Kredit foto: BH Online
Pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan selamat bergelar suami kepada Rapidah Abd Ghani, 44 dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, kira-kira jam 10.55 pagi tadi.
Pasangan ini dinikahkan oleh Lokman Abdul Ghani di hadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussien Onn iaitu Mohd Faisal Mohd Noor.
Pada majlis itu Jalaluddin menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Di samping itu, lima dulang hantaran, bersama sebuah kerusi urut bernilai RM20,000, manakala dibalas tujuh dulang oleh pengantin perempuan.
Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 100 tetamu di kalangan anggota keluarga terdekat dan rakan kedua-dua pihak.
Antara rakan artis yang kelihatan ialah Ashraf Muslim, Arash Mohamad dan Den Wahab.
Sementara itu, pasangan ini juga diraikan dalam majlis kenduri sederhana yang diadakan di perkarangan masjid sebagai meraikan hari bahagia mereka.
Dalam pada itu, Jalaluddin dan Rapidah ketika ditemui memberitahu mereka bersyukur majlis tersebut selesai dengan baik dan meminta peminat berdoa agar perkahwinan mereka akan kekal buat selama-lamanya.
Kredit foto: BH Online
"Alhamdulillah majlis yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Doakan kebahagiaan kami agar perkahwinan yang dibina berkekalan sehingga akhir hayat," katanya.
Terdahulu, pada 9 Oktober, menurut portal Mstar, Jalaluddin sedang berkawan dengan seorang ibu tunggal berusia 44 tahun yang ditemui menerusi laman sosial Facebook.
Jalaluddin pernah berkahwin dengan Datin Hashimah Mad Ehsan, namun usia 40 tahun perkahwinan itu berakhir apabila arwah meninggal dunia pada 5 November 2016 kerana komplikasi pelbagai penyakit, antaranya kencing manis dan paru-paru berair.
Sumber berita: Astro Gempak