Kredit foto: my.theasianparent.com & Instagram Elyana
Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida menegaskan kenyataan yang dibuat sewaktu konsert musim keempat, Gegar Vaganza (GV4) malam tadi tidak mempunyai kaitan dengan penyanyi Elyana.
Menurut Vida, 45, dia tidak berkecil hati dengan kenyataan Elyana di Instagram Secara Langsung yang menafikan dirinya mengambil minuman Pamoga.
"Apa yang berlaku adalah secara spontan dan bukanlah dengan niat untuk perli mana-mana pihak. Saya tidak mahu dianggap memaksa sesiapa menggunakan produk saya pula.
"Bagaimanapun, saya tidak terasa hati dengan kejujuran yang dibuat Elyana baru-baru ini, jauh sekali untuk menyimpan dendam. Saya memohon maaf andainya ada kata-kata saya mengguris perasaan Elyana.
"Saya memahami keadaannya... Dia hanya cuba menjelaskan supaya tidak timbul kekeliruan. Insya-Allah, saya ada perancangan bersama Elyana," katanya memetik portal BH Online.
Sebelum ini, Elyana mengakui dia tidak pernah mengambil Pamoga kerana mendakwa ia mengandungi kandungan gula tinggi serta gamat yang tidak sesuai untuk pesakit kanser.
Malah menerusi Facebook Secara Langsung, dia meminta agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan selepas dia membuat pengumuman menghidap kanser.
Terdahulu, penyanyi Pakai Kanta Cinta yang tersingkir di minggu kelima Gegar Vaganza 4 itu, meruntun emosi peminat apabila mendedahkan dia adalah penghidap kanser limfoma tahap empat.
Susulan itu, peminat serta rakan artis tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat menerusi media sosial.
Sumber berita: BH Online