Jenama yang diingati merupakan sesuatu yang berharga bagi pengeluar. Jenama yang bukan saja diingati, malahan diangkat pula sebagai sejenis kategori produk - itu luar biasa.
Ada sesetengah jenis produk, kita biasa merujuknya dengan nama jenamanya. Ada juga sesetengah jenama, ekoran daripada sinonimnya jenama itu dengan kategori produk - mengangkat jenama itu menjadi label umum jenis produk tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah jenama-jenama yang duduk dalam kategori unik ini? Berikut adalah 5 istilah yang kita biasa sebut, tetapi sebenarnya berasal daripada jenama.
1. Eskalator
'Escalator' atau eskalator mengikut ejaan bahasa Melayu adalah rujukan umum bagi mewakili tangga bergerak, yang membawa orang ramai naik atau turun secara automatik, dari satu tingkat ke satu tingkat lain.
Tidak ramai sedar kan istilah itu sebenarnya bukanlah nama awalnya.
Eskalator mulanya dikenali dengan beberapa nama berbeza, seperti 'endless conveyor of elevator', 'motorstair', 'electric stairway' atau 'inclined elevator', dinamakan mengikut pilihan pengeluarnya.
Sehinggalah Otis Elevator Co. memperkenalkan terma 'Escalator' sebagai jenama produk mereka, mula menyeragamkan istilah itu.
Usaha Otis untuk mempatenkan jenama itu sebagai sebuah hak milik mereka gagal, selepas pihak penyelia hak cipta di Amerika Syarikat merasakan orang ramai selesa dengan label 'escalator' yang popular diamalkan.
Otis sendiri malangnya dalam beberapa dokumen, pernah melakukan kesilapan merujuk tangga bergerak sebagai istilah umum 'escalator' bukan 'Escalator.'
Ini lah punca utama kenapa permohonan Otis ditolak, mengakibatkan hak cipta istilah 'Escalator' dibenar untuk diguna sebagai hak awam dan semua pengeluar tangga bergerak dibenarkan merujuk produk mereka sebagai 'eskalator.'
2. Jeep
Jika anda rujuk kamus dewan, istilah 'jip' adalah merujuk kepada semua jenis kenderaan pacuan 4 roda yang kecil, kuat serta tahan lasak - khususnya untuk kegunaan tentera.
Kita pun bila nampak kenderaan pacuan 4 roda, automatik kita juga akan merujuk kenderaan itu sebagai sebuah jip tak kiralah jenamanya Toyota, Isuzu, Mitsubishi atau apa saja jenama sekalipun.
Tetapi istilah 'jip' atau 'jeep' sebenarnya hadir daripada sebuah jenama yang dibangunkan. Yang unik jenama itu juga kekal wujud seiring dengan populariti jip pengeluar lain.
Sekitar dekad 1940, di kalangan tentera Amerika Syarikat mereka biasa menggunakan sejenis kenderaan pelbagai guna yang tahan lasak dinamakan sebagai 'General Purpose Car' atau singkatannya "G.P."
Demi menjimatkan masa, tentera memendekkan istilah ini terus kepada sebutan "JEEP." Itulah asalnya nama ini.
Walaupun dikeluarkan pelbagai jenis pengeluar, mana-mana kenderaan serba guna tentera terus dirujuk sebagai 'Jeep' walaupun usaha mempatenkan istilah itu sebagai sebuah jenama dilakukan pada bulan Februari 1943.
Kini jenama ini bukan saja diguna sebagai kategori jenis kenderaan dan sebuah jenama kenderaan, 'Jeep' juga sudah menjadi rangkaian produk pakaian yang popular di kalangan peminat.
3. Panadol
"Boleh tolong belikan aku panadol tak? Aku nak Upahmold 650."
Itu ayat biasa penulis bila bercakap tentang 'panadol' ni. 'Panadol' dah jadi terlalu sinonim dengan ubat paracetamol, sehinggakan kita merujuk mana-mana paracetamol sebagai 'panadol'...
Walaupun istilah itu salah.
