Setiap kaum di dunia pasti mempunyai hikayat atau mitos yang disampaikan turun temurun, tanpa benar-benar diketahui tahap kesahihannya. Sebagai contoh, masyarakat kita gemar menceritakan tentang kewujudan lembaga ghaib seperti hantu pocong dan penanggal.
Masyarakat luar juga tidak lari daripada memilik kepercayaan serupa, terus mempercayai kewujudan lembaga atau makhluk yang dipercayai ada di sekeliling mereka walaupun perkara itu tidak mampu disahkan mereka. Hasil daripada kepercayaan ini, ramai individu menjadikan penemuan dan kajian makhluk ini sebagai ruang penyelidikan unik, sama ada untuk menyangkal atau membenarkan kewujudannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima makhluk mitos yang cukup popular tetapi sehingga kini tidak diketahui kebenarannya, namun terus membelenggu pemikiran masyarakat dunia.
1. Yeti
Yeti atau lebih terkenal sebagai 'The Abominable Snowman' merupakan satu lembaga mitos yang dikatakan hidup di sekitar pergunungan Himalaya. Dalam bahasa tempatan atau dialek Sherpa, 'Yeti' yang membawa makna 'haiwan batu yang hidup' berdasarkan perkataan 'Yeh' iaitu batu dan 'Teh' iaitu haiwan.
Yeti mula menjadi bualan, selepas penemuan tapak kaki besar pada tahun 1921 di laluan pergunungan Everest sebelum seorang penjelajah Britain bernama Eric Shipton turut sama berjaya merakamkan gambar tapak kaki gergasi, di kawasan laluan glasier Menlung yang berada di bahagian barat pergunungan tersebut pada tahun 1951. Shipton yang terkenal sebagai seorang yang sangat mahir dengan selok-belok Everest berjaya membawa pulang gambar jelas, memaparkan tapak kaki gergasi bersaiz tiga belas inci panjangnya.
Apa yang menarik, masyarakat tempatan orang Sherpa di Nepal sebenarnya mempunyai kepercayaan mendalam terhadap kewujudan makhluk ini, yang disampaikan secara hikayat masyarakat. Kepercayaan ini diperkuatkan lagi dengan kisah seekor lembaga ganjil bersaiz besar menyerang perkampungan orang Sherpa sekitar tahun 1974, mampu mematahkan tengkuk lembu seladang ternakan mereka untuk dijadikan makanan.
2. Nessie
Nessie atau 'Raksasa Tasik Loch Ness' menjadi salah satu legenda yang kerap kali dikongsikan orang ramai. Dikatakan hidup di sebuah tasik air tawar di Scotland bernama Loch Ness, siri-siri penemuan Nessie kerap kali dikatakan berlaku dalam tempoh beberapa abad, bermula daripada tahun 565 sehinggalah kepada penemuan terbaru pada tahun 2015.
Walaupun mempunyai rekod penemuan tidak sahih yang kerap, kajian yang dijalankan oleh saintis di tasik tersebut dan dilaporkan pada tahun 2019, menemui bukti bahawa tidak berlaku sebarang kemungkinan wujud haiwan pra-sejarah bersaiz gergasi di situ. Sebaliknya mereka menyifatkan Nessie sebenarnya berkemungkinan hanyalah seekor belut yang terlebih besar berbanding biasa.
Ujian DNA yang dijalankan mendapati tasik Loch Ness dipenuhi dengan DNA belut yang banyak, yang memilih tasik tersebut untuk dijadikan habitat mereka setiap tahun. Sehingga kini, setiap tahun mesti ada sekurang-kurangnya 10 laporan diterima pihak berkuasa daripada individu yang percaya mereka nampak sesuatu yang ganjil di tasik indah itu.
3. Bigfoot
Nama 'Bigfoot' mula terkenal selepas penduduk di Carolina menemui kesan tapak kaki bersaiz 16 inci di sebuah kawasan pembinaan yang sedang berjalan, sekitar tahun 1958. Dari insiden itu, nama makhluk yang dikatakan punca tapak kaki itu ada diistilah sebagai 'Bigfoot.' Apa yang melucukan, kisah sebenar disebalik tapak kaki itu hanya didedahkan pada tahun 2002 - dibuat oleh seorang lelaki bernama Ray Wallace.
