Oleh pada 14 Aug 2021 kategori

Kadang-kala, revolusi bermula apabila kita tidak mempunyai pilihan.

Dan bagi pelajar jurusan kejuruteraan Oregon State University iaitu Dick Fosbury, perubahan revolusionernya dalam acara lompat tinggi bukanlah berasal dari keinginan, tetapi kerana dia tidak terpilih untuk mewakili sukan football sekolah menengahnya.

dick fosbury lompat tinggi

BESARKAN TEKS     A-  A+

(Dick Fosbury)

Fosbury mula menjinakkan diri dalam acara lompat tinggi di sekolah menengah apabila beliau diberitahu tidak cukup besar untuk menyertai pasukan football dan tidak cukup mahir untuk menyertai pasukan bola keranjang.

Cubaan terakhir Fosbury dalam bidang sukan adalah acara balapan dan padang, namun masih sukar untuk mendapat tempat.

Teknik sukan lompat tinggi

lompatan mengangkang lompat tinggi

Dua teknik yang biasa digunakan dalam acara lompat tinggi sebelum Sukan Olimpik 1968 adalah lompatan mengangkang (straddle) dan lompatan gunting.

Lompatan mengangkang yang mana paling popular pada ketika itu dilakukan dengan cara yang anda fikirkan, iaitu dengan menghampiri palang dari kaki dalam dan melompat dalam keadaan muka menghadap ke bawah dalam posisi mengangkang.  

straddle flop lompat tinggi

(Lompatan mengangkang / straddle jump)

Teknik lompatan gunting pula dilakukan dengan cara berlari secara perlahan dan melakukan lompatan dari kaki luar melepasi palang, membolehkan pelompat mendarat dalam posisi berdiri.

Kedua-dua lompatan ini dilakukan dengan bahagian badan depan jatuh terlebih dahulu selepas lompatan dilakukan.

lompatan gunting lompat tinggi

(Lompatan gunting)

Jurulatih sekolah menengah Fosbury mendesak beliau untuk berlatih menggunakan teknik mengangkang, namun teknik ini tidak begitu efektif untuk Fosbury yang gagal memecahkan rekod lamanya iaitu 1.62 meter.

Oleh kerana teknik gunting membolehkan Fosbury melakukan lompatan yang lebih baik, jadi jurulatihnya membenarkan teknik ini digunakan.

Walaupun begitu teknik gunting ini lebih baik bagi Fosbury, ia tidaklah memberikan perbezaan ketara.

Dan disebabkan itu Fosbury mula melakukan eksperimen pada penghujung tahun kedua di sekolah menengah.

Pada tahun kemudian, Fosbury berjaya memecahkan rekod sekolahnya dengan lompatan 1.90 meter dengan teknik gunting yang diubahsuai.

dick fosbury mencipta teknik lompat tinggi baharu 868

Menggunakan teknik baharu ini, Fosbury lebih cenderung untuk mendarat di bahagian belakang badan dan bukannya berdiri.

Ini agak berbahaya dan boleh mencederakan beliau kerana pada ketika itu, sukan ini tidak mempunyai alas getah atau "tilam" seperti yang kita lihat pada hari ini.

Nasib menyebelahi Fosbury apabila berlaku perkembangan dalam sukan ini di mana alas getah digunakan.

Sebelum itu, pasir atau serpihan kayu digunakan sebagai bahan kawasan pendaratan kerana pelompat teknik mengangkang mendarat dengan kaki mereka dan pelompat teknik gunting mendarat dengan tangan dan kaki.

Penggunaan alas getah secara meluas membuatkan Fosbury boleh mendarat di bahagian belakang tanpa sebarang kecederaan.

Kerjaya lompat tinggi Fosbury berterusan ke peringkat universiti. Jurulatihnya mencadangkan Fosbury untuk kembali menggunakan teknik mengangkang namun beliau tidak mampu memperbaharui rekodnya.

Menggunakan teknik sendiri, Fosbury kemudiannya memecahkan rekod lamanya dengan lompatan 2.08 meter.

Sukan Olimpik yang sebelum ini hanya impian kini mampu menjadi kenyataan.

Pada usia 21 tahun, Fosbury berpeluang untuk bertanding dalam ujian Olimpik dan dengan lompatan 2.16 meter, beliau menewaskan para pesaing dan mengesahkan tempat dalam pasukan.

