Secara definisinya, bioluminescence atau biopendarcahaya ialah pelepasan cahaya boleh lihat yang dihasilkan oleh organisma hidup. Daripada kesemua makhluk dalam kumpulan biopendarcahaya ini, 80% daripadanya ditemui dalam laut berbanding di darat yang lebih sedikit jumlahnya. Ini disebabkan tiada tumbuhan, burung, reptilia, amfibia atau mamalia yang diketahui menghasilkan cahaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Malaysia, haiwan biopendarcahaya yang paling terkenal ialah kelip-kelip. Mari kita susuri senarai 10 makhluk "glow in the dark" yang lain pula:

10. Siput, Quantula Striata

quantula striata

Pelbagai haiwan kecil yang hidup di dalam air boleh menghasilkan cahaya, namun hanya ada satu jenis siput sahaja di darat yang tergolong sebagai biopendarcahaya iaitu siput tropika. Siput ini banyak terdapat di Malaysia, Singapura, Kemboja, Filipina dan Fiji. Penghasilan cahayanya sukar difahami dan sukar mengambil fotonya di dalam gelap.

Telurnya bagaimanapun mempunyai lapisan yang bercahaya dalam gelap. Siput quantula striata remaja dan dewasa boleh menghasilkan cahaya hanya dalam masa yang singkat. Walaupun hampir kesemua siput lain menggunakan feromon atau rembesan kimia untuk berhubung, namun spesies ini dipercayai menggunakan kelebihan biopendarcahaya mereka sebagai salah satu bentuk komunikasi.

9. Udang krill Antarctic

antarctic krill

Udang krill Antartika ini adalah salah satu rantaian makanan penting di lautan Kutub Selatan. Saintis melaporkan terdapat sebanyak 500 juta tan udang ini yang berada di perairan selatan Antartika. Apabila udang krill ini memenuhi sesuatu kawasan pada musim panas, pelbagai haiwan dari kawasan sejuk di sekitarnya akan bersedia untuk pesta makan secara besar-besaran. Ini disebabkan udang ini mempunyai kesan ekosistem kepada hampir semua haiwan di sini. Kepadatan udang ini boleh mencecah sehingga 30 ribu ekor bagi setiap meter persegi. Terlalu banyak limpahan makanan untuk burung, ikan, penguin dan pelbagai haiwan lain.

Udang krill mempunyai beberapa organ yang menghasilkan cahaya kuning kehijauan sehingga hampir 3 saat setiap kali. Beberapa saintis berpendapat krill menghasilkan cahaya bagi mengelak pemangsa dengan menyamar mengikut cahaya bulan pada waktu malam atau ais di permukaan laut. Walaupun udang ini merupakan makanan penting bagi haiwan lain, namun mereka mempunyai teknik dan helah tersendiri untuk mengelakkan diri dari diburu pemangsa.

8. Ulat gonggok Genus Motyxia

genus motyxia

Hanya satu sahaja spesies ulat gonggok ini yang dikenal pasti menghasilkan cahaya iaitu Genus Motyxia (terdapat 8 subspesies di bawahnya). Ia dikenali dengan nama ulat gonggok bercahaya Sierra dan didapati menghasilkan cahaya hijau kebiru-biruan terutamanya apabila diganggu.

Sesetengah dari spesies ini mengeluarkan cahaya yang agak malap namun ada juga yang begitu terang dan jelas. Spesis ulat gonggok ini hanya boleh dijumpai di hutan California sahaja. Satu fakta menarik ialah mereka tidak dapat melihat cahaya yang menarik ini disebabkan serangga ini buta. Jadi, mereka menggunakan deria lain untuk merasa dan berhubung.

Sepertimana haiwan berbisa yang lain, ia akan memberikan amaran kepada pemangsa terlebih dahulu dengan menghasilkan cahaya yang terang. Haiwan nokturnal ini yang berburu pada waktu malam juga boleh menghantar amaran yang jelas kepada tikus atau pemangsa lain.

7. Crystal Jelly (Aequorea Victoria)

aequorea victoria

Obor-obor kristal ini kelihatan hampir lut sinar atau transparent. Walaupun kelihatan cantik dan tenang namun haiwan ini sebenarnya adalah haiwan karnivor. Mereka makan obor-obor yang lebih kecil dan juga plankton serta beberapa haiwan kecil lain di lautan.

Obor-obor ini juga berupaya menghasilkan cahaya hijau kebiru-biruan menggunakan lebih 100 organ yang menjulur di luar payungnya itu. Ia sering dijadikan bahan uji kaji bagi penyelidikan genetik kerana protein bercahaya yang dihasilkan.

6. Dinoflagellate – Cahaya Laut Biru

dinoflagellate

Dinoflagellate merupakan sejenis organisma hidup dengan sel tunggal dan mempunyai lebih daripada 2,000 spesies. Mereka boleh dijumpai di air tawar dan juga air masin. Walaupun haiwan ini sangat kecil, ia memberi impak yang besar kepada ekosistem kerana berupaya menghasilkan makanannya sendiri menggunakan cahaya matahari.

Sesetengah spesies ini boleh menghasilkan cahaya yang terang dan jika diganggu oleh persekitaran - seperti ombak yang dihasilkan oleh bot, ia akan menghasilkan cahaya biru terang.

