Oleh pada 23 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Astro Gempak

Buat pertama kali penyanyi Shahir Zawawi tampil di hadapan media selepas kontroversi yang melandanya mengaitkan pramugari Mona Syamimi.

Kata Shahir dalam wawancara itu, dia tetap dengan hasrat terdahulu iaitu melamar Erra Fazira pada tahun hadapan.

Malah penyanyi berusia 29 tahun itu menganggap isu yang timbul sebelum ini hanyalah asam garam dalam dunia hiburan.

"Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan gosip begini, jadi saya tidak terkesan apabila timbul perkara ini.

"Saya masih Shahir yang sama, jadi tetap berhasrat untuk melamar Erra. Alhamdulillah, sebagai artis, dia juga faham apabila timbul perkara begini," katanya memetik laporan portal BH Online.

Shahir ditemui selepas tamatnya Konsert Akhir AF Megastar malam tadi.

Menjawab pertanyaaan adakah dia mungkin menghubungi Mona selepas apa yang berlaku, Shahir memberitahu jadual kerjayanya begitu padat.

"Rasanya tidak perlu untuk saya menghubungi dia (Mona) kerana minggu ini terlalu terikat dengan minggu akhir menjelang AF Megastar," jelasnya.

Malah penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu berkata, dia tidak akan tenggelam lagi dek kerana kontroversi.

Terdahulu, Shahir menyifatkan hubungannya dengan Mona hanyalah antara artis dan peminat selepas beberapa keping foto mesra mereka tersebar.

Bagaimanapun konflik mula timbul apabila Mona berkata sebaliknya yakni mendakwa hubungan mereka lebih daripada itu.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)