Tahukah anda, setakat September 2017, Malaysia mempunyai sebanyak 47 pusat tahanan yang boleh memuatkan sehingga 45,640 pesalah namun kapasiti tahap penghunian sudahpun mencecah 121.4%?
Di Norway, kurang dari 4,000 orang pesalah yang ditahan di 54 buah fasiliti tahanan di negara yang mempunyai 5.2 juta penduduk itu. Manakala Denmark dan Sweden pula mempunyai statistik pemenjaraan dan jenayah yang lebih rendah berbanding Norway.
BESARKAN TEKS A- A+
Banyak negara dunia yang menjadikan sistem penjara, undang-undang dan jenayah dari negara-negara Scandinavia ini sebagai model kerana ia dilaporkan paling berkesan untuk mengurangkan kadar residivisme. Malah, Penjara North Dakota di Amerika Syarikat telah menjalankan eksperimen pertama untuk mengubah sistem pemenjaraan di negara itu berdasarkan model Penjara Halden di Norway.
Kadar residivisme
Residivisme ditakrif sebagai pengulangan aktiviti jenayah selepas pembebasan seseorang banduan dari penjara.
Apa yang menarik, kadar residivisme di Malaysia hanyalah 7.6%, dilaporkan sebagai yang terendah antara kesemua negara Asean selepas penurunan sebanyak 90% daripada tahun-tahun sebelumnya. Pengurangan ini dilaporkan bermula secara berperingkat dengan pengenalan sistem parol bermula tahun 2008 dan juga Program Pemulihan Komuniti pada tahun 2016.
Malah, jika dibandingkan dengan negara-negara lain (termasuk negara Scandinavia), Malaysia merekodkan kadar pengulang salah laku jenayah paling rendah dalam dunia.
Adakah ini bermakna hampir kesemua banduan dan tahanan yang berada dalam penjara di Malaysia merupakan muka-muka baru?
Atau memang benar sistem pengadilan negara kita sebenarnya masih kabur dengan pendefinisian dan kaedah pengiraan untuk mendapatkan peratusan residivis yang lebih realistik?
Mari kita kaji model dan sistem yang diguna pakai oleh penjara-penjara "berperikemanusiaan" yang ingin dicontohi oleh negara-negara besar dunia lain dan bandingkan dengan sistem penjara tempatan:
1. Penjara Bastøy, Norway
Penjara dengan kadar residivisme sebanyak 16% ini pernah digelar "sistem penjara yang berkesan" dan juga "penjara paling best di dunia." Di Penjara Bastøy yang menempatkan banduan dengan kes serius , para banduan hidup secara komunal dalam rumah-rumah yang selesa. Setiap banduan diberikan bilik sendiri dan berkongsi bahagian dapur serta pelbagai kemudahan lain dengan 'rakan-rakan serumah.'
Hanya satu hidangan makanan percuma disediakan setiap hari. Dengan elaun sara hidup sebanyak 770 krone (RM375) sebulan, mereka perlu membeli sendiri bahan masakan di pasar raya berhampiran dan menyediakan hidangan mengikut selera masing-masing.
Para banduan juga boleh menjana pendapatan tambahan sekitar 60 krone (RM30) sehari dengan melakukan pelbagai jenis tugas di sekitar penjara seperti bercucuk tanam, menjaga kuda, membaiki basikal, membuat kerja pertukangan atau menjaga kemudahan dan kawasan persekitaran. Selain itu, pelbagai program pendidikan dan latihan berkualiti tinggi juga turut disediakan supaya para banduan dapat meningkatkan kemahiran.
Pada masa lapang, mereka dibenarkan berkunjung ke gereja, sekolah atau perpustakaan selain melakukan aktiviti riadah seperti menunggang kuda, memancing atau bermain tenis. Setiap pegawai keselamatan menerima latihan intensif selama tiga tahun (berbanding hanya enam bulan di Amerika Syarikat misalnya) dan mereka dilatih supaya lebih 'mesra alam' seperti seorang pekerja sosial.
2. Penjara Halden, Norway
Penjara berkeselamatan tinggi ini sering disamakan dengan hotel butik kerana rekaannya yang sangat mementingkan cita rasa seni bina Scandinavia yang minimalis. Setiap sel penjara mempunyai televisyen skrin pipihnya sendiri, sebuah bilik air lengkap dengan pintu dan pancuran serta didatangkan dengan set tuala bersaiz besar yang putih dan gebu.
Di dalam sel penjara masing-masing, para banduan mempunyai peti ais sendiri yang sering dipenuhi dengan minuman yogurt serta keju, almari dan meja tulis yang dibuat menggunakan kayu pain berwarna cerah, papan putih magnetik serta boleh menikmati pemandangan hutan lumut yang indah melalui tingkap luas yang tidak dipasang gril.
Para banduan 'dibebaskan' setiap hari pada jam 7:30 pagi dan dikunci semula pada jam 8:30 malam. Pada waktu siang, mereka digalakkan bekerja atau melibatkan diri dengan aktiviti berilmiah. Setiap banduan yang meninggalkan bilik sel akan menerima bayaran 53 krone (RM26).
Walaupun makanan disediakan oleh pihak penjara, tahanan boleh membeli bahan-bahan masakan untuk menyediakan sendiri hidangan. Kedai penjara menjual aneka pilihan bahan termasuklah pes wasabi bagi mereka yang ingin membuat sushi. Di situ juga dijual garam masala, biji vanila, halwa dan juga potongan daging lembu premium berharga 350 krone (RM170) sekilogram.
