Oleh pada 01 Aug 2021 kategori

Setakat artikel ini ditulis, kita masih menantikan adakah atlet negara kita yang berjaya menamatkan kemarau emas Olimpik negara kita.

Sudah beberapa kali hampir tetapi sayangnya perjuangan atlet kita kerap terhenti setakat kilauan perak sahaja. Tahukah anda bilakah kali pertama negara kita menang pingat pertama Olimpik

Siapa yang mencatat rekod sebagai pemenangnya? Berikut adalah senarai pemenang pingat Olimpik negara kita sepanjang zaman, setakat ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Penantian pingat berakhir tahun 1992

razif jalani pingat gangsa olimpik

Penantian negara kita merasa pingat selepas kali pertama menyertai Olimpik pada tahun 1956, berakhir pada tahun 1992 selepas pasangan Razif dan Jalani Sidek berkongsi pingat gangsa dengan beregu China, Li Yongbo dan Tian Bingyi.

Tewas dalam perlawanan separuh akhir sebelum itu, pingat gangsa itu menjadi pengubat luka Razif serta Jalani yang meneruskan lakaran kemenangan skuad badminton negara.

3 bulan sebelum itu skuad negara baru memenangi kejohanan Piala Thomas.

Acara badminton kali pertama dipertandingkan dalam temasya Olimpik 1992 dan peluang itu disambar baik Razif dan Jalani untuk mengukir nama mereka sebagai legenda sukan tanahair.

Olimpik 1992AtletSukan
GangsaRazif Sidek dan Jalani SidekBadminton (beregu)

2. Perak pertama negara

cheah soon kit yap kim hock 1996 olimpik

Jika Razif dan Jalani menempa jalannya, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock mempamerkan aksi hebat sehingga layak ke perlawanan akhir Olimpik 1996.

Malangnya, mereka terkandas kepada pasangan digeruni Indonesia, Ricky Subagja dan Rexy Mainaky dalam permainan tiga set 5-15, 15-13 dan 15-12.

Walaupun pulang hampa, pasangan negara itu tetap mampu berbangga kerana menjadi atlet pertama negara menang pingat perak Olimpik dan pencapaian itu belum dapat diatasi setakat ini.

Adik manja kepada Razif dan Jalani, Rashid Sidek mengulangi pencapaian dua abangnya itu selepas dia menang penentuan pingat gangsa, menewaskan Heryanto Arbi dari Indonesia.

Olimpik 1996AtletSukan
PerakCheah Soon Kit dan Yap Kim HockBadminton (beregu)
GangsaRashid SidekBadminton (perseorangan)

3. Lee Chong Wei memecah badi 12 tahun

chong wei olimpik beijing 2008

Kontinjen negara kita gagal memenangi sebarang pingat dalam dua temasya Olimpik tahun 2000 di Sydney, Australia dan 2004 di Athens, Greece.

Kita menunggu 12 tahun lamanya untuk melihat bintang badminton kita Lee Chong Wei memecah kebuntuan memenangi pingat perak pertama beliau.

Berhadapan musuh tradisi Lin Dan dari China, Chong Wei diramal sukar untuk menundukkan lawannya itu.

Lin Dan ketika itu berada pada tahap prestasi kemuncak, tidak pernah kalau walau satu set pun sepanjang kejohanan mudah menewaskan Chong Wei dalam permainan dua set, berkeputusan 21-12 dan 21-8.

Wajah sugul Chong Wei menghiasi akhbar, mengingatkan kita beban yang perlu ditanggung seorang atlet selepas seluruh negara menggalaskan harapan ke bahunya.

Olimpik 2008AtletSukan
PerakLee Chong WeiBadminton (perseorangan)

4. Lin Dan jadi batu penghalang sekali lagi

chong wei olimpik london 2012

Berbekalkan pengalaman lalu dikecewakan, Chong Wei tekad bangkit menebus kehampaan tahun 2008. Prestasinya juga dikemuncak setelah bergelar pemain nombor 1 dunia.

Chong Wei bertemu pemain berbakat China, Chen Long dalam perlawanan separuh akhir menang dalam permainan dua set.

Kemenangan itu mengatur kembali perseteruannya dengan Lin Dan. Kali ini permainan yang berlangsung antara kedua-dua nya memang benar-benar buku bertemu ruas.

