Terlalu banyak perkara menarik telah pun kami ceritakan berkenaan negara unik Korea Utara. Daripada segi corak pentadbirannya, corak hidup mereka sehinggalah sistem yang diamalkan di negara itu - kesemuanya mampu membuatkan kita rasa teruja.
Namun topik perbincangan berkenaan ekonomi negara tersebut jarang sekali dibincangkan. Kita mungkin tahu rakan dagang utama Korea Utara adalah China serta sangat bergantung dengan arang batu dan produk tekstil sebagai hasil eksport.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi tahukah anda - ekonomi Korea Utara juga mempunyai kebergantungan tinggi kepada penghasilan seni tugu monumen bersaiz gergasi di seluruh dunia?
Pembinaan tugu gergasi sebagai sumber kewangan penting
Sejak tahun 2006, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telahpun mengumumkan beberapa sekatan ekonomi ke Korea Utara.
Semua sekatan yang dikenakan berpunca daripada siri ujian nuklear yang dijalankan Korea Utara, memaksa PBB bertindak keras memperkenalkan larangan eksport dan import melibatkan Korea Utara oleh negara-negara anggotanya, yang terbaru pada tahun 2017.
Sekatan-sekatan yang diperkenalkan direka khas untuk merencatkan kemampuan ekonomi negara tersebut, bermula daripada larangan eksport ke Korea Utara, sehinggalah pemberhentian urusan jual beli melibatkan produk dan bahan keluaran negara tersebut seperti arang batu, emas, perak, produk teksi, produk hasil laut, makanan dan barangan elektrik.
Di antara semua sekatan yang dikenakan, sekatan PBB pada bulan November tahun 2016 cukup menarik perhatian dunia, disebabkan oleh tersenarainya 'tugu monumen' sebagai salah satu produk Korea Utara yang turut sama disekat.
Ini menimbulkan persoalan besar kepada penganalisis ekonomi dunia - benarkah dakwaan ini dan siapa yang membeli tugu 'Made in North Korea'?
Studio Seni Mansudae - pakar seni tugu Korea Utara
Tradisi pembinaan tugu memang sudah sebati dengan tradisi Korea Utara. Di mana-mana saja, tugu pemimpin negara itu seperti Kim Il-sung, pengasas negara tersebut serta anaknya Kim Jong-il akan dibina bagi mengingati jasa mereka.
Semua lukisan, karya, tugu dan monumen bersifat propaganda yang dihasilkan di negara itu, sebenarnya dibina oleh sebuah studio seni kelolaan kerajaan Korea Utara sendiri - dinamakan sebagai Studio Seni Mansudae.
Diasaskan sejak tahun 1959 sebagai pusat penghasilan seni utama negara itu, Studio Seni Mansudae menggajikan lebih 4,000 orang karyawan pelbagai bidang dengan kebanyakan artis datang dari Universiti Pyongyang sendiri.
Terdapat 13 cabang kesemuanya di studio gergasi sebesar 120,000 meter persegi itu mengikut kemahiran mereka, sama ada melibatkan kerja-kerja pertukangan kayu, penghasilan seramik, barangan kemas, lukisan pelbagai medium dan banyak lagi.
Salah satu cabang utama di situ, adalah pembinaan tugu-tugu dan monumen gergasi yang menjadi salah satu sumber ekonomi utama negara itu, diselia oleh jabatan khas dinamakan Projek Antarabangsa Mansudae (Mansudae Overseas Project).
Jabatan ini bukan saja bertanggungjawab menguruskan pembinaan tugu dan monumen di luar negara, bahkan menjadi ejen hubungan diplomatik Korea Utara dalam menjalinkan kerjasama dengan negara-negara luar - khasnya negara di benua Afrika.
Kerjasama ini berjaya menjana hasil jutaan ringgit setiap tahun kepada negara tersebut.
Negara benua Afrika sebagai pelanggan utama
Semuanya bermula sekitar tahun 1984 selepas Korea Utara menghadiahkan tugu yang dikenali sebagai 'Monumen Tiglachin' kepada kerajaan Ethiopia, sebagai hadiah memperingati perang yang tercetus dalam dekad 1970-an sehinggalah berlakunya pertukaran kerajaan.
Korea Utara melihat tugu setinggi 50 meter itu yang dibina sebagai jambatan penghubung hubungan antara kedua-dua negara, dibina di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa.
Selepas kejatuhan sekutu besar Korea Utara iaitu Kesatuan Soviet yang mengakibatkan mereka hilang tempat bergantung, Korea Utara melihat ada peluang untuk mereka menjadikan pembinaan tugu dan monumen sebagai sumber ekonomi utama mereka.
Mereka mula mensasarkan kumpulan pemerintah di benua Afrika yang ingin legasi mereka diabadikan dalam bentuk monumen, membolehkan majoriti projek kendalian Mansudae Overseas Project berlegar di benua tersebut.
Setakat ini dianggarkan sudah 18 tugu dan monumen hasil kerja Studio Mansudae terbina di Afrika, dengan beberapa lagi projek terletak di Asia dan Eropah.
Selain itu, Studio Seni Mansudae juga berjaya melebarkan sayap mereka selepas pembukaan sebuah galeri jualan di Beijing, China yang dikatakan dikawal selia sendiri oleh Kim Jong-un yang bertindak sebagai kurator dalam memastikan hanya karya terbaik terpamer dan dijual di situ.
Karya unik Korea Utara diserata dunia
Seni hiper-realistik yang menjadi identiti semua karya hasilan Studio Seni Mansudae sudah jarang sekali ditemui zaman sekarang, jelas tidak bersifat moden serta lebih mirip kepada karya-karya propaganda beberapa dekad dahulu.
Namun 'kekurangan' itu diangkat sebagai tunjang utama kekuatan karya seni mereka, yang mampu membezakan karya-karya dari negara lain dengan karya yang terhasil dari Pyongyang.
Antara tugu dan monumen paling terkenal dibina oleh Studio Seni Mansudae di seluruh dunia adalah Fairy Tale Fountain yang terletak di Frankfurt, Jerman. Struktur ini dibina sebagai projek penghasilan semula selepas tugu asal musnah semasa perang dunia kedua.
Kerajaan tempatan Frankfurt menawarkan Studio Seni Mansudae peluang untuk membina semula tugu tersebut berdasarkan gambar yang ada, memberikan cabaran besar kepada karyawan Korea Utara untuk mengolah dan mereka bentuk tugu tersebut seperti asal.
Monumen unik yang menjadi makam Presiden Angola yang pertama, Agostinho Neto memaparkan senibina yang lain daripada biasa. Dikhabarkan kerajaan Korea Utara sendiri menghadiahkan monumen tersebut sebagai tanda persahabatan mereka yang menelan belanja RM160 juta.
Di antara semua binaan Studio Mansudae, monumen Le Monument de la Renaissance Africaine atau 'Monumen Kebangkitan Afrika' yang terletak di Dakar, Senegal merupakan yang paling terkenal.
Monumen gergasi setinggi 52 meter ini memaparkan satu pasangan dan seorang anak mereka, mula dibina sejak tahun 2006 dan siap dirasmikan pada tahun 2010, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Senegal ke 50.
Dikritik orang ramai kerana belanjanya yang agak tinggi serta tidak mencerminkan masyarakat Islam Senegal, tugu itu terus tegak sehingga ke hari ini sebagai tugu tertinggi di benua Afrika menghiasi pemandangan negara tersebut.
Rujukan
For Autocrats In Need Of Statues, North Korea Is No Longer An Option