Bunga tulip sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri. Bunga tulip juga begitu sinonim dengan negara Belanda. Malah, setiap tahun pada hari Sabtu minggu ketiga bulan Januari diisytiharkan "Nationale Turpendag" atau dalam bahasa mudahnya Hari Tulip Kebangsaan.
Sempena hari istimewa ini, kawasan Dam Square di Amsterdam akan dihiasi kira-kir 200,000 bunga Tulip pelbagai warna. Saat inilah yang biasanya ditunggu-tunggu oleh pelancong dari serata dunia untuk melihat secara lebih dekat lagi dengan bunga yang dianggap istimewa ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Bercerita mengenai Belanda, suatu ketika dahulu pernah terjadi satu kejadian aneh berkaitan tulip kerana ketaksuban rakyat negara ini sendiri terhadap bunga yang satu ini. Fenomena pelik ini juga merupakan gelembung ekonomi yang dikenali sebagai Tulip Mania.
Obses terhadap bunga tulip
Fenomena yang digelar Tulip Mania ini terjadi pada abad ke 17 di Belanda, bermula sekitar tahun 1624 dan mencapai kemuncaknya antara tahun 1636 dan 1637. Lebih menarik, fenomena ini dikatakan sebagai gelembung ekonomi (financial bubbles) terbesar dan pertama seumpamanya.
Satu ketika dahulu, bunga tulip telah dibawa masuk ke Belanda dari negara Kerajaan Uthmaniyah (kini Turki). Bunga yang diimport dari Turki ini dikatakan mempunyai warna yang lebih menyerlah dan pelbagai berbanding bunga tulip yang diimport dari negara-negara Eropah.
Bunga tulip dari Turki ini secara tiba-tibanya menjadi kegilaan rakyat Belanda. Malah, mereka mula mendapatkannya untuk dijadikan perhiasan di laman rumah mereka. Secara tidak langsung, ia menjadi lambang status dan kekayaan seseorang.
Selain faktor kecantikannya, faktor kitaran hidup bunga ini juga menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat. Bunga tulip hanya mampu hidup selama beberapa tahun dan hanya menghasilkan 2 ke 3 klon setiap tahun. Selain itu, ianya mengambil 7 tahun daripada biji benih sehinggalah terhasilnya bunga tulip.
Kesukaran mendapatkannya dan permintaan yang terlampau tinggi terhadap bunga ini menjadikan harganya melonjak berkali-kali ganda.
Peningkatan harga bunga Tulip
Sepanjang tahun 1630-an, harga bunga Tulip telah meningkat sedikit demi sedikit. Permintaan yang semakin meningkat juga menyaksikan peningkatan jumlah penjual bunga di pasaran. Proses jual-beli bunga tulip kebiasaannya hanya berlaku di kedai-kedai tepi jalan dan melalui proses lelongan.
Pada 1636, bunga Tulip dengan kualiti paling rendah juga dikatakan sangat mahal. Secara purata, harganya sekitar 160 Guilder dan telah meningkat ke 200 Guilder sewaktu zaman kemuncak Tulip Mania.
Sebagai perbandingan, seorang penjual biasanya mempunyai pendapatan 150 Guilder setiap tahun. Ini bermakna, sekuntum bunga tulip yang paling rendah kualitinya juga berharga 1 tahun gaji seorang rakyat biasa! Begitulah luar biasanya nilai bunga ini pada waktu itu.
Ketika kemuncak Tulip Mania, kebanyakan bunga Tulip ini hanya dibeli dan dijual kembali semata-mata untuk mendapat keuntungan dan bukannya dibeli untuk ditanam di rumah. Malah, sekuntum bunga Tulip ketika itu mampu bertukar tangan sehingga 10 kali.
Insiden Tulip Mania paling popular
Salah satu contoh insiden paling popular mengenai fenomena Tulip Mania ini adalah apabila 7 orang anak yatim telah melelong harta pusaka peninggalan ayah mereka. Antara harga pusaka tersebut adalah 70 kuntum bungan Tulip, termasuklah 1 spesis unik "Violetten Admirael van Enkuizen" yang terjual pada harga 5200.
Untuk kesemua 70 bunga Tulip yang dilelong, mereka memperoleh sekitar 53,000 Guilder. Bayangkan betapa tingginya harga bunga Tulip ketika itu. Pada tahun 1635, 40 kuntum bunga Tulip terjual dalam satu acara lelongan pada harga 100,000 Guilder. Saban tahun, harganya semakin meningkat.
Selain diperdagangkan, bunga Tulip pada ketika itu umpama duit yang boleh digunakan untuk membeli barangan lain. Selain itu, terdapat juga kes dimana bunga ini telah digunakan untuk membeli rumah, tanah dan ladang. Malah, satu spesis Tulip daripada jenis "Semper Augustus" juga pernah ditukarkan dengan tanah ladang seluas 12 ekar.
Zaman kejatuhan Tulip Mania
Setiap gelembung ekonomi yang naik lambat-laun pastinya akan meletup (jatuh) juga. Sama juga kesnya dengan Tulip Mania. Ianya bermula dalam satu acara lelongan di Harleem apabila seorang pembida yang memenangi lelongan tersebut tidak hadir untuk membeli bunga Tulip yang dimenangi.
Keadaan ini telah menyebabkan panik dalam pasaran dan wujudnya spekulasi bahawa tiada sesiapa lagi yang sebenarnya membeli bunga Tulip untuk ditanam dan dijadikan bunga perhiasan sebaliknya kesemua pembeli akan menjualnya semula semata-mata untuk mendapatkan keuntungan berganda.
Dalam masa beberapa hari sahaja, spekulasi ini tersebar dengan begitu cepat sekali dan membawa kepada keruntuhan pasaran Tulip dengan sendirinya. Dalam tempoh beberapa minggu sahaja, nilai bunga Tulip dikatakan kurang daripada 1% sahaja daripada nilainya sewaktu di puncak zaman Tulip Mania.
Walau bagaimanapun, keruntuhan Tulip Mania boleh dianggap bernasib baik kerana tidak memberi kesan secara langsung terhadap pasaran ekonomi di Belanda ketika itu. Hal ini disebabkan segala urusan perdagangan yang melibatkan bunga ini dilakukan di pasaran terbuka dan bukannya pasaran saham.
Kredit: