Oleh pada 04 Aug 2021 kategori

Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Tokyo pada tahun 2020 merupakan acara sukan paling berprestij di dunia. Hanya atlet terbaik di antara yang terbaik sahaja bertanding di kejuaraan dunia yang berlangsung selama empat tahun sekali ini.

Hampir setiap kali ia diadakan, sejarah pasti terlakar. Olimpik Tokyo 2020 juga tidak terkecuali. Bukan sahaja  ditunda selama setahun, Olimpik Tokyo juga mencatat sejarah sebagai Olimpik pertama yang disertai atlet transgender secara terbuka.

Isu atlet transgender yang kontroversial

Penyertaan atlet transgender dalam sukan sebenarnya sudah lama menjadi isu kontroversial. Antara isu yang sering diperdebatkan adalah keadaan berat sebelah apabila atlet yang dilahirkan lelaki bertanding menentang atlet wanita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bruce Jenner, pemenang emas Olimpik Montreal 1976 menukar jantina menjadi Caitlyn Jenner

Walaupun sudah bertukar jantina, seorang atlet yang dilahirkan sebagai seorang lelaki mempunyai sifat fisiologi dan prestasi yang berbeza dengan atlet wanita dan begitu juga sebaliknya.

Dalam beberapa kejohanan sukan lain, penyertaan atlet transgender dibenarkan tetapi harus bersaing menentang atlet yang sama dengan jantina asal mereka. Ada yang menyokong peraturan ini tetapi sebahagian lagi menganggapnya sebagai diskriminasi.

Pada tahun 2003, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah memperkenalkan garis panduan baru untuk penyertaan atlet yang telah melakukan pertukaran jantina. Mereka harus menepati tiga syarat iaitu:

  1. Atlet mestilah menjalani pertukaran jantina sepenuhnya termasuklah gonadektomi (pembuangan ovari atau testis)
  2. Atlet mestilah menunjukkan pengiktirafan sah mengenai jantina mereka (Malaysia tidak mengiktiraf pertukaran jantina).
  3. Atlet mestilah menjalani terapi hormon sekurang-kurangnya dua (2) tahun sebelum penyertaan.

Perubahan peraturan baru IOC

Pada tahun 2015, IOC melakukan perubahan kerana ada negara yang tidak mengiktiraf pertukaran jantina. IOC juga menganggap peraturan kedua yang mengharuskan perubahan jantina sepenuhnya sebagai tidak selari dengan hak asasi manusia.

Garis panduan baru IOC adalah :

  1. Atlet transgender wanita (dilahirkan lelaki) perlu menyatakan jantina mereka sekurang-kurangnya selama empat (4) tahun dan menunjukkan tahap testosteron kurang daripada 10 nanomol per liter, setahun sebelum pertandingan dan sepanjang tempoh kelayakan.
  2. Atlet transgender lelaki (dilahirkan wanita) pula dibenarkan bertanding tanpa sekatan.

Garis panduan ini dihasilkan untuk Olimpik Rio 2016 tetapi tiada atlet transgender yang bertanding secara terbuka pada waktu itu. Bagi Olimpik Tokyo 2020, beberapa atlet transgender telah menghantar pemohonan mereka kepada IOC.

Pada tahun 2021, IOC telah meluluskan tiga orang atlet transgender untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Berikut adalah ketiga-tiga atlet yang dimaksudkan.

1. Laurel Hubbard

laurel hubbard

Hubbard terpilih untuk bertanding dalam acara angkat berat wanita mewakili New Zealand. Dia merupakan atlet wanita transgender pertama bertanding secara perseorangan dalam sejarah Sukan Olimpik.

Pada usia 43 tahun, Hubbard merupakan atlet paling tua bertanding dalam acara itu di Tokyo. Dalam kejohanan itu, dia bertanding atas nama asal yang diberikan ketika lahir iaitu Gavin Hubbard. Walau bagaimanapun, dia gagal memenangi sebarang pingat.

Walaupun dibenarkan bertanding, penyertaan Hubbard tetap menjadi isu kontroversial. Ada atlet angkat berat wanita yang menganggap penyertaan Hubbard sebagai jenaka, ketidakadilan kepada sukan itu dan menutup peluang peserta wanita lain.

2. Rebecca Quinn

quinn

Quinn merupakan salah seorang ahli pasukan bola sepak Canada dan merupakan atlet transgender pertama yang bertanding secara terbuka dalam Sukan Olimpik.

Bahkan, dia menjadi atlet transgender pertama yang memenangi pingat Olimpik apabila pasukan Canada berjaya mengatasi Amerika Syarikat di pusingan separuh akhir dan akan berdepan dengan Sweden pada pusingan akhir.

Pemain tengah yang berasal dari Toronto itu telah menyertai pasukan kebangsaan Canada Bawah 17 Tahun sejak tahun 2012 lagi. Ketika Canada menang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016, Quinn turut tersenarai dalam pasukan kebangsaan tetapi tidak diturunkan sepanjang pertandingan.

3. Alana Smith

alana smith

Atlet yang asalnya dilahirkan sebagai wanita ini mewakili Amerika Syarikat dalam acara papan selaju (skateboard) wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Smith melabelkan dirinya sebagai seorang atlet non-binary (tidak tergolong dalam mana-mana jantina, lelaki atau wanita).

Smith yang baru berusia 21 tahun bertanding dalam kategori Women Street namun tidak berjaya memenangi sebarang pingat. Sama seperti Laurel Hubbard, penyertaan Alana Smith menimbulkan pelbagai isu kontroversial.

Tidak mengejutkan jika lebih ramai atlet transgender yang akan menyertai Sukan Olimpik di masa hadapan walaupun sering menjadi perdebatan hangat. Apa pendapat anda? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)