Tidak diketahui kenapa The Sterling-Winthrop Company, syarikat pertama mengeluarkan ubat paracetamol dengan jenama 'Panadol' memilih nama itu untuk produk mereka pada tahun 1950.
Harus diperjelaskan, 'Panadol' bukanlah paracetamol pertama yang dikeluarkan kerana ubat yang digunakan bagi melegakan sakit kepala dan demam, telah diperkenalkan sejak tahun 1893.
'Panadol' pada awalnya mempunyai pasaran yang terhad, tidak dijual di Amerika Syarikat kerana pasaran di sana dipegang satu lagi jenis paracetamol di bawah jenama 'Tylenol.'
Selepas kerajaan Amerika Syarikat mengarahkan penjualan Tylenol ditarik balik akibat kematian beberapa individu hasil pencemaran bahan sianida dalam Tylenol, Sterling Drug Inc. mula memasarkan 'Panadol' di sana.
Dengan bajet USD100 juta khusus untuk meletakkan 'Panadol' sebagai pilihan utama di kalangan semua pengguna paracetamol, nyata langkah itu berjaya....sehinggakan kita pun menggelar semua paracetamol sebagai 'panadol.'
4. Velkro
Jika dibandingkan dengan semua produk dalam senarai ini, 'velkro' adalah satu-satunya produk yang dicipta secara asli.
Ini membuatkannya memang benar-benar memerlukan satu label baru untuk diguna bukan saja sebagai jenama bahkan bagi mewakili kategori produknya.
Kini kita semua tahu semua bahan pelekat guna semula berasaskan nilon dikenali sebagai 'velkro', namun adakah anda menyedari 'velkro' sebenarnya adalah jenamanya?
Seorang saintis bernama George de Mestral setiap kali mendaki pergunungan Alps di Switzerland, mendapati banyak biji-biji benih melekat pada stokin kapas yang dipakai serta bulu anjing peliharaannya yang dibawa sekali.
Dari masalah itu terbit satu idea di fikiran de Mestral. Dia menjalankan kajian selama lebih satu dekad, bagi memperhalusi dan memperbaiki idea tersebut ke dalam bentuk praktikal.
Pada awalnya velkro diperbuat daripada bahan kapas, sebelum de Mestral mendapati kapas kurang lasak dalam penggunaan jangka panjang, jadi dia menggantikannya dengan gabungan nilon dan poliester yang lebih kukuh.
Bagi menamakan ciptaannya, dia menggabungkan dua istilah iaitu 'velours' atau kain velvet/baldu dan 'crochet' atau cangkuk, yang menghasilkan istilah baru 'velcro.'
5. Photoshop
Dalam era fotografi digital, istilah 'photoshop' sudah mula menjadi satu istilah yang sinonim dengan perbuatan memanipulasi gambar atau imej secara digital.
Kita juga tahu istilah 'photoshop-kan gambar tu' diambil sempena jenama salah satu perisian manipulasi gambar popular bernama Adobe Photoshop.
Populariti perisian itu membuatkan ramai orang menggunakan slanga 'mem-photoshop-kan', sama seperti kita menggunakan 'google-kan'.
Dikeluarkan dalam versi pertama dalam tahun 1987 oleh dua orang adik beradik Thomas dan John Knoll, Photoshop kemudiannya dilesenkan kepada syarikat perisian Adobe pada tahun 1988.
Pelesenan ini mempopularkan Photoshop sehingga berkembang menjadi pendahulu dalam bidang perisian manipulasi gambar, sehingga kini. WALAUPUN BEGITU....Adobe tidak senang jenama 'photoshop' sebagai satu kata kerja. Disokong oleh paten yang didaftarkan, Adobe mahu semua orang berhenti menggunakan 'photoshop' sedemikian rupa.
Buktinya? Dalam laman web Adobe, ada dinyatakan garis panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pengguna berkaitan istilah itu.
Menurut Adobe, adalah menjadi satu kesalahan untuk seseorang tidak melanggar panduan yang digunakan. Walaupun ramai dah selesa dengan frasa mem-photoshopkan gambar kan ingat ya..
Jangan buat, Adobe tak suka.