Oleh pada 29 Mar 2017 kategori

Isu buang harga dalam perniagaan masih menjadi perdebatan antara peniaga di negara kita sehingga ke hari ini. Ada yang menyokong dan ada yang membantah peniaga menjual dengan harga terlalu murah sehingga mengganggu-gugat perniagaan orang lain. Team Iluminasi mengambil kesempatan ini untuk menemuramah seorang peniaga bernama Mohd Rozzy yang berpengalaman lebih dari 15 tahun berkaitan pengeluaran produk, perniagaan uptown, barangan borong runcit, import eksport, pakaian bundle dan bermacam-macam lagi projek yang pernah dilakukan oleh beliau. Ikuti temuramah tidak formal berikut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Q : Adakah isu buang harga menjadi satu kesalahan?

A : Tak salah pun. Tapi serba sedikit memang kacaulah sales peniaga lain yang menjual produk yang sama. Paling penting sekali, kalau dah jual murah, janganlah kondem produk orang lain yang harganya lebih tinggi. Itu dah jadi lain. Khianat namanya. Yang jual harga tinggi pun jangan kondem yang jual murah. Biarlah mereka dengan cara mereka. Peniaga lain nak jual harga tinggi pun bukannya salah dan tak menyalahi agama pun. Itu Ustaz Zaharuddin pun dah ada sebut dalam blog dia. Hehehe.

barbershop milik mohd rozzy alor setar kedah

Q : Macam mana sesetengah peniaga boleh jual murah?

A : Sebenarnya, kebanyakan peniaga yang menjual harga terlalu murah ni, kebarangkalian tinggi diorang labur duit yang banyak untuk kurangkan harga kos sesuatu produk tu. Peniaga kecil ni yang terpaksa jual dengan harga tinggi untuk cover kos pekerja, packaging, kos produk tu sendiri dan bermacam-macam lagi. Waktu fenomena rokok elektrik melanda Malaysia dulu, memang betul pun kos nak buat sebotol flava (cecair perisa) tu tak sampai RM10. Tapi kalau kau kira kos botol, sticker, kos pengangkutan, minyak, upah pekerja, tak berbaloi pun untuk dijual dengan keuntungan RM5. Lagi satu, ada sesetengah orang tu buat kerja perseorangan. Ada pulak yang buat kerja berkumpulan. Ni pun jadi faktor kenapa harga jualan boleh berbeza mengikut jenama masing-masing.

Q : Sokong buang harga atau sokong ikut harga semasa?

A : Aku lebih suka pilih tengah-tengah. Contoh macam sekarang ni, aku ada produk pomade sendiri. Macam mana aku nak bagi nampak kelainan dari produk pomade yang lain? Kalau buang harga memang confirm laku dan mudah untuk jual. Tapi aku tak mahu pilih option buang harga sebab aku tahu kalau aku buat macam tu, rakan-rakan peniaga lain akan teraniaya dan susah nak buat sales. Jadi solusi yang aku ambil, adalah jual pada harga pomade semasa, tapi aku tambah kuantiti dalam produk. Contoh peniaga lain jual pomade 150 gram, aku buat jadi 300 gram. Harga ikut harga semasa. Peniaga lain pun tak kecam aku.

siapa nak bayar gaji pekerja kalau jual murah

Q : Apa kesan kalau buang harga?

A : Kalau buang harga dan pandai marketing memang boleh untung gila produk tu. Tapi kena tahan telinga lah kalau ada peniaga lain sakit hati. Biasanya yang jenis buang harga ni dia tak peduli hubungan dengan peniaga lain. Dia fikir untung dia saja. Susah dia nak collab dengan peniaga lain. Aku tak suka macam tu. Aku prefer jaga hubungan dengan peniaga lain pada masa sama kita sama-sama boleh bantu membantu untuk naik dan dapat keuntungan.

Kadang-kadang kita tak tahu apa kesusahan peniaga lain. Ada setengah tu buat pinjaman bank, pinjam duit famili, yang pinjam duit dari ahlong pun ada. Aku hidup berkawan sebab tu aku tak sampai hati nak main buang-buang harga ni. Hang cuba bayangkan kalau ramai peniaga buang harga, yang mula berniaga pakai pinjaman ni memang boleh sontot terus. Depa pun ada anak bini nak diberi makan juga.

Q : Ada lagi isu lain yang bagi kesan kepada peniaga?

A : Ada. Banyak sangat kalau nak cerita. Sekarang ni banyak produk yang masuk ke Malaysia daripada China. Memang banyak betul saingan yang peniaga produk lokal kena hadap. Tapi aku tetap dengan pendirian aku "rezeki masing-masing" tu je. Macam produk-produk pomade ni pun ada yang diimport dari China. Kos produk jadi rendah gila sampaikan harga retail produk boleh dijual RM10 ke RM15. Tapi kandungan dalam tu kita pun tak tahu halal ke haram. Bayangkanlah RM15 tu harga kos untuk produk aku sendiri, diorang dengan selamber jual harga retail ikut harga kos produk orang lain. Aduhh! Pening kepala nak bersaing kalau macam ni. Tapi tak mengapa, rezeki mereka.

pomade saya dah sampai everest

Q : Apa nasihat kepada peniaga yang baru nak berniaga?

A : "Hampa nak juai harga murah ka mahai ka ikut suka hati hampa lah". Jangan menipu orang sudah. Kadang-kadang kesian juga tengok konsumer yang beli produk murah ni walhal pengeluar sendiri tak tahu kandungan dalam tu. Kita nak bising pun tak boleh nanti orang cakap kita dengki. Kalau kita sama-sama tolong menolong kan lagi harmoni. Tak gitu? Macam blog hang ni jugak lah. Blog dah lah buruk, layout pun tak cantik. Tiba-tiba nak interview free tak bagi duit pulak tu. Hang kena tolong promote pomade aku kat blog hang sama. Hahahahaha (gurau beliau kepada penulis)

Nota penulis : Tajuk artikel ini hanya sekadar gimik untuk mendapatkan perhatian pembaca.

Sumber gambar : fb monsta-x




Hakcipta iluminasi.com (2017)