Aktor Datuk Jalaluddin Hassan naik hantu apabila ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan fotonya berpakaian wanita untuk kepentingan peribadi.

Fotonya bersama Syed Wafa ketika menjayakan teater Patung Kertas, 10 tahun lalu itu menjadi foto profil akaun aplikasi Wechat dengan nama 'darling!...For Service!'.

"Saya dapat tahu perkara ini apabila dimaklumkan oleh Syed Wafa. Ini gambar lama ketika saya berlakon tetater Patung Kertas. Saya tidak faham apa motif sebenar pihak terbabit," kata Jalaluddin kepada portal Harian Metro.

Aktor berusia 64 tahun itu menganggap individu berkenaan amat biadab sekiranya menyalahgunakan foto terbabit untuk aktiviti tidak bermoral.

"Kalau tujuannya adalah untuk perkara tidak bermoral, apa saya boleh katakan dia biadab, kurang ajar dan keterlaluan. Jangan jadikan orang lain mangsa semata-mata untuk kepentingan peribadi," tegasnya.

Bercakap tentang watak Abang Long dan Kak Long dalam teater itu, Jalaluddin menegaskan ia hanyalah lakonan semata-mata, justeru penggunaan foto tersebut adalah satu fitnah.

"Umum mengetahui watak itu sekadar lakonan. Tidak ada kena mengena dengan aktiviti lain. Jadi, apa yang dilakukan ini memang berniat jahat," katanya.

Malah, Jalaluddin bimbang terhadap persepsi masyarakat sekiranya foto itu menjadi tular.

"Sejujurnya, saya sendiri tergelak melihat gambar ini. Namun, kita tidak tahu sejauh mana persepsi masyarakat. Apatah lagi, sekarang ini menjadi trend perkara tular," katanya.

Jalaluddin juga berpesan kepada netizen agar memainkan peranan mereka dengan berkongsi perkara yang berfaedah di laman sosial.

"Jangan nak perbodohkan orang ramai. Dalam masa sama, masyarakat pun kalau boleh tidak cepat terpengaruh. Banyak lagi perkara berfaedah boleh dikongsi," katanya.

Sumber berita & Kredit foto: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)