Oleh pada 09 Apr 2017 kategori

"Kenali diri sendiri sebelum mengenal orang lain."

Biasa dengar ayat begini? Adakah kita benar-benar mengenali diri sendiri ataupun kita sebenarnya tak tahu pun siapa diri kita? Adakah kita tahu mengapa kita lakukan perkara yang kita pilih untuk lakukan? Apa yang mempengaruhi minda, sifat dan tindak-tanduk kita?

Pakar psikologi telah lama cuba mencari jawapan bagaimana kita melihat dunia dan apakah faktor yang mempengaruhi tingkah laku kita. Kami kongsikan 10 penemuan psikologi yang mungkin mengubah cara anda memahami diri sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

#1 Setiap manusia ada potensi untuk jadi jahat

Ini merupakan eksperimen yang paling terkenal dalam sejarah penyelidikan psikologi sehingga ia dijadikan filem box office. Satu kajian pada tahun 1971 dijalankan oleh penyelidik dari Stanford University dengan menyediakan penjara olok-olok di tingkat bawah tanah bangunan fakulti psikologi.

Seramai 24 orang pelajar yang mempunyai rekod bersih dan tidak mempunyai sebarang masalah mental dipilih untuk berlakon sebagai banduan dan pengawal. Penyelidik kemudian membuat pemerhatian terhadap banduan yang perlu tinggal dalam sel penjara selama 24 jam setiap hari dan juga pengawal yang bekerja syif selama 8 jam melalui litar kamera CCTV terlindung.

stanford prison experiment

Eksperimen yang sepatutnya berlangsung selama 2 minggu itu bagaimanapun terpaksa dipendekkan kepada 6 hari sahaja kerana sikap pengawal yang suka mendera tahanan. Pengawal didapati bersikap ganas terhadap banduan dengan membogelkan banduan, meletakkan beg penutup di atas kepala dan mengajak mereka membuat hubungan seksual.

Ada juga pengawal yang mengakibatkan penderaan psikologi kepada banduan sehingga mereka mengalami stres dan keresahan. Eksperimen itu dihentikan dengan segera kerana ia menjadi di luar kawalan.

Membuatkan kita terfikir, adakah kita juga akan membuat dan melalui perkara yang sama dalam situasi sebegitu?

#2 Kita tak sedar pun apa yang berada di hadapan mata

Anda rasa anda benar-benar tahu dan peka dengan apa yang terjadi di sekeliling anda? Mungkin tidak.

Pada tahun 1998, penyelidik dari Harvard dan Kent University mensasarkan pejalan kaki di kampus untuk mengetahui bilangan orang yang peka dengan keadaan sekeliling. Dalam eksperimen itu, seorang pelakon upahan dikehendaki bertanyakan arah jalan kepada orang yang lalu-lalang secara rambang.

buta perubahan eksperimen manusia tak sedar

Semasa memberikan arah jalan kepada insan yang 'kesesatan' itu, dua lelaki yang membawa pintu kayu besar akan berjalan di antara pelakon dan pejalan kaki tersebut sehingga menghalang pandangan sesama sendiri buat beberapa saat. Pada ketika inilah pelakon upahan ini digantikan dengan pelakon yang lain. Pelakon baru ini mempunyai ketinggian dan bentuk badan yang berlainan. Selain itu, dia juga mengenakan pakaian berbeza, mempunyai potongan rambut dan juga suara yang berlainan.

Apa yang memeranjatkan, separuh daripada bilangan peserta eksperimen ini tidak sedar pun mereka bercakap dengan orang yang berbeza!

Ujian ini menjelaskan fenomena "buta perubahan" yang membuktikan bagaimana otak kita selektif untuk mengingati maklumat yang kita dapat secara visual.

#3 Perasaan susah mengawal diri

Pada akhir tahun 60-an, satu kajian terkenal dari Stanford University telah menjalankan eksperimen 'menahan diri' ke atas kanak-kanak. Dalam eksperimen terbabit, kanak-kanak berusia 4 tahun diletakkan dalam sebuah bilik seorang diri. Di hadapan mereka ada satu pinggan kecil yang berisi seketul marshmallow.

Penyelidik telahpun berpesan kepada setiap kanak-kanak ini bahawa mereka boleh memilih untuk memakan marshmallow tersebut sekarang, ataupun boleh menggandakan bilangan marshmallow sekiranya mereka berjaya menunggu selama 15 minit sehingga penyelidik datang kembali ke bilik tersebut.

ujian marshmallow kanak kanak

Walaupun majoriti kanak-kanak itu menjawab yang mereka akan menunggu kerana ingin makan dua ketul marshmallow, semasa tempoh menunggu, mereka bergelut dengan perasaan dan akhirnya tidak dapat bertahan lama. Kanak-kanak ini beralih arah dan terus memakan seketul marshmallow itu.