Ada juga spesies dinoflagellate yang terdapat di persisiran pantai yang boleh membahayakan ekosistem. Ketika musim panas, spesies ini akan banyak berkumpul sehingga air laut kelihatan berwarna emas kemerah-merahan. Apabila ini berlaku, banyak hidupan laut lain akan menerima akibatnya. Ini disebabkan organisma kecil ini mengeluarkan neurotoksik yang boleh menyebabkan kelumpuhan otot. Manusia juga boleh dijangkiti toksin ini jika memakan ikan atau kerang yang mengandunginya dan boleh menyebabkan keracunan makanan.

5. Ctenophores atau “Comb Jellies”

ctenophores

Comb Jellies atau nama saintifiknya ctenophores ini adalah haiwan yang menggunakan jejari halus untuk bergerak di dalam air. Tidak seperti obor-obor, comb jellies ini tidak menyengat. Mereka juga tidak berubah bentuk apabila dewasa dan anak mereka yang masih kecil adalah versi mini yang sama seperti dewasa.

Haiwan biopendarcahaya ini adalah daripada keluarga karnivor. Apabila dia memakan obor-obor kecil yang lain misalnya, mangsa kelihatan seperti bercerai-berai di dalam perutnya yang bercahaya itu. Ia juga menggunakan cahayanya di dalam gelap untuk mengumpan mangsa.

4. Anglerfish

anglerfish

Lautan dalam memang mempunyai banyak haiwan yang unik dan menarik. Ratusan jenis ikan boleh mengeluarkan cahaya di dalam keadaan gelap pekat untuk meniru cahaya bulan atau bintang bagi mengelak pemangsa. Namun, ada juga yang mengeluarkan cahaya untuk mengumpan dan memburu.

Salah satunya ialah Anglerfish yang kelihatan agak menggerunkan. Ikan ini tidak perlu bersusah payah untuk memburu kerana ia mempunyai sistem mengumpan yang sangat efektif. Anglerfish akan bersembunyi di celahan batu gelap sebelum menggunakan organ luarannya yang kelihatan seperti sesungut untuk mengeluarkan cahaya seperti rumpai laut yang bergerak dibawa arus. Sesungut ini hanya terletak beberapa inci sahaja dari rahangnya yang mempunyai banyak gigi tajam.

3. Glowworms

glowworm

Makhluk ini sedikit berbeza kerana ia tinggal di dalam gua. Glowworms bukanlah sejenis haiwan akan tetapi merupakan larva beberapa spesies serangga yang menghasilkan biopendarcahaya. Glowworms yang paling terkenal ialah larva kelip-kelip atau firefly.

Namun glowworms yang paling menarik adalah larva serangga kecil dari keluarga Arachnocampa yang hanya boleh ditemui di New Zealand dan Australia sahaja. Ia bukan sahaja menggunakan glowworms atau larva yang bercahaya sebagai umpan, malah ia menggantungkan larva ini di bahagian atas dinding gua menggunakan bebenang sutera membuatkan suasana kelihatan begitu menarik seperti dalam filem sains fiksyen.

2. Sotong Kelip-kelip (Watasenia Scintillans)

sotong kelip kelip

Terdapat banyak spesies sotong yang bercahaya dalam gelap seperti sotong Bobtail, sotong Dana yang besar dan sebagainya. Akan tetapi sotong kecil yang dipanggil sotong kelip-kelip (Watasenia scintillans) ini lebih menarik perhatian. Dengan hanya berukuran purata 3 inci panjang, ia berenang sejauh beberapa ratus meter ke dasar laut pada waktu siang dan kembali ke pesisiran pantai pada sebelah malam.

Ia mendapat nama kelip-kelip kerana mengeluarkan cahaya biru yang terang dan apabila berkumpul di pantai dengan banyak, ia kelihatan seperti suatu pertunjukan lampu. Ia mengeluarkan cahaya ini untuk berhubung sesama spesies, mengumpan mangsa atau memberi amaran kepada pemangsa. Ia juga boleh menyalakan seluruh badannya ketika mencari pasangan. Spesies sotong ini merupakan satu-satunya spesies sotong yang tidak buta warna. Menakjubkan!

1. Kulat – Saprobe Panellus Stipticus

saprobe panellus stipticus

Sesetengah kulat mempunyai kebolehan biopendarcahaya dan terdapat lebih 70 spesies yang telah dikenal pasti mempunyai kelebihan ini. Akan tetapi antara kulat yang paling menarik sekali ialah Saprobe Panellus Stipticus. Keadaan cahaya berwarna hijau ini dipanggil foxfire atau fairy fire apabila ia tumbuh pada kayu yang mereput.

Keadaan ini disebabkan oleh luciferin, sejenis enzim oksidatif yang terhasil dan menyebabkan kesan berlakunya biopendarcahaya ini. Walaupun biopendarcahaya pada kulat ini sudahpun dikesan sejak ratusan tahun yang lalu, namun para penyelidik sekarang masih lagi mencari jawapan yang tepat mengapa ia menghasilkan cahaya. Tekaan mereka adalah sama ada untuk menarik serangga bagi proses pendebungaan, memberi amaran kepada pemakan kulat untuk menjauhkan diri atau mungkin sebahagian proses metabolisme kulat itu sendiri.

Rujukan:

1. Tripfreakz

2. Antarctica

3. Apheloria

4. Monterey Bay Aquarium

5. Berkeley.edu




Hakcipta iluminasi.com (2017)