Oleh pada 25 Aug 2017 kategori

Tak dapat dinafikan bahawa perniagaan adalah satu cabang rezeki yang sangat menguntungkan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, bisnes dapat membantu ekonomi persendirian bagi menjalani kehidupan mencabar. Malah, ia bukan sahaja membantu, tetapi juga boleh membuatkan seseorang itu bergelar jutawan segera.

Namun, di dalam keghairan berniaga, ramai peniaga yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengambil kesempatan terhadap kenaifan pengguna dengan memanipulasi dan memperdaya mereka. Kerana apa? Kerana duit dan ingin kaya cepat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami kongsikan penulisan oleh Encik Mohd Dziehan Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi (Kementerian Kesihatan Malaysia) dalam perbincangan wawancara di Radio IKIM beberapa hari lalu mengenai taktik licik penjual produk bagi melariskan jualan mereka.

Taktik licik penjual yang dilakukan untuk melariskan jualan produk mereka:

1. Jual produk tidak berdaftar walaubagaimanapun pemilik produk menyatakan “pendaftaran dalam proses dan pihak KKM yang lewat buat kerja”.

Hakikat sebenarnya mengikut Piagam Pelanggan jumlah masa untuk proses pendaftaran ubat adalah:

  • Ubat terkawal memerlukan preskripsi (Masa pendaftaran: 210 hari bekerja)
  • Ubat terkawal tidak memerlukan preskripsi (Masa pendaftaran: 210 hari bekerja)
  • Ubat baru (Masa pendaftaran: 245 hari bekerja)
  • Produk suplemen /tradisional
  • Mengandungi 1 bahan aktif (Masa pendaftaran: 116 hari bekerja)
  • Mengandungi 2 atau lebih bahan aktif (Masa pendaftaran: 136 hari bekerja)

**Semua syarat masa dipatuhi jika permohonan lengkap dikemukakan dan tiada masalah lain yang timbul semasa memproses permohonan.

2. Jual produk yang tidak berdaftar dan mengandungi bahan terlarang seperti steroid/perangsang seks/ubat terkawal dll.

Rujuk pautan berikut sebagai sumber rujukan dan contoh: Klik Sini

penyakit yang tak boleh diiklankan

3. Jual produk yang berdaftar tetapi apabila berada dalam pasaran ia diubah formulasi/ubah label pada kotak atau botol produk.

(Boleh dikesan apabila tiba-tiba pemilik produk membuat packaging/pembungkusan produk baru)

4. Jual produk ubat tetapi bukan ahli yang sah mengikut perundangan dan mempromosikan ubat untuk tujuan lain.

Contoh : Menjual ubat Pil keguguran atau tablet steroid untuk tujuan meningkatkan berat badan, atau jual krim yang mengandungi ubat seperti hormon.

5. Jual produk yang mengandungi ubat tetapi dalam bentuk bukan ubat kemudian buat tuntutan seperti ubat.

Contoh: Candy (bentuk gula-gula) untuk perangsang seks atau gula-gula yang mengandungi ubat perangsang seks.

6. Produk makanan tapi kata untuk perubatan

Contoh : Minuman jus-jus atau minuman herba yang membuat promosi boleh merawat penyakit kencing manis, darah tinggi, strok, gout, lelah, kanser dll)

diharamkan

7. Ada pemilik kosmetik yang memberi alasan produk mereka dipalsukan apabila KKM menemui bahan terlarang dalam produk mereka.

Sebagai pemilik yang bertanggungjawab, mereka (pemilik produk) perlu tampil memberi penjelasan dan makluman awal kepada pengguna akan kewujudan produk palsu dalam pasaran, bukan selepas pihak KKM membuat tindakan.

**Kawalan Kosmetik adalah berbentuk kawalan kendiri dan memang telah dinyatakan dalam buku panduan bahawa tanggungjawab pemilik produk untuk menjaga isu keselamatan produk mereka dalam pasaran.

8. Produk telah dirampas, masuk semula dalam pasaran dengan pembungkusan produk yang baru.

Dapat dikesan apabila ada produk seakan-akan produk yang pernah dirampas atau bermasalah namun berada semula dalam pasaran dengan pembungkusan produk yang baru)

9. Produk yang mempunyai bahan aktif yang sama daripada kilang yang sama tetapi jenama dan pembungkusan produk yang berbeza dan dimiliki oleh pemilik yang berbeza-beza

Boleh dikesan dengan pencarian nama pengilang menggunakan aplikasi Medi-Quest dan melihat kesamaan produk dalam senarai produk yang dikeluarkan oleh pengilang tersebut)

dikawal

10. Produk yang telah diharamkan di luar negara namun masuk ke Malaysia

Kemudian diberi nama dan pembungkusan produk yang baru. Ia boleh dikesan apabila berlakunya kesan sampingan kepada pengguna dan kes tersebut dilaporkan kepada pihak KKM.

11. Produk ubatan tetapi buat promosi sebagai kosmetik

Contoh: Ubat dalam bentuk suntikan yang dipromosikan sebagai produk kosmetik oleh penjual.

12. Produk yang dihantar untuk kelulusan notifikasi sebagai kosmetik tetapi penjual atau pemilik membuat promosi produk sebagai ubat

Contoh : Produk yang ada nombor notifikasi kosmetik tetapi membuat tuntutan untuk merawat lelah, resdung, menyambungkan ligamen lutut yang putus, meningkatkan funsi seks dan lain-lain.

13. Produk hit 

Sila baca di artikel ini : Produk Hit

14. Manipulasi pengkelasan produk

list 352

Penggunaan bahan daripada “Negative List For Food”. Ia sepatutnya bukan makanan malah ia adalah ubat.

15. Antara taktik lain yang sering digunakan oleh penjual ubat-ubatan adalah :

■ Menggunakan imej profesional seperti visual personaliti yang memakai ‘white coat’ atau memakai alat stetoskop (Contoh: produk sembur-sembur boleh merawat kencing manis, darah tinggi, stroke, gout, dll)

■ Penggunaan nama atau gelaran seperti Dr, Profesor, Dato’ juga turut digunakan dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab semata-mata hanya ingin menarik perhatian agar tampak memiliki reputasi yang tinggi. Banyak contoh yang telah dibongkarkan status sebenar gelaran pangkat mereka dalam media sosial.

■ Tidak dilupakan juga, ada sesetengah penjual menggunakan agama untuk melariskan produk mereka. Penggunaan kenyataan makanan Sunnah adalah antara taktik popular yang sering digunakan dalam kalangan penjual.

■ Selain itu juga ada sesetengah penjual menggunakan ustaz atau selebriti selaku duta dalam melariskan produk dan jualan mereka.

********************

Tip buat pengguna

  1. Pastikan produk ubat yang ingin dibeli berdaftar dengan pihak KKM atau untuk kosmetik ia mempunyai nombor notifikasi KKM. Boleh semak menggunakan applikasi Medi-Quest.
  2. Sekiranya pengguna membeli ubat atas talian., HANYA boleh membeli ubat yang dikategorikan sebagai "over-the-counter" (OTC) atau ubat am, tradisional dan suplemen kesihatan sahaja (No. MAL diakhiri dengan X, T atau N sahaja).
  3. Ubat yang memerlukan preskripsi TIDAK BOLEH dijual secara online. Ubat preskripsi hanya boleh didapati melalui pengamal perubatan berdaftar sahaja dan/atau dikeluarkan oleh ahli farmasi berlesen sahaja (No. MAL yang diakhiri dengan A)
  4. HANYA dapatkan ubat daripada laman web yang dikendalikan oleh ahli farmasi yang berlesen sahaja.
  5. ELAKKAN membeli ubat dari laman web luar negara.
  6. JANGAN terpedaya dengan iklan dengan janji-janji manis.
  7. Jangan terpedaya dengan promosi berbentuk testimoni. Tolak promosi bentuk seperti ini 100%. Kerana Anda terdedah dengan pembohongan.
  8. Setiap bentuk promosi ubat lihat kepada nombor kelulusan Lembaga Iklan Ubat K.K.L.I.U yang dicirikan seperti berikut : 4 nombor siri/ tahun cth ---> 1234/2017 . Nombor ini perlu ada pada apa sahaja bahan promosi dalam bentuk cetakan atau poster multimedia mahupun iklan TV. Iklan radio kena ada ayat ini dilafazkan dalam skrip promosi "Iklan ini telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat KKM". Semak iklan yang telah diluluskan di sini.
  9. Perlu diingatkan pembelian ubat secara online daripada sumber yang tidak sah anda mungkin akan mendapat ubat yang tidak berdaftar atau ubat yang dicemari racun berjadual yang boleh memudaratkan nyawa anda.
  10. Semakan produk yang dikesan mengandungi racun berjadual boleh di semak di sini.
  11. Netizen boleh membantu dengan memberi cadangan, membuat aduan atau pertanyaan menggunakan sistem pengurusan aduan ini kepada pihak KKM di sini.
  12. Pengguna atau netizen boleh menggunakan perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722 yang telah disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM untuk bertanyakan sebarang kemusykilan berkaitan ubat-ubatan. (Isnin-Jumaat : 8am-5pm)

Pegawai Farmasi Anda

Mohd Dziehan Mustapa

Medical Mythbusters Malaysia (M3)




Hakcipta iluminasi.com (2017)