Kredit foto: The Star

Polis mendedahkan aktor dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari sekali lagi tampil membuat laporan polis di Balai Damansara, dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pelakon itu membuat laporan dalam lingkungan jam 5.54 petang dipercayai berhubung penangkapan beliau sebelum ini.

"Laporan itu berkisar sebelum, semasa dan selepas kejadian.

"Di sini, banyak perkara telah dikemukakan Farid dan kita perlu siasat," katanya.

Beliau membuat kenyataan tersebut di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Shah Alam, semalam.

Dalam majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menerima perlantikan sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam yang baharu, berkuatkuasa semalam.

Beliau mengambil alih tempat Senior Asisten Komisioner Shafien Mamat yang kini bertindak sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman.

Dalam pada itu, Fadzil berkata, aktor itu dinasihatkan supaya membuat rujukan dengan peguamnya kerana kes tersebut masih dibicarakan di mahkamah.

Katanya, Farid juga perlu memberi kerjasama dengan memberi keterangan untuk siasatan lanjut selepas ini. 

"Kita akan panggil dia (Farid) untuk rekod keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Farid terlibat dalam kes serangan terhadap seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 11 Januari lalu.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)