Kredit foto: New Straits Times & Astro Gempak
Penaja Gegar Vaganza Musim Keempat, usahawan selebriti Datuk Seri Vida meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pihak Astro yang tidak membenarkannya bercakap di sidang media program itu semalam.
Vida memuat naik empat buah video di laman Instagram memberitahu betapa kecewanya dia menerima layanan sedemikian selepas menaja jutaan ringgit.
Malah Vida atau Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan luahan hatinya itu bukanlah gimik yang sengaja direka untuk meraih publisiti.
"Tak panggil saya cakap sepatah pun. Saya tak puas hati, penganjur lain yang saya taja pun bagi bercakap mengenai produk sendiri," katanya beremosi.
Selain itu, Vida menunjukkan dia seperti mahu menangis kerana layanan yang diterima begitu mengecewakan.
Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida
Tambah Vida, dia sudah melakukan persediaan bergaya dan melaram, bagaimanapun tidak mendapat ruang untuk bercakap walaupun sedikit mengenai produknya.
"Satu nama pun tak sebut. Saya taulah sidang media. Ini bukan publisiti murahan tetapi betul.
"Saya dah tunggu, belum apa-apa dah buat hal. Takut saya naik buang masa peserta ke?" katanya.
Sehingga kini, siri video itu telah menerima ratusan ribu tontonan dan beratus komen.
Usaha untuk mendapatkan jawapan pihak Astro berhubung isu tersebut gagal apabila mereka enggan memberikan komen.
Sumber berita: Harian Metro