Apabila pendedahan itu berlaku, pengkaji Bigfoot mula melihat kembali semua maklumat yang ada; khasnya video seekor lembaga berbulu yang direkodkan di kawasan di mana tapak kaki itu ditemui. Video yang dirakamkan Roger Patterson pada tahun 1967 menjadi bukti utama kewujudan Bigfoot ketika itu.
Selepas pengakuan Ray Wallace, amat jelas sekali minda manusia ini apabila ditanamkan dengan satu idea yang menggemparkan - akan mula mencari jalan mengiyakannya. Mitos 'Bigfoot' mungkin terjawab tentang asal-usulnya tetapi apa lembaga dalam video Patterson itu sebenarnya?
4. Mapinguari
Namanya mungkin kurang dikenali di seluruh dunia, tetapi Mapinguari menghantui masyarakat yang tinggal di hutan Amazon sehingga kini. Apa yang lebih menakutkan, berbanding kesemua makhluk mitos yang disenaraikan dalam artikel ini; mapinguari mempunyai rupa paras paling menyeramkan.
Ini kerana tubuh Mapinguari dipercayai terbentuk daripada gabungan beberapa jenis haiwan berbeza, mempunyai kaki terbalik, mata satu serta ada juga yang percaya pada bahagian perut Mapinguari, ada mulut yang sedia membaham mangsanya. Dengan ketinggian melebihi 2 meter, makhluk ini diceritakan mulut ke mulut benar-benar ada menginap dalam kawasan hutan tebal.
Kajian yang dilakukan oleh seorang ahli biologi bernama David Oren mendapati besar kemungkinan haiwan Mapinguari yang sangat ditakuti, merupakan antara haiwan mamalia terakhir bergelar 'megatherium', sejenis haiwan besar yang merupakan nenek moyang kepada haiwan sloth yang ada sekarang. Penemuan fosil dan bukti yang ada, memperkukuhkan pandangan ini.
5. Kraken
Makhluk sotong gergasi Kraken yang mampu menenggelamkan kapal-kapal gergasi yang belayar dengan mudah, menjadi igauan ngeri mereka yang perlu turun ke laut di kalangan masyarakat Scandinavia satu masa dulu. Rupa gergasi Kraken yang kerap kali diutarakan pada zaman moden datang daripada keterangan yang ditulis oleh seorang ahli sejarah Denmark bernama Erik Pontoppidan pada tahun 1755.
Tulisannya yang diterbitkan dalam buku 'The Natural History of Norway' menjelaskan bahasa Kraken adalah seekor gergasi berbentuk bulat yang dipenuhi dengan tangan menjalar, serta mempunyai saiz yang terbesar berbanding semua hidupan laut yang diketahui ada ketika itu. Pontoppidan juga menceritakan tentang amaran nelayan kepadanya yang direkodkan, berkenaan risiko mereka keluar ke Laut Norway pada waktu musim panas - kerana ini mendedahkan mereka kepada serangan Kraken.
Kraken sangat popular dalam kisah-kisah fiksyen dan mitos masyarakat, seringkali disalahanggap sebagai sebuah pulau berikutan saiznya. Walaupun kini lebih popular digambarkan sebagai 'sotong gergasi', pada awal hikayatnya diceritakan, Kraken digambar lebih mirip seekor ketam besar atau tapak sulaiman berskala gergasi.
Lakaran Kraken seperti sotong hanya bermula, selepas seorang pengkaji sejarah bernama Pierre Denys de Montfort melukis Kraken menyerang kapal dalam bentuk sotong gergasi. Lukisan yang dihasilkan pada tahun 1801 itu mula popular, dianggap sebagai rujukan utama masyarakat dunia bagi menjelaskan rupa bentuk makhluk Kraken.