Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi

Penyanyi Sufian Suhaimi memberitahu betapa dia terlalu sedih dengan pengalaman putus tunang yang dilalui hingga pada satu ketika, air mata jantannya jatuh jua.

Begitupun, penyanyi berusia 26 tahun ini sudah mampu menerima takdir itu dengan hati terbuka, apatah lagi selepas mendapat sokongan dan kata-kata semangat orang sekeliling.

"Sejujurnya saya akui memang sangat sedih. Apabila perkara ini berlaku, jatuh jugalah air mata ‘jantan’ saya tapi bukanlah di hadapan kamera.

"Tapi Alhamdulillah, saya ada sokongan daripada keluarga, rakan-rakan artis yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan peminat yang tidak pernah putus mendoakan saya.

"Saya reda dan menerima segala takdir yang sudah tertulis dengan tenang dan ketentuan dari Allah," kata Sufian sebagaimana dilaporkan portal Mstar Online.

Sufian membuat kenyataan tersebut sewaktu program temuduga Skim Latihan Satu Malaysia (SL1M) yang berlangsung di Maeps, Serdang pada Ahad.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Terakhir ini merancang untuk memberi fokus sepenuhnya dalam kerjaya seni, sekaligus melupakan soal cinta.

isu putus tunang air mata jantan sufian suhaimi gugur jua 2

Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi

"Buat masa ini saya tak nak fikir soal cinta atau mencari pengganti. Saya nak beri tumpuan sepenuhnya pada karier nyanyian.

"Perjalanan seni saya masih jauh. Saya sudah ada perancangan untuk kerjaya selepas ini," katanya.

Sementara itu, Sufian menegaskan lirik lagu terbaharunya, Ku Dimatamu bukanlah ditulis selepas 'insiden' putus tunang dengan Elfira, sebaliknya sudah disiapkan pada pertengahan tahun lalu.

"Sebenarnya lirik lagu tersebut dah ada sejak tahun lalu lagi. Memang saya bercadang untuk keluarkan lagu tersebut pada tahun ini.

"Bukanlah dicipta selepas berakhirnya hubungan saya dan Elfira. Cuma, semua yang terjadi ini seperti kebetulan sama dengan maksud lirik tersebut.

"Lagu itu juga sangat peribadi bagi saya kerana mengisahkan kehidupan saya yang secara kebetulan sahaja," ujarnya.

Karya ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu akan dilancarkan pada 23 atau 24 Mac ini yang juga merupakan tarikh Sufian sepatutnya naik pelamin.

"Insya-Allah saya akan lancarkan lagu tersebut pada 23 atau 24 Mac depan. Tarikh itu sebenarnya tarikh awal perancangan untuk berkahwin.

"Jadi, saya ingat nak jadikan tarikh tersebut sebagai kenangan terindah juga sebab itu saya pilih untuk lancarkan lagu terbaru," katanya.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober 2017, sebelum hubungan itu secara rasmi terputus apabila keluarga Elfira memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian di Johor, pada 18 Februari 2018.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)