Kredit foto: Instagram Farid Kamil
Kehangatan isu yang melanda pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil memberikan tempias populariti kepada drama baharu lakonannya, Lafazkan Kalimah Cintamu, sehingga menjadi trending di laman Twitter.
Tanda pagar #lafazkankalimahcintamu mewakili drama adaptasi novel berkenaan berada di tangga pertama kedudukan trending di Malaysia pada Isnin lalu, iaitu episod pertama drama itu disiarkan dengan jumlah tweet sebanyak 40,000!
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, pihaknya tidak menjangka sambutan hangat daripada peminat memandangkan teraju utama drama itu sedang dikaitkan dengan isu besar.
Kredit foto: myinfotaip.com
“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada penonton yang memberi sokongan dan maklum balas positif terhadap drama ini," katanya.
Dalam masa sama, Raqim menegaskan kontroversi yang tercetus hanyalah secara kebetulan dengan tarikh tayangan drama.
“Biarpun pelakon utamanya berdepan ujian besar, peminat terus memberikan sokongan terhadapnya. Diharapkan sokongan peminat untuk terus memartabatkan drama Melayu khususnya naskhah yang ditayangkan di Astro,” katanya.
Drama di bawah arahan Along Kamaludin itu turut dibarisi pelakon Nelydia Senrose, Azhar Sulaiman dan Adibah Noor.
Bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran Astro Ria.
Sumber berita: Harian Metro