Chong Wei menang set pertama sebelum Lin Dan menang set kedua.

Dalam pertarungan epik dua gergasi badminton dunia, Chong Wei berjaya mendahului 19-18 sebelum teknik sempurna Lin Dan memerangkap Chong Wei menamatkan permainan 21-19, memihak kepada pemain dari China itu.

Inilah peluang paling hampir Malaysia memenangi emas pertama, hanya 2 mata sahaja memisahkan Chong Wei dengan pingat emas pertama Malaysia.

5 hari selepas Chong Wei berpuas hati dengan pingat perak Olimpik kedua peribadi, Pandelela Rinong dari Bau, Sarawak mencatat sejarah selepas memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter.

Dengan kejayaan itu, Pandelela menjadi wanita pertama negara kita bergelar pemenang pingat Olimpik melakarkan sejarah manis untuk Malaysia.

Olimpik 2012AtletSukan
PerakLee Chong WeiBadminton (perseorangan)
GangsaPandelela RinongTerjun 10 meter

5. Temasya Olimpik 2016 yang gemilang

malaysia pernah menang pingat olimpik

Olimpik Rio de Janeiro di Brazil yang berlangsung pada tahun 2016 menyaksikan kontinjen negara kita meraih kutipan pingat terbaik setakat ini.

Skuad badminton negara menjadi penyumbang terbesar dengan 3 pingat perak, selepas pasangan beregu lelaki kita, Goh Wei Shem dan Tan Wee Kiong serta pasangan campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying memenangi dua perak pertama Olimpik dalam karier mereka.

Chong Wei hadir sekali lagi membawa harapan emas pertama negara, berjaya mengenepikan Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir yang cukup sengit.

Malangnya, dia berdepan Chen Long yang ketika itu bergelar pemain badminton nombor satu China. Chong Wei tewas 21-18, 21-18 untuk kali ketiga terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pandalela Rinong hadir dengan harapan besar, berjaya memperbaiki pencapaiannya dengan mengutip pingat perak bersama Cheong Jun Hoong dalam acara terjun 10 meter berpasangan.

Azizulhasni Awang melengkapkan kutipan pingat negara selepas berjaya membawa pulang pingat gangsabdalam acara kegemarannya iaitu acara keirin, mencatat rekod sebagai pelumba basikal negara pertama bergelar pemenang pingat Olimpik.

Olimpik 2016AtletSukan
PerakLee Chong WeiBadminton (perseorangan)
PerakGoh Wei Shem dan Tan Wee KiongBadminton (beregu)
PerakChan Peng Soon dan Goh Liu YingBadminton (beregu campuran)
PerakCheong Jun Hoong dan Pandelela RinongTerjun 10 meter platform (berpasangan)
GangsaAzizulhasni AwangBerbasikal (keirin)

6. Pingat pertama di Tokyo

aaron chia woi yik gangsa olimpik

Berdepan pandemik Covid-19, persiapan atlet negara kita sedikit terganggu dalam menghadapi kejohanan Olimpik 2020 (2021?) di Tokyo, Jepun tetapi sukan badminton kekal menjadi penyumbang utama pingat negara kita.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mendapat pingat pertama negara dalam temasya kali ini, memenangi pingat gangsa selepas bangkit semula menewaskan beregu nombor 2 dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.

Uniknya, pencapaian Aaron dan Wooi Yik berdepan laluan berliku selepas tewas lebih awal kepada pasangan sama dalam pusingan kumpulan.

Kedua-duanya bingkas mempamerkan aksi cemerlang menundukkan beregu nombor 1 dunia Kevin Sanjaya dan Marcus Fernald juga dari Indonesia dalam pusingan suku akhir sebelum kandas dalam perlawanan separuh akhir bertemu pasangan keempat dunia dari China, Li Jun Hui dan Liu Yu Chen.

Inilah kutipan pingat Olimpik negara kita sepanjang zaman, setakat ini. Kami doakan agar kami perlu menambah kandungan artikel ini sebelum temasya Olimpik Tokyo selesai.

Olimpik 2020AtletSukan
GangsaAaron Chia dan Soh Wooi YikBadminton (beregu)



Hakcipta iluminasi.com (2017)