pada hari Ahad ini," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, pihaknya yakin penyanyi itu akan bersifat profesional untuk meneruskan perjuangan dalam pertandingan, sekaligus menghargai usaha para peminat yang mengundinya hingga ke tahap ini.

"Kami yakin Shahir adalah seorang yang profesional dan akan menghargai setiap sokongan yang diberikan peminatnya terutamanya sepanjang menyertai program ini," katanya.

Terdahulu, Shahir menerusi laman Instagram memaklumkan hasrat untuk tidak bersaing di Konsert Akhir AF Megastar.

Penyanyi itu memberi alasan pengundurannya adalah untuk memuaskan hati pihak yang iri hati dengan kejayaannya dalam pertandingan tersebut.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)