Ada sesetengah barangan oleh kerana terlalu popular, sering dirujuk namanya bagi mewakili kategori produk tersebut walaupun dikeluarkan pihak lain.
Jenama seperti 'Maggi' sudah biasa diguna bagi merujuk kepada SEMUA jenis mee segera, walaupun mee segera itu dikeluarkan syarikat lain. Begitu juga dengan 'Tupperware' merujuk kepada semua bekas plastik, 'Cellotape' merujuk pita pelekat dan banyak lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Jenama sebegini kita kenal hubungannya. Ada juga jenama yang berjaya menyelinap, sehingga kita tidak menyedari istilah yang kita guna asalnya merupakan sebuah jenama - diguna seolah-olah ianya sudah menjadi kata nama biasa.
1. Buah Kiwi
Tahukah anda apakah nama sebenarnya buah kiwi? Gooseberry.
Uniknya, walaupun dalam zaman moden buah kiwi cukup sinonim dengan negara New Zealand, asal buah ini sebenarnya datang daripada China. Pedagang dari China yang membawa buah kiwi ke New Zealand sekitar awal abad ke 20, mempopularkan buah itu di kalangan pegawai Britain yang bertugas di sana.
Permintaan yang tinggi menyebabkan projek penanaman pokok kiwi dimulakan di New Zealand yang akhirnya menjadikan New Zealand pembekal utama buah ini.
Pada awalnya dikenali sebagai 'gooseberry China', namanya diubah agar lebih mudah dikenali sebagai produk keluaran New Zealand, di mana label 'huakiwi' atau 'buah kiwi' dipilih sebagai label, merujuk kepada nama panggilan tanaman itu di kalangan pekebun tempatan kerana rupanya menyeriupai haiwan burung kiwi.
Nama itu dipatenkan sebagai sebuah jenama, mula dieksport sebagai 'Buah Kiwi' keluaran New Zealand pada tahun 1959 dan menukarkan identiti asal buah itu sinonim dengan negara angkat mereka.
2. Trampolin
Sesiapa yang pernah meloncat atas sebuah trampolin pasti tahu betapa seronoknya kita melambung-lambung di udara. Sedar tak 'trampolin' atau 'trampoline' sebenarnya adalah sebuah jenama?
Trampolin pada asalnya adalah ciptaan orang Inuit yang tinggal di kawasan kutub, bilamana mereka akan mencipta sejenis alat yang mampu melambungkan seorang individu ke udara dengan menggunakan kulit walrus sebagai 'springnya.'
Proses pemodenan alat itu mula dijalankan, khususnya untuk tujuan penggunaan aksi lagak ngeri di sarkas yang dinamakan sebagai 'katil lambung' atau 'bouncing bed.'
Dua orang ahli gimnastik iaitu George Nissen dan Larry Griswold menambah baik rekaan sedia ada, dengan memperkenalkan jahitan pada bahagian kanvas yang dipasang serta spring yang mampu melantunkan individu dengan lebih baik.
Untuk menamakan produk mereka, mereka mengambil inspirasi daripada istilah Sepanyol 'trampolin' yang membawa makna papan anjal, mempatenkan nama itu sebagai jenama produk mereka.
3. Realtor
Apa nama ejen hartanah dalam bahasa Inggeris? Ada yang akan kata real estate agent. Ada yang jawab realtor. Kami yakin ejen-ejen hartanah sendiri tak tahu istilah realtor sebenarnya adalah sebuah jenama!
Memang benar. Realtor sebenarnya adalah ubahan atau korupsi kepada istilah realty dalam bahasa Inggeris yang membawa makna hartanah, dicipta oleh seorang ejen hartanah bernama Charles N. Chadbourn, dari Minneapolis, Amerika Syarikat sekitar dekad 1920-an.
Pada ketika itu, terdapat ramai individu muncul sebagai ejen sama ada secara berdaftar atau tidak berlesen menawarkan khidmat kepada pelanggan. Jadi Chadbourn mencadangkan agar sebuah istilah unik diperkenalkan bagi membolehkan ejen yang beroperasi secara sah dapat dibezakan dengan mudah.
National Association of Real Estate Boards menerima cadangan Chadbourn untuk menggunapakai pangkat 'realtor' bagi semua ejen berdaftar di bawah mereka dan dipatenkan hanya untuk kegunaan ejen yang diluluskan oleh mereka sahaja.
Ini bermakna secara amnya, sekiranya anda seorang ejen hartanah anda tidak boleh sewenang-wenangnya menggelarkan diri anda seorang realtor, melainkan anda berdaftar dengan badan yang kami ceritakan.
4. Windbreaker
Bagi individu yang gemar berlari atau melakukan aktiviti lasak, jaket windbreaker mungkin merupakan pakaian yang mesti ada dalam koleksi anda.
Semua jaket nipis yang yang melindungi bahagian tubuh kita daripada angin masuk, kita akan labelkan sebagai windbreaker bukan? Dari mana datangnya istilah ini?
Windbreaker sebenarnya adalah sebuah jenama siri jaket keluaran syarikat John Rissman Company dari Chicago, yang mengeluarkan siri jaket kalis angin dan air bernama Windbreaker.
Paten untuk bentuk rekaan jaket itu dinamakan sebagai produk Windbreaker dibuat sekitar tahun 1940. Bagaimanapun selepas syarikat tersebut tidak lagi menjalankan perniagaan, semua paten yang dipegang dipindahmilik sebagai harta intelek awam membolehkan jaket yang turut diistilahkan sebagai windbreaker dikeluarkan oleh pesaing lain.
5. Hula Hoop
Apa nama gelung yang akan dimainkan dipinggang kita, dimana kita akan cuba memutarkannya selama mungkin sebelum jatuh? Semua orang akan memanggilnya sebagai hula hoop.
Hula hoop sebenarnya adalah sebuah ciptaan yang telah lama muncul sehinggakan tiada siapa mengetahui siapa pencipta sebenarnya. Direkodkan alat serupa untuk tujuan riadah ini telah pun digunakan semasa tamadun Yunani berlangsung.
Sekitar abad ke 19 bilamana orang British hadir ke Pulau Hawaii, mereka menyaksikan masyarakat tempatan meraikan acara-acara mereka dengan menggunakan gelung tersebut sambil menari tarian tradisi hula, mempopularkan terma hula hoop.
Nama itu melekat tetapi hanya dipatenkan oleh dua individu pemilik syarikat mainan Wham-O iaitu Richard Knerr dan Arthur Melin selepas mereka melancarkan siri produk riadah 'Hula Hoop' yang diperbuat daripada plastik, menjadi antara produk mainan paling laris terjual sebanyak 20 juta unit dalam tempoh 6 bulan pelancaran.