Jika anda selalu menonton drama atau filem seperti "The Shawshank Redemption," anda mesti dapat mengagak secara kasar apakah jenis-jenis kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan penjara.

Sebelum ini kami pernah berkongsi satu artikel berkenaan kajian psikologi terkenal "the Stanford Prison Experiment" yang tiba-tiba telah mengubah tingkah laku individu dengan rekod bersih menjadi ganas dan kejam dalam persekitaran suram penjara.

Jika individu dengan rekod bersih dan keadaan terkawal pun mampu bertindak di luar jangkaan, apatah lagi individu-individu yang terpaksa hidup dalam situasi menakutkan seperti di lima penjara ini:

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penjara Bang Kwang Central – Bangkok

Sebelum tahun 2004, penjara ini tidak pernah dibuka kepada mana-mana kru dan penggiat seni untuk merakamkan dokumentari atau menjadi lokasi penggambaran. Selain menjadi lokasi siri mini Bangkok Hilton yang dibintangi Nicole Kidman, satu dokumentari yang disiarkan BBC pernah memaparkan kehidupan banduan yang dikurung di dalam penjara ini.

Banduan terpaksa duduk berhimpit-himpit selama 15 jam sehari dan hanya diberi makan ikan busuk dan nasi yang sudah berulat.

Disebabkan ramai yang menemui ajal akibat kehidupan sengsara dalam penjara ini, warga Thai sering merujuk kepada tempat ini dengan panggilan "Big Tiger." Selepas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra mengumumkan ingin memerangi dadah pada tahun 2003, populasi penjara naik mendadak sehingga dua kali ganda daripada kapasiti sebenar.

penjara bangkwang makan makanan basi berulat

Penjara Hoa Lo – Hanoi

Penjara yang dahulu dibina oleh orang Perancis untuk mengurung tahanan politik semasa rejim penjajahan itu telah dituntut semula oleh Tentera Vietnam Utara (NVA) untuk menahan tawanan Amerika semasa perang Vietnam.

penjara hoa lo vietnam

Bersikap tidak mengendahkan peraturan Konvensyen Geneva, NVA berterusan menyeksa semua tahanan, mengasingkan mereka dalam sel tahanan bersendirian untuk tempoh yang lama dan memberi makan makanan yang telah dicemari najis manusia.

john mccain selepas dibebaskan dari penjara hoa lo

NVA berterusan menafikan bahawa mereka menyeksa tahanan di penjara itu namun pengakuan sendiri oleh Senator John McCain pada tahun 1999 menceritakan sebaliknya. Menurut Senator McCain yang pernah menjadi tawanan perang di situ, tentera Vietnam sering kali memukul banduan dengan teruk.

Penjara Hoa Lo telah selamat dirobohkan sekitar tahun 1990-an.

Penjara Kerobokan – Bali

Pada Disember 2015, ketegangan antara dua kumpulan geng paling berbahaya di Bali iaitu Laskar Bali dan Baladika Bali telah membawa kepada pergaduhan yang membawa maut di dalam penjara ini. Dua banduan mati dibunuh dan dua lagi cedera parah selepas pergaduhan itu.

banduan kerobokan bali

Selepas terjadinya keganasan tersebut, pihak polis membuat pencarian dan menemui ratusan senjata termasuklah replika senjata api, pedang, tombak dan pisau tersembunyi di dalam sel dan juga sekitar kawasan penjara.

senjata tersembunyi dalam sel penjara kerobokan bali

Seorang warga New Zealand bernama Paul Conibeer pernah dipenjara di Penjara Kerobokan selama 10 bulan kerana gagal membayar bil hotelnya. Dalam satu temuramah, Paul memberitahu bagaimana keganasan dan penggunaan dadah berlaku dengan mudah dalam penjara itu.

Menurut Paul, dia pernah melihat banduan dibelasah, banduan mengambil dos dadah berlebihan malah seorang banduan pernah mati dalam pangkuannya kerana masalah kesihatan yang tidak dirawat.

Penjara Prey Sar – Phnom Penh

Penjara di Kemboja dilaporkan sebagai tempat yang amat kejam dan menakutkan. Malah, benda-benda asas kehidupan seperti air bersih dan udara segar juga diletakkan harga.

penjara prey sar kemboja

Penjara Prey Sar merupakan pusat tahanan terbesar yang dilaporkan paling korup di sana sehinggakan banduan dipaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk membayar bil utiliti penjara.

penjara prey sar kemboja 2

Pada tahun 2008, seorang banduan berusia 24 tahun mati di hospital selepas mengalami kecederaan teruk di kepala. Pengarah penjara mengatakan Heng Touch membuat cubaan membunuh diri sendiri dengan menghentakkan kepalanya ke dinding wad. Namun, abang Heng Touch percaya yang adiknya mati dibunuh oleh warder dan pengawal selepas dia gagal membayar wang sogokan sebanyak $100 semasa melawat adiknya sehari sebelum kejadian.

Penjara Quezon City – Filipina

Menurut data daripada Institut Penyelidikan Polisi Jenayah, kadar penghunian dalam sistem penjara di Filipina pada tahun 2012 sudahpun berada pada paras 316% lebih daripada kapasiti sebenar.

penjara quezon city filipina

Keadaan menjadi semakin buruk apabila Presiden Rodrigo Duterte berazam untuk memerangi dadah di negara itu yang membawa kepada ribuan lagi tahanan baru.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa Penjara Quezon City hanya boleh memuatkan 278 orang banduan tetapi kini ia menjadi tempat tinggal kepada lebih 4,000 orang tahanan.

penjara quezon city filipina 2

Selepas beberapa keping gambar yang mengganggu perasaan tersiar sekitar tahun lepas menunjukkan banduan tidur bertindih-tindih di atas satu sama lain di tepi tangga dan juga di gelanggang bola keranjang, ramai aktivis dan kumpulan hak asasi manusia menjadi berang.

Sejak itu, kerajaan Filipina telah mengumumkan yang mereka sedang bekerjasama dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa untuk membangunkan kemudahan baru bagi para banduan.

Kalau semua banduan di sini mati, tak boleh nak bayangkan berapa banyak hantu yang ada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)