Kredit foto: Astro Gempak

Aktor Datuk Farid Kamil yang ditahan selepas menyerang seorang anggota polis dan dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pelakon itu dikesan positif dadah jenis ganja selepas menjalani saringan air kencing yang dijalankan sejurus penahanannya. 

"Sebaik sahaja polis menahan suspek, ujian air kencing dijalankan bagi mengesan sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah.

"Hasil ujian terbabit mendapati dia positif dadah jenis ganja," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Farid hadir ke balai polis berkenaan bersama seorang rakan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya.

Ketika ditanya tentang motif laporan itu dibuat, Farid menayangkan mesej aplikasi Whatsapp bertajuk '300 artis hutang ah long'.

Kemudian dia tidak semena-mena menjadi berang sebelum menampar anggota polis sambil disaksikan seorang anggota lain dan tiga orang awam.

Malah beliau turut menyepak dua orang awam lain.

Mohd Zani berkata, aktor itu kini disiasat kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis mengikut Seksyen 90 Akta Polis serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)