3. Penjara Storstrøm, Denmark
Penjara yang dibina di Gundslev, Denmark ini baru sahaja dibuka pada penghujung tahun 2017. Persekitaran dan seni bina kompleks penjara ini sengaja dibuat seperti sebuah kampus universiti dengan perincian perabot bergaya Scandinavian yang minimalis namun masih mengekalkan tradisi perkampungan Denmark.
Menelan belanja lebih £100 juta (RM528 juta) dan tempoh lima tahun untuk disiapkan, Storstrøm boleh memuatkan sehingga 250 orang banduan dalam bilik individu bersaiz 40 kaki persegi yang mirip sebuah bilik asrama dilengkapi dengan katil empuk, peti ais, TV 22 inci, almari pakaian serta tingkap yang besar.
Walaupun kompleks penjara ini dikelilingi tembok setinggi 20 meter dan ratusan kamera litar tertutup dipasang di sepanjang perimeter, banduan masih bebas bergerak di dalam 'kampus' ini. Dipercayai kehidupan 'bebas' ini dapat membantu memulihkan para banduan daripada mengulangi jenayah dan meneruskan hidup seperti orang biasa selepas dibebaskan. (Sumber)
4. Penjara Nogerhaven, Belanda
Walaupun Belanda sebenarnya bukanlah salah sebuah negara Scandinavia, namun kami masukkan juga dalam senarai ini kerana kerjasama erat kerajaannya yang sanggup berkongsi penjara dengan Norway.
Kadar jenayah di Belanda adalah sangat rendah sejak tahun 2005 sehinggakan pihak kerajaan terpaksa membuat keputusan menutup beberapa kompleks penjara akibat kekurangan banduan. Pada tahun 2009, lapan buah penjara telah ditutup diikuti dengan 19 buah lagi penutupan pada tahun 2013.
Untuk mengelakkan kemarahan Kesatuan Pegawai Penjara, kerajaan Belanda telah memilih untuk 'mengimport' banduan dari negara luar. Maka, pada tahun 2015, Norway telah memindahkan 242 orang banduan ke Penjara Nogerhaven.
Banduan-banduan yang dipindahkan ini dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang negara asal serta dikawal selia oleh seorang pengarah penjara dari Norway. Walau bagaimanapun, kesemua pegawai yang bertugas di penjara adalah warga Belanda. Banduan akan dihantar semula ke Norway sebelum dibebaskan.
Kenneth Vimme, seorang banduan Norway yang menjalani hukuman penjara diselama 17 tahun kerana membunuh memberitahu penjara Nogerhaven adalah sangat selesa dari segala aspek. Namun, menurutnya, bilangan saluran TV adalah tidak begitu banyak seperti di Norway dan dia juga tidak dapat berjumpa ahli keluarga dengan lebih kerap kerana perjalanan yang jauh dan mahal.
Terdahulu, pada tahun 2010, seramai 550 banduan dari Belgium juga telah memenuhi Penjara Tillburg yang berada lebih hampir dengan sempadan negara tersebut. (Sumber)
5. Penjara East Jutland, Denmark
Penjara yang dibuka pada tahun 2006 ini merupakan penjara dengan ciri keselamatan paling tinggi di Denmark. Kompleks yang boleh menempatkan sehingga hampir 230 orang banduan ini dibahagikan kepada lima seksyen mengikut tahap risiko keselamatan. Empat daripadanya mempunyai reka bentuk yang sama iaitu 24 buah bilik yang dikongsi antara 48 banduan manakala seksyen terakhir digunakan untuk mengasingkan banduan berisiko tinggi.
Dari segi konsep binaan, Penjara East Jutland adalah sangat moden dari segi keselamatan dan aspek seni bina. Walau bagaimanapun, landskap hijau yang masih menerapkan nilai alam semula jadi masih dikekalkan di kawasan persekitaran.
Para banduan boleh menyertai pelbagai kelas dan menggunakan kemudahan empat bengkel yang disediakan iaitu bengkel pertukangan besi, kayu, pemasangan dan pembuatan perabot. Selain itu, para banduan juga boleh berkunjung ke gereja kecil yang berada di dalam kompleks kebudayaan, beriadah di pusat sukan, membeli-belah di kedai runcit atau menghabiskan masa dengan membaca di perpustakaan.
6. Penjara Sollentuna, Sweden
Seperti kebanyakan penjara Scandinavia yang lain, Penjara Sollentuna di Sweden juga mempraktikkan konsep 'perikemanusiaan' dengan banduan-banduan yang menjalani hukuman. Di dalam setiap sel penjara, mereka mempunyai bilik air sendiri serta katil yang empuk.
Kemudahan gimnasium di sini juga dilaporkan setanding dengan gimnasium hotel manakala ruang dapur boleh digunakan banduan untuk memasak menu kegemaran. Setelah penat memasak, mereka boleh berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.
Walaupun banyak pihak berasa skeptik dengan pendekatan yang digunakan pihak berkuasa negara-negara ini, namun kadar jenayah yang sedikit, kekurangan bilangan banduan disertai dengan kadar residivisme yang rendah mungkin bermakna mereka sedang melakukan perkara yang betul. Kan?