Pusing kiri, pusing kanan, pasti ada saja pihak cuba mempromosikan produk keluaran mereka.
Dengan iklan yang kadangkala agak keterlaluan bukan saja dari segi rekaan, bahkan dari aspek kandungannya, satu aspek yang kelihatan telah menjadi trend di kalangan peniaga tempatan, adalah penggunaan slogan-slogan yang dikatakan mampu menarik minat orang ramai.
BESARKAN TEKS A- A+
Terlalu banyak lambakan produk yang dijaja dengan jenama seperti 'viral', 'meletup', 'terbaik' atau 'best habaq hang!' diiklankan, menggambarkan kurangnya penekanan profesionalisme penjenamaan di kalangan peniaga kita.
Kenapa semua produk perlu dilabelkan 'viral'?
Cadar viral, burger viral, baju kurung viral, kain batik viral
Kami tidak tahu siapa yang mengajar teknik pemasaran dengan menggunakan slogan-slogan murahan sebagai daya penarik jualan. Siapa yang memulakannya? Entahlah, malas kami nak kaji.
Tetapi terlalu ramai peniaga kita seakan-akan terlalu bergantung harap dengan slogan 'viral' bagi melariskan produk. Sedangkan realitinya, kadangkala produk yang dikatakan 'viral' itu sebenarnya TAK PERNAH VIRAL pun tapi dek mengikut trend semasa, ramai peniaga memilih untuk menamakan perniagaan mereka dengan istilah itu.
Jika anda ke mana-mana saja baik secara kedai fizikal atau kedai maya, pasti ada saja iklan produk seperti 'cadar viral', 'sos viral, 'restoran viral', seluar dalam 'viral' dan bermacam lagi produk yang didakwa viral atau tular - seolah-olah tak ada langsung produk yang pemasarannya sendu sepi.
Selain 'viral,' kita juga boleh nampak penekanan kepada penggunaan istilah 'meletup', 'terbaik' dan bermacam lagi istilah yang jelas tidak memberikan gambaran kukuh tentang sesuatu perniagaan.
Lagipun, penjenamaan seperti itu jelas tidak akan bertahan lama.
Memahami 'Viral' dari segi bahasa
'Viral' atau 'tular' membawa makna yang sebenarnya layak dikatakan serupa; sesuatu yang membiak atau menular dengan mudah, biasanya dikaitkan dengan penyakit.
Disebabkan itulah juga 'viral' membawa nada negatif dalam penggunaannya selama ini sebelum perumpamaan ini mula digunakan untuk mewakili sesuatu fenomena hangat atau fenomena popular yang kerap menjadi idaman ramai netizen.
Terma 'viral' secara rasmi mula didokumenkan pada tahun 1937 bagi merujuk kepada penyebaran virus, sebelum ramai penggiat seni karya dekad 1960-an mula menamakan sesuatu yang popular dan menjadi buah mulut orang sebagai karya yang mempunyai sifat 'virulent.'
Video mula menjadi antara format yang kerap ditularkan bermula dekad 1980-an, dengan penyebaran pita-pita video serta penyebaran imej berformat GIF mula popular pada dekad 1990-an, sebelum kemunculan media sosial dan format video digital yang mudah diedarkan serta lebih berkualiti tinggi mula menggantikan format lama.
Pada tahun 1999, istilah 'viral' mula diterima pakai bagi merujuk kepada sesuatu topik atau bahan yang popular melalui penyebaran di internet, khususnya merujuk kepada teknik pemasaran pada awalnya sebelum penggunaannya diperkembangkan lagi oleh kumpulan netizen.
Harus diingatkan, 'viral' tetap tidak wujud dalam perbendaharaan kata bahasa kita walaupun ramai peniaga dan pengeluar produk menamakan jualan mereka 'viral.' Tindakan itu, pada penulis hanya merosakkan bahasa sajalah.
Trend yang menjahanamkan bahasa dan imej perniagaan
Sukar untuk dimengertikan kenapa ramai peniaga kita cukup gemar menggunakan istilah-istilah rojak sebegini dalam penjenamaan perniagaan mereka.
Sudahlah kita dilambakkan dengan 'viral' di merata-rata tempat, selain 'viral' kita juga perlu melihat kedai makan yang gemar menamakan restoran mereka dengan istilah 'De' atau 'la'. Contohnya 'Restoran De'Tanjung' atau 'D'Tanjung' dan juga 'Kafe La' Pondok.'
Kalau memang menyajikan makanan Perancis, penggunaan istilah sedemikian bolehlah juga diterima akal walaupun salah dari segi bahasanya, tetapi yang dijualkannya tomyam.
Tidak ada kah rasa sayang kita kepada penggunaan bahasa Melayu dengan betul dan tepat? Itulah yang kadangkala cukup mengganggu dan menyemakkan mata penulis. Pada penulis, sekali-sekala hendak menggunakan bahasa rojak dalam penulisan bagi mencerminkan dialog atau perbualan yang kita gunakan tak salah.
Namun apabila bahasa rojak caca-merba turut dijadikan penjenamaan rasmi yang didaftarkan serta diguna pakai oleh ramai juga kumpulan peniaga, hendak tak hendak kita perlulah juga mempersoalkan di mana nilai sebenar bahasa kepada kita?
Gimik yang dibuat untuk menarik perhatian, seharusnya tidaklah sampai perlu kita mengorbankan tatabahasa yang betul. Ini kerana jelas, kebanyakan jenama yang lama bertahan mengamalkan struktur bahasa yang jelas, tepat dan mudah diingati.
'Viral' atau 'De' atau 'La' atau apa saja istilah jenama yang dibuat hanya disebabkan mengejar tren, mudah dilupakan apabila trennya sudah berlalu. Tidak banyak produk-produk viral yang dapat mengekalkan popularitinya. Dah banyak yang sudah dilupakan kerana tiada asas jenama yang kukuh.
Lebih teruk, banyak produk viral ni bila dibeli, bila dicuba, sebenarnya indah khabar dari rupa. Kualitinya jelas asalkan dapat 'meletus' sekejap pun jadilah.