Kredit foto: Instagram Jalaluddin Hassan

Aktor Datuk Jalaluddin Hassan akui sedang berkenalan rapat dengan seorang wanita dan dalam usaha untuk menikahinya selepas hampir setahun kematian isteri tercinta, Datin Hasimah Mat Ehsan pada November tahun lalu.

Persahabatan itu berputik di laman Facebook, lalu pertama kali aktor itu menyapa wanita berkenaan ketika Ramadhan baru-baru ini dengan menghantar kiriman ucapan Selamat Berpuasa.

Menariknya, abang wanita itu adalah kawan baik kepada Jalaluddin sendiri.

"Saya bertemu kali pertama dengannya pada acara rumah terbuka Aidilfitri lalu. Rupa-rupanya abang dia rakan baik saya," katanya yang dipetik daripada laporan portal Harian Metro.

Aktor veteren berusia 63 tahun itu juga sudah bersedia menjadikan wanita berstatus ibu tunggal itu sebagai pasangan hidup, cuma menanti genap setahun pemergian isterinya. 

Hajat Jalaluddin turut mendapat sokongan bapa beliau, Tan Sri Hassan Azhari yang tidak mahu melihat dia hidup kesunyian.

"Anak-anak juga tidak menghalang untuk saya berkahwin semula kerana sedar saya perlukan seorang isteri pada masa ini.

"Apa pun, saya memerlukan sedikit ruang sebelum membuat keputusan," dedahnya.

Dipercayai wanita berumur 44 tahun itu dari Serkam, Melaka serta mempunyai empat zuriat daripada perkahwinan sebelumnya.

Terdahulu, Jalaluddin dikejarkan ke hospital pada minggu lalu kerana menghadapi 'vertigo' mengakibatkannya berhadapan masalah dalam keseimbangan tubuh.

Sungguhpun telah keluar hospital pada Rabu dan dinasihatkan supaya berehat, dia masih melaksanakan tanggungjawab membintangi teater Bahara Emas terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober ini.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)