Kanak-kanak lain yang berjaya menahan diri kesemuanya menggunakan taktik mengelak seperti berpusing ke belakang atau menutup mata. 

Implikasi tingkah laku kanak-kanak ini sebenarnya sangat penting. Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang mampu menahan nafsu dan melengah-lengahkan kepuasan ini tidak menjadi obes, tidak mempunyai masalah ketagihan dadah ataupun masalah perilaku apabila meningkat remaja dan lebih berjaya apabila dewasa.

#4 Manusia sering mengalami konflik dalaman

Pada tahun 1961, seorang pakar psikologi dari Yale University, Stanley Milgram telah membuat satu ujian untuk mendapat tahu sejauh mana manusia akan tetap mematuhi arahan walaupun ia bertentangan dengan prinsip moral seseorang. Eksperimen ini akan memberikan gambaran bagaimana penjenayah perang Nazi akan melakukan perbuatan yang tidak terkatakan semasa zaman Holocaust.

manusia berpotensi jadi jahat

Peserta ujikaji dipasangkan sebagai "cikgu" dan "anak murid" dan dibiarkan duduk dalam bilik berasingan. Cikgu telah diberi arahan untuk melaksanakan hukuman renjatan elektrik berperingkat pada anak murid setiap kali mereka menjawab soalan dengan salah.

Milgram, bagaimanapun hanya memainkan rakaman bunyi seolah-olah anak murid itu berada dalam kesakitan dalam bilik di sebelah. Setiap kali cikgu dilihat teragak-agak untuk mengenakan hukuman, Milgram akan 'mencucuk' cikgu supaya terus melakukannya. Eksperimen ini menyebabkan 65% daripada peserta mengalami 'kesakitan' maksimum hasil renjatan 450 volt peringkat akhir yang dilabel "XXX". Walaupun cikgu-cikgu kelihatan sangat stres dan tidak selesa, tapi mereka tetap meneruskan jua hukuman.

terlalu mendengar kata dan patuh arahan

Kita boleh lihat bagaimana eksperimen ini menyebabkan manusia masih patuh arahan pihak yang 'berkuasa' walaupun ia bertentangan dengan prinsip moral mereka. Akan tetapi, Scientific American menjelaskan bahawa melawan arahan itu boleh menyebabkan konflik moral yang lebih mendalam.

Situasi beginilah yang dikatakan "ditelan mati emak, diluah mati bapa."

#5 Manusia mudah korup apabila berkuasa

Ada faktor psikologi sebenarnya yang mendorong manusia berkuasa melayan orang lain dengan kurang rasa hormat kerana mereka merasakan mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Pada tahun 2003, satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psychological Review telah menempatkan peserta pelajar dalam beberapa kumpulan tiga-tiga untuk mengarang satu kertas kerja pendek bersama-sama. Dua orang ahli diarahkan untuk menulis kertas kerja dan seorang lagi ahli perlu menilai kertas kerja terbabit dan menetapkan berapa 'bayaran' yang perlu diberi kepada setiap penulis.

cookie monster

Semasa perbincangan berlangsung, seorang penyelidik membawa masuk pinggan yang berisi lima keping biskut. Walaupun biskut terakhir secara umumnya tidak dimakan oleh mana-mana penulis kerana berasa kekok, sang "ketua" sentiasa mengambil biskut terakhir tanpa rasa bersalah dan makan dengan lahap seperti Cookie Monster.

Apabila manusia mendapat kuasa, kita sering melakukan perbuatan tanpa kita sedari seperti menyentuh orang lain dengan tidak sepatutnya, bermain mata tanpa rasa segan, bertaruh apabila membuat keputusan dan sentiasa ingin menjadi yang pertama untuk menyuarakan pendapat.

#6 Manusia setia daripada rakan-rakan

Seorang penyelidik bernama Muzafer Sherif telah membawa seramai 11 orang budak lelaki berusia 11 tahun dalam dua kumpulan berlainan ke "kem musim panas" di Oklahoma. Kedua-dua kumpulan yang diberi nama Eagles dan Rattlers ini menghabiskan masa selama seminggu secara berasingan. Mereka berseronok bersama-sama dan menjadi lebih rapat dalam kumpulan masing-masing tanpa mengetahui kewujudan kumpulan yang lagi satu itu.

eagles vs rattlers eksperimen prejudis

Apabila kedua-dua kumpulan ini disatukan, mereka mula mengejek dan mempersendakan pihak 'lawan'. Apabila mereka dikehendaki bermain pelbagai permainan berkumpulan, lebih banyak konflik yang timbul dan lama-kelamaan kedua-dua kumpulan ini enggan makan bersama-sama.

Dalam fasa seterusnya, Sherif cuba bereksperimen untuk mendamaikan kedua-dua kumpulan dengan membuat aktiviti riadah bersama-sama namun usahanya gagal. Akhirnya, konflik berjaya dileraikan dengan aktiviti yang memerlukan mereka menyelesaikan masalah bersama-sama.