Dan setelah melayakkan diri ke Olimpik Mexico 1968, Fosbury yang tidak dikenali ini berpeluang memperkenalkan teknik baharunya yang tidak pernah dilihat sebelum itu.

Sukan Olimpik Mexico 1968

sukan olimpik mexico 1968

Ketika acara lompat tinggi Olimpik 1968 bermula, Fosbury sama sekali tidak menjadi pilihan untuk memenangi sebarang pingat.

Ini kerana Fosbury berhadapan dengan apa yang digambarkan oleh Track and Field News sebagai "kumpulan atlet paling sukar pernah bertanding merebut gelaran Olimpik".

Tidak "goyang" dengan kenyataan itu, Fosbury mula mengorak langkah dan berjaya menyempurnakan lompatan dalam percubaan pertamanya.

Ketika palang dinaikkan pada paras 2.18 meter, hanya tinggal 5 atlet dalam acara lompat tinggi Olimpik ini.

dick fosbury fosbury flop

Dan seperti yang dilakukan sebelum ini, Fosbury melepasi ketinggian ini dalam percubaan pertama.

3 atlet kekal untuk lompatan 2.20 meter iaitu Fosbury, Ed Caruthers juga dari Amerika Syarikat dan Valentin Gavrilov mewakili Kesatuan Soviet.

Lompatan 2.20 meter agak mudah bagi ketiga-tiga atlet ini yang berjaya dalam lompatan pertama.

Pada ketika ini, Fosbury sememangnya sudah pasti akan mendapat pingat, tetapi warna pingat tersebut bakal ditentukan dalam lompatan berikutnya.

dick fosbury

Pada ketinggian 2.2 meter, Gavrilov gagal melakukan lompatan setelah 3 percubaan yang membuatkannya terkeluar dari persaingan ini.

Sekali lagi, Fosbury berjaya dalam lompatan pertama.

Akhirnya, palang dinaikkan ke paras 2.24 meter yang merupakan rekod ketinggian Olimpik pada ketika itu bagi menentukan siapa yang bakal menggondol pingat emas antara Fosbury dan Caruthers.

Dalam lompatan ketiganya, Fosbury melakukan lompatan emas dengan melengkungkan badannya melepasi palang dan ditabalkan sebagai juara acara lompat tinggi sukan Olimpik 1968.

Malah, Frosbury juga telah memperbaharui rekod dunia dengan lompatan "unik" ini.

Penonton di seluruh dunia tergamam melihat aksi ini dan ada yang tertanya-tanya adalah teknik ini dibenarkan? Dari mana Fosbury mendapat teknik ini?

Para pengadil tidak pasti sama ada lompatan sebegini dibenarkan, tetapi tiada peraturan yang mengatakan ia satu kesalahan.

"Ia merupakan sesuatu yang diciptanya sendiri dan telah mengejutkan dunia. Saya rasa jika (para pengadil) mengetahui tentang teknik ini, mungkin mereka tidak akan membenarkannya. Ia merupakan satu teknik yang mengubah sukan ini," kata Greg Kraft, jurulatih acara balapan Arizona State University.

dick fosbury menang pingat emas lompat tinggi sukan olimpik mexico 1968

Dan teknik lompatan yang dicipta oleh Fosbury ini adalah teknik lompatan yang digunakan oleh semua atlet yang bertanding pada hari ini.

Hanya beberapa atlet dalam sejarah sahaja yang berjaya memberi kesan kepada sukan seperti mana dilakukan oleh Fosbury di Mexico pada tahun 1968.

Menjelang Olimpik 1972 di Munich di mana Fosbury gagal layak, 28 daripada 40 atlet lompat tinggi menggunakan teknik yang diberi nama "Fosbury Flop" dan kali terakhir lompatan mengangkang dilihat di Olimpik adalah pada Olimpik Seoul 1988.

lompatan emas dick fosbury

Dengan kejayaan Olimpik di Mexico sebagai pencapaian terhebat, Fosbury hilang dari dunia atletik namun namanya masih disebut sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1993, beliau dipilih sebagai "Olympic Hall of Fame" Amerika Syarikat.

Apa pendapat Fosbury tentang teknik ciptaannya yang memperbaharui sukan lompat tinggi selama-lamanya?

"Saya percaya teknik ini adalah gaya semula jadi dan saya hanyalah orang pertama yang menemuinya,".

Rujukan:

1. Global Sport Matter

2. Olympics

3. Stanford




Hakcipta iluminasi.com (2017)