Oleh pada 25 Jun 2024 kategori

Di seluruh Asia Tenggara yang dihuni pelbagai jenis kaum dan kepercyaan, wujud kepercayaan berkenaan kewujudan makhluk mitologi yang penuh dengan keajaiban.

Makhluk-makhluk ini bukan sahaja telah menjadi sebahagian daripada kisah nenek moyang yang dijadikan warisan budaya, tetapi turut mencerminkan elemen kepercayaan, nilai, dan sejarah masyarakat yang mengangkatnya sebagai simbol.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam masyarakat kita, ada enam makhluk mitologi yang terkenal di Asia Tenggara, disanjungi dan digeruni penduduk setempat yang merata-rata.

Garuda

garuda makhluk mitologi asia tenggara

Garuda adalah burung gergasi dalam mitologi, sering digambarkan dengan sayap yang luas dan ada kalanya mempunyai ciri-ciri manusia. Dalam mitologi Hindu dan Buddha, Garuda dikatakan haiwan tunggangan Dewa Vishnu yang melambangkan kekuatan, keberanian dan kepahlawanan.

Asal-usul Garuda dikatakan berpunca daripada hikayat Hindu yang tersebar ke seluruh Asia Tenggara melalui pengaruh agama. Selain kita yang menjadikan garuda sebagai salah satu simbol utama Pulau Langkawi, garuda dipuja di Indonesia dan Thailand.

Di Indonesia khususnya, garuda diangkat menjadi lambang negara dan tertera pada lambang rasmi negara mereka iaitu Garuda Pancasila. Di Pulau Bali, garuda sering dijadikan simbol dalam upacara keagamaan dan dipahat pada arca kuil, kerana orang tempatan masih percaya pada kekuatan garuda sebagai pelindung yang turut melindungi kepercayaan keagamaan mereka.

Naga

naga makhluk mitologi asia tenggara

Naga wujud dalam banyak mitos masyarakat di seluruh dunia, dalam pelbagai versi berbeza termasuklah di Asia Tenggara. Naga secara asasnya merupakan makhluk mitologi menyerupai ular besar yang hidup di air seperti sungai dan laut, dianggap penjaga kekayaan dan sumber air.

Kuat dipegang dalam mitologi Hindu dan Buddha, serta dipercayai di Thailand, Kemboja, Laos, dan Myanmar, kumpulan penganut ini percaya naga makhluk yang mempunyai sifat sakti dan menjaga mereka, oleh itu ukiran berbentuk naga sering dibuat dalam seni bina kuil dan arca.

Di Thailand, festival bola api naga merupakan sebuah acara tahunan di mana penduduk percaya bahawa naga mengeluarkan bola api dari Sungai Mekong. Festival ini menarik ribuan perhatian pelancong dan penduduk tempatan yang ingin menyaksikan keajaiban tersebut.

Kinnari

kinnari makhluk mitologi asia tenggara

Kinnari adalah makhluk mitologi separuh burung dan separuh wanita yang terkenal dengan kecantikan dan kemahiran muziknya, digambarkan dengan tubuh wanita dan sayap burung.

Makhluk kinnari dikatakan berpunca dari mitologi dalam kepercayaan Buddha, sangat terkenal di Thailand, Kemboja, dan Laos melambangkan keindahan dan kesenian. Di Thailand, kinnari sering ditampilkan dalam tarian tradisional dan seni persembahan selain ditemui di kuil-kuil sebagai lambang kesucian dan kecantikan.

Aswang

aswang makhluk mitologi asia tenggara

Aswang adalah makhluk mitologi masyarakat di Filipina yang digambarkan sebagai makhluk seram yang mampu berubah bentuk, menjadikan wanita hamil dan kanak-kanak sebagai mangsa utama.

Oleh kerana merupakan sebuah kisah rakyat, kisah tentang rupa aswang mempunyai pelbagai versi dan bentuk, bergantung kepada kepercayaan rakyat setempat. Walaupun kisahnya seram dan menakutkan, bagi masyarakat Filipina 'kewujudan' aswang menjadi sebahagian daripada kisah hikayat yang membawa banyak pengajaran.

Tidak ada festival khusus untuk meraikan aswang. Walaupun begitu kisah berkenaan makhluk ini sering diceritakan semasa perayaan Halloween dan All Saints' Day di sana, untuk mengingatkan anak-anak dan wanita mengandung tentang bahaya di sekeliling mereka.

Bakunawa

bakunawa makhluk mitologi asia tenggara

Satu lagi makhluk mitologi dari Filipina, bakunawa adalah naga laut seperti ular gergasi yang dipercayai menyebabkan gerhana bulan dengan menelan bulan.

Kisahnya ada beberapa versi. Dalam salah satu versi cerita, bakunawa adalah seekor naga yang jatuh cinta dengan bulan. Terdapat tujuh bulan di langit pada masa itu dan bakunawa terpesona dengan keindahan mereka.

Bakunawa naik ke langit untuk menelan bulan-bulan tersebut satu persatu sebagai cara untuk mendekatkan diri dengan mereka namun setelah berjaya menelan enam bulan, para dewa dan dewi menghalangnya, yang menyebabkan gerhana bulan.

Dalam versi lain bakunawa adalah makhluk yang penuh dengan dendam dan kemarahan, muncul dari laut cuba menelan bulan untuk memadamkan cahayanya menyebabkan gerhana bulan.

Penduduk setempat percaya bahawa membuat bising seperti mengetuk periuk dan kuali dapat mengusir bakunawa dan mengembalikan bulan.

Hanuman

hanuman makhluk mitologi asia tenggara

Hanuman adalah pahlawan monyet yang terkenal dalam mitologi Hindu, diambil daripada hikayat epik Ramayana. Makhluk ini terkenal dengan kekuatan luar biasa, sifat yang penuh kesetiaan dan punya kebolehan berubah bentuk menyerupai apa saja makhluk lain.

Di Indonesia dan Malaysia khususnya, hanuman kekal menjadi antara watak penting dalam persembahan wayang kulit. Persembahan tarian berasaskan epik Ramayana di Yogyakarta, yang dikenali sebagai sendratari Ramayana juga mengangkat makhluk mitos ini sebagai salah satu elemen utama persembahan.

Makhluk-makhluk mitologi sebegini walaupun kita tahu adalah mitos, merupakan elemen yang memperkaya warisan kebudayaan dan sejarah kita, juga membawa kita kembali mengingati nilai-nilai tradisional yang penting hasil tinggalan nenek moyang kita.

Meskipun dunia semakin moden, kepercayaan terhadap makhluk-makhluk ini masih kekal hidup melalui ritual, festival dan cerita rakyat yang terus diceritakan dari generasi ke generasi. Pada pendapat anda, adakah kisah sebegini harus terus diceritakan atau lebih elok dibiarkan sepi, kerana anda berpegang bahawa hikayat sebegini hanya kisah mitos semata-mata?




Hakcipta iluminasi.com (2017)