#7 Kita hanya perlukan kasih sayang

Kajian yang mengikuti 268 mahasiswa Harvard dari kelas 1938-1940 selama 75 tahun mungkin merupakan kajian paling panjang dan komprehensif pernah dilakukan dalam sejarah. Data pelbagai aspek dikumpulkan daripada mahasiswa ini dari semasa ke semasa sehinggalah mereka berusia 90-an.

cinta boleh menggembirakan seseorang

Kesimpulan yang boleh dibuat? Cinta dan kasih sayang adalah segala-galanya, lebih-lebih lagi apabila menentukan kebahagiaan jangka panjang dan kepuasan hidup.

Mahasiswa yang pernah membuat cubaan membunuh diri sebelumnya dikatakan paling bahagia pada penghujung kajian. Mengapa? Kerana mereka menghabiskan masa mencari cinta sejati.

#8 Manusia lebih sihat apabila mempunyai status sosial dan harga diri yang tinggi

Mencapai kemasyhuran dan kejayaan bukan sahaja membuatkan manusia berasa megah, bahkan ia boleh menjadi salah satu faktor utama panjang usia. Penyelidik dari Sunnybrook Toronto dan Pusat Sains Kolej Kesihatan Wanita mendapati, para pelakon dan pengarah yang memenangi Anugerah Akademi hidup lama lebih 4 tahun berbanding mereka yang tercalon tapi tidak memenangi apa-apa anugerah.

menang academy award boleh memanjang usia

Kajian ini bukanlah bermakna anda perlu menghadiri kelas lakonan untuk memenangi anugerah Akademi. Tetapi kesimpulan mudahnya ialah faktor sosial memainkan peranan penting. Rasa harga diri yang tinggi boleh mempengaruhi kesihatan seseorang.

#9 Manusia sanggup hidup dalam penipuan

Teori psikologi disonans kognitif (cognitive dissonance) menyatakan manusia mempunyai kecenderungan untuk mengelakkan konflik psikologi yang berpunca daripada ketidakharmonian dan kepercayaan secara eksklusif.

Dalam satu eksperimen yang dijalankan pada tahun 1959, peserta dikehendaki menjalani beberapa siri tugasan suram dan membosankan seperti memusingkan 48 penyepit kayu mengikut arah jam dan bergerak secara sukuan bulatan selama sejam. Mereka kemudian dibayar sama ada $1 atau $20 untuk memberitahu peserta yang menunggu di luar bilik bahawa aktiviti yang dibuat itu sangat menarik. Mereka tidak tahu bahawa 'peserta' yang menunggu itu juga sebenarnya adalah penyelidik.

cognitive dissonance manusia sanggup hidup dalam penipuan

Keputusan mendapati mereka yang dibayar $1 menggambarkan tugasan itu lebih menyeronokkan berbanding mereka yang dibayar $20. Ini disebabkan mereka yang menerima bayaran lebih telahpun menerima justifikasi sewajarnya dengan bayaran 'setimpal' itu. Walau bagaimanapun, mereka yang dibayar $1 perlu berusaha lebih gigih untuk mengatasi konflik minda dengan menyatakan tugasan itu amat menyeronokkan.

Dalam erti kata lain, manusia sering menipu diri sendiri untuk menjadikan dunia kelihatan lebih lojik dan harmoni bagi mereka.

#10 Kita suka menstereotaip tanpa disedari

Sebagai manusia, kita memang tidak lepas daripada tabiat menstereotaipkan orang lain berdasarkan kumpulan sosial, jantina, bangsa, atau agama. Walaupun ia lumrah, namun perkara ini sebenarnya boleh mengakibatkan kita membuat kesimpulan tidak wajar dan pemikiran membahayakan berkaitan sesebuah populasi masyarakat.

pakai tudung tak semestinya terrorist

Dalam suatu kajian yang dijalankan di New York University, sekumpulan peserta dikehendaki menyusun 30 set perkataan yang berkaitan usia tua seperti "forgetful", "helpless" dan "wrinkled" manakala kumpulan yang lain diberikan perkataan yang neutral. Keputusan mendapati kumpulan yang diberikan perkataan-perkataan tua ini akan meninggalkan bilik eksperimen dengan berjalan lebih perlahan berbanding mereka yang diberi perkataan neutral.

Ini menunjukkan minda manusia boleh dipengaruhi tanpa sedar apabila kita didedahkan dengan perkataan-perkataan stereotaip ini. Oleh itu, jangan sesekali bersikap perkauman, seksis atau melabelkan mana-mana individu dengan perkataan stereotaip. Kalau anda tak suka dilabelkan, anda pun perlu berhenti melabel orang lain.

Paling penting, jangan rosakkan otak anak-anak dengan sentimen-sentimen ini yang boleh mempengaruhi tingkah laku mereka apabila meningkat dewasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)