Kredit foto: Instagram Aznil Haji Nawawi
Pengacara Datuk Aznil Hj Nawawi berasa bimbang dengan bentuk komunikasi yang diamalkan generasi hari ini.
Ini susulan tindakan mereka mengeluarkan pendapat dengan gaya yang tidak beradab.
Aznil tidak menafikan keberanian memberikan pendapat itu adalah sesuatu yang bagus, namun perlu disalurkan dengan cara yang betul.
“Saya lihat sekarang ramai anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki hamun pemimpin, malah tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ahli agama.
"Kes terbaharu, seorang anak bukan sahaja mengeluarkan kata kesat kepada ibunya tetapi sanggup pula memukul ibu sendiri.
"Mereka semua ini begitu lantang di laman sosial tetapi bila berhadapan takut pula untuk menyuarakan pendapat.
"Suarakan pendapat itu tidak salah tapi bukan dengan cara yang kurang ajar," katanya yang dipetik daripada laporan portal Astro Gempak.
Menyedari hakikat itu, Aznil dalam perancangan untuk melawat sekolah-sekolah di seluruh Malaysia bagi menyebarkan kemahiran komunikasi yang tepat.
Katanya, idea tersebut tercetus sejak sekian lama, namun hanya menanti masa yang sesuai untuk direalisasikan.
“Bermula dari pelajar sekolah rendah, saya mahu mendedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi dan interaksi dalam melontarkan pertanyaan, jawapan dan juga pendapat.
"Saya sedar generasi kini meskipun lepasan universiti, mereka masih mempunyai kemahiran berkomunikasi yang lemah dan ia antarasa salah satu sebab mereka gagal mendapat tempat di dalam mana-mana sektor perkerjaan.
"Saya harap kempen ini dapat membantu untuk mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang betul.
“Sebenarnya saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merialisasikan impian saya ini," jelasnya lagi.
Hos AF Megastar itu meletakkan harapan agar kempen yang turut dijayakan personaliti TV serta pengacara lain itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
Sumber berita: Astro Gempak