Jika anda diajukan soalan "Spesies apakah yang paling lasak dan kuat di dunia?" berkemungkinan anda akan menjawab haiwan besar dan bengis seperti singa, dinosaur ataupun naga. Tapi tahukah anda, spesies makhluk yang paling tahan lasak adalah sebesar sebutir pasir sahaja?
Tardigrade ialah sejenis makhluk yang sangat lasak dan kuat. Terdapat kurang lebih 1,000 spesies Tardigrade dalam dunia. Makhluk ini adalah sangat kecil iaitu sebesar sebutir pasir dengan saiz purata sekitar 0.04 inci (1.016 mm).
BESARKAN TEKS A- A+
Mari kita kenali spesies ini dengan lebih dekat lagi. Berikut adalah 7 fakta menarik mengenai Tardigrade yang dapat dikongsikan bersama:
1. Kesemua nama mereka agak lucu
Tardigrade ini juga dikenali dengan nama “beruang air” atau “khinzir lumut”. Ini berdasarkan rupa mereka dan habitat yang didiaminya. Manakala Tardigrade itu sendiri membawa maksud “gerakan perlahan”. Mereka juga boleh berenang menggunakan kaki mereka.
2. Spesies Tardigrade ini telah lama wujud
Para penyelidik menganggarkan bahawa beruang air ini telah wujud sekitar 600 juta tahun lamanya. Sedangkan dinosaur yang pertama direkodkan hidup sekitar 230 juta tahun yang lalu. T-Rex dan dinosaur lain kelihatan seperti sangat muda jika dibandingkan dengan Tardigrade ini.
3. Mereka boleh hidup di mana sahaja
Kebanyakan Tardigrade ini hidup di persekitaran berair atau berlumut. Namun begitu, daya ketahanannya yang tinggi membuatkan ia dapat hidup dalam apa jua keadaan ekstrem sekalipun. Saiznya yang sangat kecil membuatkan ia sangat sukar dibunuh.
4. Mereka mempunyai superpower
Apa yang membuatkan hidup mereka sangat bertahan lama? Ia adalah disebabkan Cryptobiosis yang bermaksud “hidup tersembunyi”. Beruang air ini berhibernasi dalam bentuk yang sangat melampau. Mereka berupaya menurunkan metabolisma badan sehingga 0.01% untuk kekal hidup seminima yang boleh. Adalah hampir mustahil untuk membuatkan mereka mati.
5. Mereka tidak peduli kepada suhu melampau
Tardigrade masih dapat bertahan walaupun pada suhu yang mampu membekukan atau membakar manusia dengan mudah. Para saintis pernah mendedahkan Tradigrade kepada suhu panas mencecah 148.8 darjah Celsius dan juga suhu beku mencecah -272 darjah Celsius, namun ia masih dapat bertahan.
6. Mereka boleh hidup di angkasa lepas
Tanpa bantuan sut angkasa yang lengkap, manusia hanya mampu bertahan selama beberapa minit sahaja di ruangan angkasa lepas. Akan tetapi, beruang air ini dapat melakukannya hingga 10 hari lamanya. Ketahanan mereka terhadap tekanan udara di angkasa lepas dan radiasi cahaya UV juga adalah 100 kali ganda lebih daripada manusia.
7. Anda boleh mendapatkannya sendiri
Ingin membela beruang air ini? Sebenarnya tidaklah begitu susah untuk mendapatkan sebutir Tardigrade. Anda hanya perlu mencari kawasan berlumut dan berair, kemudian gunakan bantuan mikroskop untuk melihatnya. Selamat berjaya.
Itulah serba sedikit maklumat tentang spesis yang mula ditemui oleh saintis Jerman pada tahun 1776 ini. Mungkin kini pandangan anda tentang spesies paling kuat di dunia telah berubah.