Oleh pada 21 Jul 2021 kategori

Michael Phelps merupakan seorang perenang dari Amerika Syarikat dengan reputasi cukup hebat, menjadi atlit paling hebat kutipan pingat beliau dalam temasya sukan Olimpik.

Sepanjang bertanding di Olimpik, Phelps berjaya menggondol 23 pingat emas, 3 perak dan 2 gangsa; meletakkan dia sebagai atlit terulung dalam Olimpik kesemuanya dalam satu acara. Berbeza dengan Phelps, wujud satu kategori unik melibatkan atlit Olimpik memenangi pingat dalam dua sukan berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima atlit mencatat rekod paling berjaya dalam dua acara sukan Olimpik musim panas, berdasarkan kutipan pingat mereka.

5. Rebecca Romero (1 emas, 1 perak)

rebecca romero atlit wanita olimpik terbaik

Walaupun dari segi kedudukan, kutipan pingat yang dibuat atlit dari Great Britain ini hanyalah 1 pingat emas dan 1 perak - Romero adalah atlit dwi-acara Olimpik paling berjaya selepas era milenium.

Kutipan pingat perak beliau dibuat pada tahun 2004, semasa Olimpik Athens di mana dia mendapat tempat kedua dalam acara mendayung berpasukan bersama tiga lagi rakan sepasukannya.

Dalam Olimpik Beijing tahun 2008 pula, Romero memenangi pingat emas acara berbasikal kejar mengejar - memaktubkan nama beliau sebagai atlit wanita kedua mendapat dua pingat dalam acara berbeza.

Dari segi kutipan, Romero mendahului kerana kutipan yang dibuat oleh Roswitha Krause dari Jerman pada tahun 1978 hanyalah 1 perak dan 1 gangsa, meletakkan Romero sebagai rekod pemenang dwi acara terbaik dalam sejarah Olimpik atlit kategori wanita.

4. Daniel Norling (3 emas)

daniel norling olimpik

Ada 2 atlit lain yang mempunyai pencapaian sama seperti Daniel Norling dari Sweden, yang memenangi 3 pingat emas dalam 2 acara berbeza.

Apa yang membezakan Norling dengan atlit lain - dia melakukannya dalam dua acara yang tidak berkaitan iaitu acara gimnastik dan ekuestrian. Norling memenangi pingat emas pertama dan kedua dalam temasya Olimpik tahun 1908 di London dan 1912 di negara asalnya Stockholm.

8 tahun kemudian dalam Olimpik 1920 di Antwerp, Belgium, Norling membuat kemunculan dalam acara lompat berpasukan ekuestrian dan memenangi pingat emas.

3. Carl Shuhmann (4 pingat emas)

schuhmann atlit terbaik 1896

Carl Schuhmann akan terus memegang rekod menjadi atlit paling cemerlang dalam temasya sukan Olimpik pertama zaman moden, yang dianjurkan pada tahun 1896.

Seorang warga Jerman, ekoran kekurangan atlit bertanding pada era tersebut memerlukan seorang atlit menyertai pelbagai acara dalam satu temasya. Shuhmann memenangi dua pingat emas pertamanya dalam acara gimnastik berpasukan sebelum memenangi pingat emas individu dalam acara sama.

Dia kemudiannya menyertai acara gusti. Dalam perlawanan akhir di mana Shuhmann berdepan Georgios Tsitas dari Greece, perlawanan yang berlangsung panjang lebih 40 minit, terpaksa ditunda ke keesokannya selepas cuaca gelap menghalang perlawanan diteruskan.

Keesokannya, Schuhmann dan Tsitas kembali bertembung dimenangi Schuhmann melayakkan dia mendapat pingat emas keempatnya.

2. Paul Radmilovic (4 pingat emas)

paul radmilovic atlit dua sukan

Dalam sejarah penyertaan Great Britain di temasya Olimpik, nama Paul Radmilovic mencatat sejarah bukan saja sebagai atlit paling berjaya dalam dwi-acara bahkan dia juga menjadi atlit Great Britain pertama menyertai lima temasya sukan itu.

Radmilovic yang berasal dari Wales, mengutip pingat emas pertama dalam acara polo air sebelum menyertai acara 4x200 meter berpasukan yang membawa emas keduanya.

Dia kembali dalam temasya Stockholm tahun 1912, menyertai acara polo air yang membawa pingat emas ketiga sebelum mendapat pingat emas terakhir dalam temasya di Antwerp pada tahun 1920.

1. Johnny Weissmuller (5 pingat emas, 1 gangsa)

johnny weissmuller olympic olimpik

Bagi peminat filem klasik, nama beliau pasti pernah anda dengari bukan? Johnny Weissmuller bukan saja bergelar berjaya sebagai atlit dwi-acara paling hebat dalam sukan Olimpik, bahkan dia juga mempunyai karier panjang sebagai seorang pelakon.

Sehingga ke hari ini wajah dan figura sasa beliau menjadi acuan dalam membangunkan watak 'Tarzan' yang cukup dikenali ramai kerana Weismuller adalah aktor yang paling lama memainkan watak tersebut.

Dia juga seorang perenang handal, menjadi perenang pertama mencatatkan rekod masa gaya bebas 100 meter di bawah satu minit dalam temasya Olimpik tahun 1924 di Paris dengan masa 58.8 saat memenangi pingat emas.

Weissmuller menambah dua lagi pingat warna sama dalam acara 400 meter gaya bebas dan 4x200 meter berpasukan serta satu pingat gangsa dalam acara polo air.

Dalam temasya Olimpik tahun 1928 di Amsterdam, Belanda - Weissmuller menambah dua lagi pingat emas acara 100 meter dan 4x200 meter.

Beliau berjaya memperbaiki rekodnya dalam acara 100 meter kepada 51.0 saat pada tahun 1927, rekod itu bertahan selama 17 tahun sebelum berjaya dipecahkan perenang lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)