Kredit foto: Instagram @tv3malaysia
Tuah berpihak kepada protege Siti Sarah, Alina Hassan yang ditabalkan gelaran juara pada minggu pertama Konsert Mentor Otai yang berlangsung semalam.
Bekas juara Program Sinaran Passport kegemilangan 1996 itu memukau juri dan penonton dengan kemunculan sulung menerusi lagu berhantu, Samar Bayangan dendangan asal Nicky Astria.
Alina dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas doa netizen yang membawanya kembali ke persada seni suara.
Kredit foto: Instagram @tv3malaysia
“Alhamdulillah saya menang konsert pertama Mentor Otai atas sokongan dan doa awak semua yang secara tidak langsung telah memberi semangat kepada saya dan mentor saya, Siti Sarah," katanya selepas diumum sebagai juara konsert pertama, sebagaimana dilaporkan portal Sinar Harian.
Dalam pada itu, Alina yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengawal keselamatan dan tukang cuci, mengharapkan sokongan berterusan daripada penonton dalam siri persembahannya yang mendatang.
“Semoga terus sokong saya agar menang lagi di konsert-konsert seterusnya,” katanya.
Kredit foto: Instagram @tv3malaysia
Konsert julung-julung kali program realiti baharu itu antara lain menyaksikan persembahan mantap Azee (Segalanya Pasti), Ayie (Bunga Angkasa), Azran (Ku Pendam Sebuah Duka), Irwan (Mengapa Sepi Tanpa Berita), Lokman (Seksa), AJ (Benci Bilang Cinta) dan Elvira (Kris Dayanti).
Pemarkahan dibuat oleh barisan juri tetap yang terdiri daripada Edry Abdul Halim dan Mark Adam, menyempurnakan 50% daripada markah keseluruhan.
Manakala undian juri awam mewakili 20% markah dan 30% lagi undian atas talian.
Empat penyanyi senior memegang peranan mentor untuk membimbing para peserta, iaitu Siti Sarah, Misha Omar, Tam Spider dan Zarul Husin.
Dikemudikan pasangan hos Haziq Hussni (Hot FM) dan Elly Mazlein, Mentor Otai ke udara secara langsung setiap Ahad, jam 9.00 malam di saluran TV3, dibawakan dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.