Matlamat sebuah perniagaan sudah pastilah untuk mendapatkan keuntungan dan itu bukanlah sesuatu yang salah.
Bagaimanapun, oleh kerana banyaknya aktiviti pengeluaran produk melibatkan banyak pekedai dan peniaga ini akan menyebabkan persaingan sengit di antara mereka - mengakibatkan ada pengeluar yang terpaksa menggunakan helah bagi memastikan perniagaan mereka terus membuat untung.
BESARKAN TEKS A- A+
Taktik-taktik tersembunyi dan boleh juga dikatakan licik, sebenarnya telah diamalkan sejak dahulu lagi cuma besar kemungkinan kita sebagai pengguna tidak menyedarinya. Berikut adalah 5 taktik perniagaan dalam memaksimakan keuntungan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
1. Rekaan 'pembaziran' dalam produk mereka
Pernah dengar tentang kepentingan saiz penyedut minuman di restoran? Saiz penyedut yang lebih besar akan menyebabkan pelanggan minum lebih cepat, jadi ramai pelanggan perlu melakukan pesanan minuman kedua. Helah ini sangat popular diamalkan di restoran-restoran dan menjadi taktik biasa yang kita dengari.
Tetapi tahukah anda taktik hampir serupa juga dilakukan pengeluar produk perubatan seperti penitis pelembap mata? Botol titis didakwa memang sengaja direka supaya titisan pelembap yang melebihi sukatan sepatutnya dikeluarkan, menyebabkan isi kandungan botol itu lebih cepat habis isinya. (rujukan)
2. Kurangkan isipadu atau kandungan secara semulajadi
Salah satu perkara yang penulis sedar adalah betapa kecilnya saiz air minuman dalam kotak yang ada dijual sekarang, sangat berbeza dengan dulu. Dulu kapasiti biasa sekotak air minuman adalah 250ml tetapi sekarang lebih mudah ditemui air kotak dengan saiz 200ml dan 125ml. Harganya juga lebih tinggi.
Taktik ini sangat biasa dilakukan pengeluar mana-mana produk. Produk seperti sabun basuh baju yang dulunya dijual dalam kapasiti 4 liter kini diturunkan kepada 3.8 liter pada harga sama, sebagai contoh.
Pengeluar tisu ada juga didapati menurunkan saiz dimensi setiap helaian tisu. Selain itu, untuk tisu gulung, kadbod yang digunakan untuk menggulung tisu itu dibuat semakin besar supaya saiz fizikalnya kelihatan serupa, tetapi jumlah tisu yang boleh digunakan sebenarnya sudah berkurangan. (rujukan)
3. Harga kekal tetapi isi tak sama seperti dahulu
Penulis menyedari satu ketika dulu, untuk membancuh air kegemaran penulis - 3 sudu diperlukan bagi mendapatkan rasa yang penulis gemari tetapi lama-kelamaan keperluan untuk mendapatkan kepekatan minuman yang sama, memerlukan jumlah yang lebih tinggi walaupun jenamanya serupa.
Bagi mereka yang menggemari produk susu sejat sebagai contoh, berbeza dengan zaman dahulu di mana kita tidak memerlukan amaun yang banyak untuk mendapatkan kemanisan yang dihajati - sekarang ni satu tin tu rasa sekejap sangat habisnya. Anda perasan perkara serupa berlaku dalam produk-produk lain?
4. Helah bungkusan bersaiz sama untuk produk lebih sedikit atau kecil
Salah satu item yang paling mudah untuk dimanipulasi pengeluar adalah produk-produk yang menggunakan kotak, sebagai contoh produk bijirin sarapan pagi. Kita sebagai penggunaan kebiasaannya secara automatik akan mengandaikan bungkusan yang lebih besar membawa kepada penjimatan yang lebih.
Di Amerika Syarikat, syarikat pengeluar produk makanan bijirin Kellog's mengakui produk yang mereka keluarkan telah pun dikurangkan isipadunya tetapi mengekalkan saiz bungkusan yang serupa. Hanya pengguna yang meneliti cetakan isi kandungan akan berjaya mengenalpasti perbezaan yang telah berlaku.
Persoalannya di sini, mengapa saiz kotak tidak diubah seiring dengan penurunan isipadu? Sedangkan pengurangan saiz kotak sudah tentulah akan turut sama membantu mengurangkan kos pengeluaran. Jawapannya adalah kita sebagai pengguna, tidak gemar melihat saiz produk kita menjadi lebih kecil pada harga yang kekal sama - jadi pengeluar mengambil keputusan mengekalkan bungkusan supaya kita rasa puas hati dengan pembelian kita.
5. Keluarkan siri produk lebih kecil
Berbeza dengan apa yang kami ceritakan di atas di mana pengeluar mengekalkan saiz dimensi bungkusan, satu lagi kaedah yang semakin kerap digunakan adalah dengan memperkenalkan produk serupa pada saiz lebih kecil dengan harga yang lebih murah Apa helahnya pula?
Menggunakan contoh air kotak yang penulis gunakan di atas, pasti kita sedar air kotak sekarang dijual dalam isipadu 125 ml untuk kanak-kanak. Air berkarbonat juga mula dijual dalam isipadu lebih rendah, menggunakan botol atau tin yang lebih kecil dan langsing.
Tetapi kajian menunjukkan kadar pengambilan pengguna kekal serupa. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mungkin dikatakan sesuai untuk minum air kotak bersaiz 125 ml namun realitinya satu kotak air saja tidak cukup. Dia pasti akan minum dua kotak dan ini membuatkan kos yang pengguna tanggung, sebenarnya meningkat.
Satu kajian di bandar New York pula mendapati jualan air berkarbonat pada isipadu yang lebih rendah, bukan saja menyebabkan pengguna akhirnya akan membayar lebih kerana dia akan membeli melebihi satu botol - malahan pengguna akan minum dalam kapasiti lebih tinggi.
Atas sebab itulah anda akan melihat semakin ramai pengeluar mengeluarkan produk, khasnya produk makanan bersaiz kecil kerana realitinya - tindakan itu akan lebih menguntungkan mereka. (rujukan)