Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kotak Dybbuk menjadi sangat popular dan tular di Youtube yang mendakwa ia berhantu.
Terdapat kemungkinan bahawa kotak Dybbuk ini adalah palsu, sama seperti saluran paranormal Youtube yang memuat naiknya.
Dalam tempoh 5 bulan sahaja, beratus-ratus video telah muncul dengan menyatakan bahawa mereka mempunyai kotak "setan berhantu" yang sebenar, dari saluran Youtube popular seperti Omargoshtv dan Proving Demons.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah hantu dybbuk
Dalam mitologi Yahudi, dybbuk adalah roh jahat yang dipercayai milik orang mati dan sepatutnya meninggalkan badan tuan rumah setelah berjaya mencapai tujuannya.
Istilah ini pertama kali muncul dalam beberapa tulisan pada abad ke-16, namun ia tidak diendahkan oleh para sarjana sehinggalah pementasan "The Dybbuk" oleh S. Ansky mempopularkan konsep ini.
Kisah-kisah rasukan awal yang diceritakan adalah melibatkan rasukan syaitan dan bukannya gangguan hantu. Malah, cerita-cerita ini menyokong ortodoksi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah pencegahan.
Sebagai contoh, dikatakan bahawa keraguan mengenai penyeberangan Nabi Musa dari Laut Merah menyebabkan sesebuah rumah itu terdedah kepada rasukan dybbuk.
Perincian nama dan lokasi yang sangat tepat telah dimasukkan dalam kisah rasukan dybbuk.
Rabai Yoel Teitelbaum (1887-1979), dilaporkan telah menasihati seorang individu yang dikatakan dirasuk untuk berjumpa dengan pakar sakit jiwa.
Terdapat bentuk transmigrasi jiwa ( peralihan jiwa setelah mati ke jasad lain) lain dalam mitologi Yahudi.
Bertentangan dengan dybbuk, "ibbur" yang membawa maksud "penghamilan" adalah rasukan positif, yang berlaku apabila roh baik memasuki badan untuk sementara waktu.
Ini biasanya dilakukan dengan persetujuan supaya roh tersebut boleh melakukan mitzvah.
Gilgul yang bermakna "bergolek", mengemukakan idea bahawa satu roh mesti menjalani banyak kehidupan sebelum memperoleh kebijaksanaan untuk bergabung kembali dengan Tuhan.
Dalam kesusateraan psikologi, dybbuk digambarkan sebagai sindrom histeria.
Sejarah kotak dybbuk
Kotak dybbuk atau kotak dibbuk adalah sebuah kotak wain yang mana dikatakan dihantui oleh dybbuk.
Dybbuk adalah roh yang resah yang biasanya berniat jahat dan dipercayai dapat merasuk makhluk hidup.
Kotak ini menjadi sangat popular apabila ia dilelong di eBay disusuli dengan kisah seram yang ditulis oleh Kevin Mannis, dan merupakan inspirasi asal bagi filem The Possession tahun 2012.
Kevin merupakan seorang penulis dan profesional kreatif yang memiliki perniagaan antik serta perabot kecil di Portland, Oregon pada ketika itu, yang menyebabkan ramai orang ragu-ragu sama ada kisah kotak dybbuk ini benar atau tidak.
(Kevin Mannis)
Menurut cerita Kevin, dia membeli kotak tersebut dalam sebuah lelongan hartanah pada tahun 2001. Ia milik seorang mangsa Holocaust di Poland bernama Havaleh, yang telah melarikan diri ke Sepanyol dan membelinya di sana sebelum dia berhijrah ke Amerika Syarikat.
Cucu Havaleh memberitahu Kevin bahawa kotak itu telah dibeli di Sepanyol selepas Holocaust dan selepas mengetahui bahawa kotak ini merupakan pusaka keluarga, Kevin menawarkan kotak itu dikembalikan kepada keluarga Havaleh.
Namun cucu Havaleh berkeras agar Kevin mengambilnya, berkata bahawa keluarga mereka tidak mahukan kotak tersebut.
Kevin juga diberitahu bahawa kotak tersebut disimpan di bilik jahit neneknya dan tidak pernah dibuka kerana dybbuk dikatakan tinggal di dalamnya.
Setelah membuka kotak itu, Kevin menulis bahawa dia mendapati bahawa ia mengandungi dua duit syiling tahun 1920-an, segumpal rambut perang yang diikat dengan tali, segumpal rambut hitam atau coklat yang diikat dengan tali, patung kecil yang terukir dengan perkataan Hebrew iaitu "shalom", sebuah piala kecil, satu putik mawar kering, dan satu lilin dengan empat kaki berbentuk sotong kurita.
Banyak pemilik kotak dybbuk telah melaporkan bahawa berlakunya fenomena aneh disebabkan kotak ini.
Kevin menulis bahawa dia mengalami satu siri mimpi ngeri dikongsi dengan orang lain semasa mereka memiliki kotak itu atau ketika mereka tinggal di rumahnya semasa dia memilikinya.
(Kandungan kotak dybbuk)
Malah, Kevin memberitahu bahawa ibunya mengalami serangan angin ahmar pada hari yang sama dia memberikan kotak itu kepada ibunya sebagai hadiah hari jadi.
Setiap pemilik kotak itu melaporkan bahawa ada bau air kencing kucing atau bunga melati dan mimpi buruk yang melibatkan kain pelikat tua menyelubungi kotak itu.
Iosif Neitzke, seorang pelajar di Truman State University di Kirksville, Missouri dan orang terakhir yang melelong kotak ini di eBay, mendakwa bahawa kotak itu menyebabkan lampu terbakar di rumahnya dan rambutnya gugur.
Kotak itu kemudiannya dijual oleh Iosif kepada Jason Haxton, Pengarah Museum Perubatan Osteopati di Kirksville, Missouri, yang mengikuti blog Neitzke mengenai kotak itu.
Jason menulis buku "The Dibbuk Box" dan mendakwa bahawa dia kemudiannya mengalami masalah kesihatan yang aneh, termasuk gatal-gatal, batuk darah, dan "sakit kepala hingga kaki".
Jason bertemu dengan rabai Yahudi untuk mencari cara bagi mengunci dybbuk ke dalam kotak itu semula.
Selepas berjaya melakukannya, Jason menyembunyikan kotak tersebut di lokasi rahsia yang mana dia tidak mahu dedahkan.
Jason kemudiannya mendermakan kotak itu kepada Zak Bagans dari Ghost Adventures untuk dipamerkan di muziumnya.
Rujukan:
1. LiveSciFi
2. Dybbuk Box
3. Dybbuk