Negara Belanda atau Holland terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang sering mempunyai pendekatan progresif dan inovatif dalam pelbagai aspek, khususnya ketika menangani keperluan hidup dan cabaran pembangunan masyarakat.
Salah satu inisiatif yang dianggap berjaya dipelopori Belanda adalah Akta Keselamatan Lestari atau Sustainable Safety Act.
BESARKAN TEKS A- A+
Akta ini mengubah sepenuhnya bagaimana jalan raya di sana dibangunkan, bagi mengutamakan keselamatan pengguna di negara tersebut. Apakah perbezaannya dengan apa yang telah digunapakai di negara kita dan kenapa akta ini menjadi ikutan kerajaan lain di seluruh dunia?
Bagaimana merekabentuk jalan yang mengurangkan kesilapan?
Matlamat utama Akta Keselamatan Lestari oleh kerajaan Belanda jelas adalah untuk mengurangkan kematian dan kecederaan, akibat kemalangan jalan raya.
Pendekatan yang diambil kerajaan Belanda adalah dengan mewujudkan persekitaran lalu lintas yang direka khusus demi mengurangkan faktor yang menyumbang kesilapan manusia, mengurangkan kerosakan akibat kemalangan dan memupuk sikap mementingkan keselamatan di kalangan warga mereka.
Semuanya bermula dekad 70-an dan 80-an apabila terlalu banyak kemalangan berlaku di Belanda yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Bagi merangka pelan penambahbaikan, Dutch Institute of Road Safety Research atau SWOV memperkenalkan Akta Keselamatan Lestari pada tahun 1992 berpandukan kajian laporan PBB tahun 1987. Usaha untuk merangka dasar itu mula bergerak pesat pada tahun 1998.
Pada tahun tersebut kerajaan Belanda mula melaksanakan program percubaan di kawasan dan laluan tertentu yang dikenalpasti sesuai sebagai tapak ujian, menggunakan rekaan khas untuk menenangkan pemandu selain meningkatkan jumlah kawalan trafik.
Jumlah bulatan-bulatan atas jalan raya dipertambahkan demi memperlahankan kenderaan, yang dikenalpasti meningkatkan kadar kepekaan pengguna terhadap persekitaran.
Lima prinsip teras 'Sustainable Safety Act'
Dalam merombak semula sistem jalan raya mereka, kerajaan Belanda memperkenalkan beberapa perubahan yang menjadi teras utama kejayaan program ini.
Jalan raya mula dibahagikan kepada kategori khusus berdasarkan fungsinya, dengan penciptaan kategori jalan utama untuk perjalanan jarak jauh, jalan pengedar yang menghubungkan kawasan dan jalan akses untuk akses tempatan.
Setiap jenis jalan mempunyai piawaian reka bentuk khas dipecahkan kepada beberapa zon laluan baru, yang mempunyai tahap kelajuan maksima 30km/j dan 60km/j sahaja demi memperlahankan pengguna.
Semua jalan raya yang baru dibina di Belanda selepas itu haruslah mengikuti piawai yang telah diperkenalkan tanpa kompromi.
Akta ini juga menggariskan prinsip bahawa kenderaan dengan kelajuan yang serupa harus berkongsi jalan bagi memisahkan kenderaan bermotor, daripada penunggang basikal dan pejalan kaki. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan Belanda mengeluarkan dana besar menambah zon pejalan kaki dan laluan khas untuk basikal.
Piawai yang dibangunkan juga tegas dalam memastikan reka bentuk jalan, tanda dan isyarat yang diaplikasikan konsisten di mana-mana saja, tak kiralah di kawasan bandar, luar bandar, lebuhraya dan sebagainya bagi mengurangkan kemungkinan terjadi kesilapan manusia.
Untuk tempoh 6 tahun daripada tarikh pelaksanaan program sehingga tahun 2003, seramai 750 orang pegawai trafik dilantik khas menyelia kesalahan disiplin pemandu di kawasan berisiko tinggi.
Pemantauan terhadap kesalahan seperti tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar, pelanggaran lampu merah, memandu dalam keadaan mabuk dan memandu melebihi had laju diperketatkan selain kempen kesedaran keselamatan jalan raya digiatkan melalui media massa.
Berbeza dengan banyak kerajaan lain di dunia, kerajaan Belanda tidak menitikberatkan pemasangan peranti keselamatan pada kereta sebaliknya bergantung kepada spesifikasi khusus badan penyelia EURO NCAP, yang bertanggungjawab menyelia standard tahap keselamatan kenderaan yang dijual dalam pasaran di Eropah.
Tahap keselamatan yang berjaya selaras dengan hasrat program
Akta Keselamatan Lestari Belanda terbukti berjaya mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di negara tersebut secara berperingkat, disamping membentuk kesedaran orang ramai.
Pada awal 1970-an, kadar kematian jalan raya di Belanda berada pada tahap di antara 3,000 individu setahun.
Menjelang 2019, angka ini menurun di bawah 700 orang walaupun berlaku peningkatan ketara bilangan kenderaan serta purata jarak perjalanan pengguna yang menaik. Tahap penggunaan tali pinggang keledar di kalangan penumpang dan pemandu kereta menyaksikan peningkatan ketara dan jumlah kes kemalangan akibat pemandu mabuk berkurangan.
Perubahan ini membantu membuatkan Belanda jadi terkenal sebagai negara yang sinonim dengan budaya berbasikal, dengan kira-kira 27% daripada semua jarak perjalanan di Belanda setiap hari dibuat menggunakan basikal sepenuhnya.
Oleh kerana basikal memainkan peranan besar sebagai pengangkutan rakyat mereka, faktor keselamatan pengguna basikal memang sehingga ke hari ini menjadi fokus penting mempengaruhi reka bentuk infrastruktur jalan raya di sana.
Setakat tahun 2019, Belanda mempunyai lebih 4,000 bulatan lalu lintas yang direkodkan mengurangkan jumlah kemalangan maut sehingga 90% berbanding persimpangan tradisional.
Selain itu, Belanda juga memperkenalkan lintasan pejalan kaki dan penunggang basikal yang inovatif seperti "Hovenring" di Eindhoven (rujuk gambar di atas); sebuah bulatan gantung dikhususkan untuk penunggang basikal yang dibina di atas jalan raya.
Bagaimana dengan Malaysia?
Melihat polemik masyarakat yang sering timbul akibat sistem jalan raya kita yang kelihatan tidak jelas halatuju, tahap penguatkuasaan yang lemah serta mudahnya pengguna menyalahguna laluan-laluan yang ada, kami melihat apa yang berjaya dilakukan Belanda dalam tempoh 3 dekad wajar dicontohi kita.
Ini kerana penulis sendiri merasakan mentaliti pemandu di Malaysia kurang prihatin dengan pengguna lain serta lebih gemar mengamalkan sikap pentingkan diri sendiri. Cuma adakah kerajaan kita cukup kuat untuk melakukan satu perubahan yang drastik dalam skala besar sebegini?
Dengan memberi tumpuan kepada reka bentuk infrastruktur, menggalakkan tingkah laku selamat dan melindungi pengguna jalan raya yang terdedah, Belanda mencapai kejayaan ketara mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
Sudah sampai masanya kita cuba 'menenangkan' pemandu di negara kita, kerana memandu di Malaysia khususnya di bandar besar, bukan saja membuatkan kita sakit jiwa bahkan dalam banyak situasi sebenarnya sering bersabung nyawa. C
Rujukan
Ten Years of Sustainable Safety in the Netherlands An Assessment (PDF)