Membentuk identiti jenama memang memerlukan usaha dan ketekunan, memakan masa yang panjang bagi mendapat kedudukan yang diharap tercapai.
Setiap jenama mempunyai peminatnya yang tersendiri yang memainkan peranan besar dalam melebarkan pengaruh, dakyah dan kekuatan jenama itu. Banyak jenama mempunyai pengaruh kuat. Hanya sekumpulan kecil jenama mempunyai pengikut fanatik.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 jenama di Malaysia, mempunyai kumpulan pengikut yang seakan sanggup mati demi mempertahankan produk kesayangan mereka.
1. Apple
Sengaja kami letak jenama ini ditempat pertama, kerana ke-fanatik-an peminatnya memang sudah telah diketahui satu dunia.
Apa saja bentuk kritikan yang dihamburkan kepada syarikat ini, akan dijawab dengan bersemangat oleh mereka yang menyokongnya.
Tak ada jenama lain dalam dunia ini rasanya yang mempunyai peminat setia paling setia, sanggup meluangkan banyak masa mempromosikan produk Apple dan identiti syarikat mereka tanpa bayaran.
Setiap kali ada siri keluaran produk baru yang biasanya turut berlaku dengan kenaikan harga, masih ramai sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya pada hari pertama.
Walhal kalau tunggu seminggu dua, dah banyak kedai menjualnya.
2. IKEA
Berbeza dengan peminat Apple yang agak fanatik, peminat IKEA pula chill dan relaks-relaks. Mungkin kerana imej korporat IKEA sendiri tampak santai sahaja.
Berborak dengan peminat IKEA ibarat berborak dengan orang asing, kerana mereka mampu menyebut satu per satu nama-nama produk yang dijual IKEA seolah dia pun datang dari Sweden.
Santai macam mana pun, kalau kita tersebut 'produk IKEA ni sebenarnya tak tahan kualiti dia' atau 'produk IKEA ni pakai buang boleh la', bersedialah untuk mendengar ceramah kenapa produk IKEA memang direka sedemikian rupa.
Realitinya produk IKEA ini ada kualitinya pada pandangan penulis, walaupun yang murah-murah.
Cuma murahnya di Malaysia tak sama dengan di luar; di mana IKEA terkenal sebagai pembekal perabot murah untuk pelajar dan golongan berpendapatan rendah yang sangat terkenal. Di Malaysia...nak IKEA yang kualiti selalunya harganya mahal.
3. Honda
Ada tak jenama kereta lain yang identitinya sering dikait ibarat sebuah 'bangsa'? Hanya jenama Honda saja sering disebut sebagai 'Bangsa H' oleh orang kita.
Kenapa?
Ini kerana bagi peminat Honda, tidak ada jenama lain yang diyakini melainkan jenama Jepun ini dalam aspek rekaan, kualiti, pengalaman pemanduan dan servis lepas jualan.
Keyakinan ini meletakkan Honda dikedudukan nombor 1 negara daripada kiraan jualan bagi jenama bukan nasional terbaru bagi tahun 2023. Ramailah bangsa H berlegar atas jalan raya!
Memiliki Honda juga dikatakan memudahkan gadis-gadis terpikat, kerana pemilik Honda didakwa (tanpa bukti) seseorang yang berketrampilan serta cemerlang dalam hidup selain memiliki wajah kacak.
Setakat ini penulis belum pernah menemui pemilik Honda yang berwajah kacak jika dibandingkan dengan penulis, yang hanya memandu kereta jenama tempatan. Mungkin persepsi ini kurang tepat berbanding dakwaan.
4. Starbucks
Dalam banyak-banyak kultus jenama di Malaysia, kultus peminat Starbucks pada pandangan penulis mungkin yang paling annoying....
Ini kerana berbanding jenama lain dalam senarai ini, peminat Starbucks gemar berkongsi berkenaan pembelian mereka dalam kadar kerap.
Beli kopi secawan, kongsi gambar. Barista tersalah tulis nama? Kongsi status di media sosial. Cuba resipi baru? Kongsikan resipi supaya semua orang boleh cuba sekali. Kami tidak tahu apa rahsia Starbucks dalam membentuk peminat setia dalam mempromosikan jenama ini.
Jadi kami hanya mampu ucapkan tahniah.
Jangan sesekali kata jenama kopi lain 'lebih murah, lebih baik dan lebih sedap' berbanding Starbucks pada mereka ini. Takut nanti anda menyesal disumbat mulut dengan biji kopi Arabica.
5. Tesla
Boleh tak kami senaraikan sekali Tesla ke dalam senarai ini, walaupun secara rasmi produk mereka belum benar-benar selamat terjual di Malaysia?
Walaupun tempahan untuk unit Tesla baru dibuka, peminat Tesla di Malaysia sudah pun memulakan gerak kerja mempromosikan reputasi jenama ini di Malaysia.
Yang belum pernah pandu pun turut mempromosikan sama. Kami tak tahu kenapa...
Tidaklah kami mahu menafikan Tesla sebuah jenama yang cukup inovatif produknya, baik kenderaan elektrik atau perkakasan rumah keluaran mereka.
Tetapi di Amerika Syarikat dan Eropah, jenama ini dilihat terlalu sempurna sehinggakan memang ada diistilahkan Tesla sudah layak diibaratkan sebuah kultus, dek gelagat peminat fanatik mereka. Jadi agak menakutkan juga bagaimana penerimaannya kelak di Malaysia.
Anda setuju dengan pandangan kami atau anda rasa ada jenama lain yang lebih layak dimasukkan? Tinggalkan komen anda.