Kredit foto: astrogempak
Pemergian arwah Johan Nawawi telah menggemparkan industri hiburan tanahair semalam. Johan adalah komposer yang banyak memberi sumbangan dan mencipta lagu-lagu popular termasuk buat isterinya sendiri, Nora Ariffin.
Kehilangan arwah turut dirasai rakan-rakan dalam industri hiburan termasuk penulis lirik, Habsah Hassan yang pernah berkolaborasi dengannya dalam penghasilan beberapa buah lagu.
Dalam satu kenyataan, Habsah mendedahkan arwah pernah meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan kontroversi yang melanda isterinya ketika program Gegar Vaganza yang berlangsung tahun lalu.
Sepanjang kami kenal dia paling terkesan dan sedih dengan kontroversi Nora dalam program Gegar Vaganza musim lalu. Dia mengadu, Nora tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian kerana mereka sudah berkerja keras untuk pertandingan itu. Tapi akhirnya dia dapat terima ia adalah permainan dalam industri hiburan. Kami ada berkolaborasi beberapa buah lagu bersama dan banyak bertukar pendapat tentang industri hiburan tanah air. Kali terakhir saya jumpa dia tiga hari lalu ketika majlis makan malam.
Selain Habsah, nama-nama besar seperti Datuk DJ Dave dan Datuk M.Nasir turut kesal dengan kehilangan arwah dan mendedahkan kenangan manis mereka mengenali arwah semasa hayatnya.
Saya kenal dia sudah lama dan baru-baru ini kami ada berjumpa dalam sebuah majlis, saya nampak dia sihat seperti biasa. Saya terkejut dapat berita sedih kehilangannya pagi tadi. Dia seorang rakan seperjuangan yang baik dan sayangkan industri muzik tempatan - Datuk DJ Dave
Kami berkawan baik sudah lama dan selalu berjumpa bukan sahaja di majlis-majlis malah ketika di luar. Allahyarham seorang rakan yang baik, rajin dan kreatif. Dia banyak menghabiskan masa di belakang tabir. Saya sangat terasa akan kehilangannya kerana dia seorang yang aktif dan tidak boleh duduk diam - Datuk M.Nasir
Kredit foto: Utusan Online
Sumber berita: mstar