Pasti di kalangan rakyat Malaysia, ramai yang cukup aneh apabila mengetahui sukan skuasy langsung tidak pernah dipertandingkan pada sebarang kejohanan Olimpik.
Sedangkan 'saudara rapatnya' iaitu tenis telah pun dianjurkan dalam temasya Olimpik moden kali pertama pada tahun 1896, dihentikan pada tahun 1924 dan kembali sebagai salah satu sukan pada tahun 1988, terus kekal sehingga ke hari ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Bukan skuasy saja berdepan nasib sedemikian rupa. Ada beberapa lagi sukan popular belum pernah terpilih untuk dijadikan acara utama, walaupun beberapa usaha melobinya giat dijalankan banyak negara.
1. Skuasy
Kita mulakan dengan skuasy. Untuk sesuatu jenis sukan layak sebagai sukan Olimpik, ada beberapa syarat perlu dipatuhi.
Sebuah sukan itu hanya akan diambil kira, sekiranya diamalkan di 75 buah negara merangkumi empat benua bagi lelaki dan 40 buah negara merangkumi 3 benua bagi wanita.
Adakah skuasy menepati syarat ini? Ya. Kerana terdapat 185 negara menghantar atlet merangkumi lima benua, dengan penyertaan lebih 20 juta pemain setiap tahun.
Tetapi pengurusan Olimpik merasakan dari segi populariti, skuasy masih terkebelakang berbanding sukan lain. Nilai komersial yang dibawa dalam penganjuran acara skuasy di Olimpik, dinilai lebih rendah berbanding sukan seperti golf atau ragbi yang dianjurkan semula tahun 2016.
2. Sepak takraw
Untuk membawa sepak takraw ke sukan Olimpik, badan pengurusan sukan tersebut yang majoritinya ada di Asia Tenggara pasti berdepan cabaran besar.
Sasaran ketika ini yang telah ditetapkan ISTAF atau Badan Sepak Takraw Antarabangsa Sedunia adalah untuk melihat sukan tersenarai sebagai acara Olimpik Remaja tahun 2030, yang akan dijadikan kayu ukur utama kejayaannya.
Penerimaan sukan ini juga sudah mula berakar umbi di negara-negara barat, seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis yang sudah mempunyai badan pengurusan sukan tersebut di negara mereka.
Negara-negara Eropah pula telah menjalankan inisiatif besar menubuhkan badan gabungan FESTA atau All European Sepak Takraw Association, bagi menganjurkan kejohanan dan mencungkil bakat kaki libas di kalangan masyarakat mereka.
3. Bola jaring
Sekiranya kita rujuk kepada syarat penganjuran yang telah ditetapkan oleh Olimpik, amat jelas sekali bola jaring yang hanya dimainkan oleh kaum hawa tidak menepati syarat yang ditetapkan.
Tetapi jika hendak dipertikaikan, kenapa sukan seperti renang berirama boleh diterima penyertaannya di mana hanya atlet wanita beraksi dalam sukan tersebut?
Alasan utama kenapa bola jaring masih belum diiktiraf sebagai sukan besar kemungkinan kerana populariti sukan itu yang dikatakan terhad kepada negara bekas jajahan British, seperti negara kita, Australia, Singapura dan sudah pastilah Britain.
Berikutan agenda baru Majlis Olimpik Sedunia yang mahu memberikan peluang saksama kepada kedua-dua jantina dengan lebih seimbang, diharapkan sukan ini dapat disenaraikan kelak.
Mungkin bola jaring boleh dijadikan sukan di mana pasukannya dapat dibentuk hasil gabungan kedua-dua jantina, baik lelaki atau wanita. Ini kerana di negara seperti Australia, sukan bola jaring sudah mula popular di kalangan atlet lelaki dan ada kalanya dimainkan dalam pasukan bercampuran.
4. Bowling
Bayangkan berapakah pingat yang boleh digondol atlet bowling legenda negara kita, Shalin Zulkifli sekiranya sukan bowling disenaraikan di Olimpik?
Malangnya sepanjang kemuncak karier beliau, sukan bowling tidak diterima sebagai salah satu sukan rasmi Olimpik sebaliknya hanya diterima sebagai sukan persembahan dalam temasya Olimpik Seoul 1988.
Dipertandingkan dengan penyertaan 20 buah negara melibatkan atlet bertaraf amatur, sukan itu akhirnya dikeluarkan daripada senarai untuk lebih dua dekad. Sukan ini disenaraikan sebagai antara acara yang mungkin dipertandingkan di Olimpik Tokyo 2020.
Namun disebabkan oleh kekangan bajet serta keengganan negara penganjur iaitu Jepun membina fasiliti acara, bowling akhirnya diketepikan bagi memberi laluan kepada sukan lain.
Lebih malang, acara ini diketepikan terus daripada penilaian bagi Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris, selepas Majlis Olimpik memilih untuk menganjurkan sukan yang mampu menarik minat anak muda - berbanding bowling yang kurang popular.
5. Tarik tali
Setiap kali tiba hari sukan sekolah, acara yang biasanya dipilih menjadi acara kemuncak adalah tarik tali.
Bayangkan jadual sama diangkat ke temasya Olimpik betapa epiknya hari terakhir Olimpik kita sama-sama menyaksikan pertarungan tarik tali antara negara?
Itulah idea yang mungkin digunapakai penganjur Olimpik dalam temasya tahun 1900 sehinggalah 1920, di mana tarik tali menjadi antara acara wajib.
Dalam tempoh 5 temasya berlangsungnya acara ini, 7 negara telah memenangi pingat dengan Great Britain unggul mendahulu dengan kutipan 2 emas, 2 perak dan 1 gangsa. Selepas tamat temasya Olimpik 1920, tarik tali terus diketepikan bersama 33 lagi sukan lain selepas pengurusan Olimpik mahu mengecilkan jumlah acara.
Tarik tali terus dipinggirkan, walaupun prospek acara ini untuk menjadi antara acara popular di Olimpik terus diperkatakan. Syarat permainannya mudah difahami, acara pertandingannya juga tidak kompleks dan pengurusan pasukan juga agak ringkas.
Persatuan Tarik Tali Sedunia atau TWIF sudah cuba melobi agar sukan ini dikembalikan ke dalam senarai Olimpik, tetapi setakat ini belum mendapat sebarang perkhabaran gembira.